Popular Today

Rabu, Mac 12, 2014

#PRKKajang : Kenali Chew Mei Fun "Mudah dihubungi, senang didekati"



Chew Mei Fun, seorang calon Mudah dihubungi, senang didekati

KAJANG 11 Mac - Jika ada perkara yang perlu diambil kira masyarakat Kajang dalam menilai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang Datin Paduka Chew Mei Fun, ialah rekod perkhidmatan dan pengalamannya, baik dalam kerajaan mahupun parti.

Berdasarkan rekod, Chew berpengalaman luas sebagai anggota pentadbiran kerajaan dan telah memegang pelbagai jawatan bermula sebagai setiausaha parlimen bagi Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2004 hingga 2008.

Beliau pernah dilantik sebagai pengerusi Kaukus Pemimpin Wanita Cina Malaysia yang bertanggungjawab untuk menggalakkan perhubungan dan pertukaran antara pertubuhan wanita masyarakat Cina dan kementerian itu.

Chew juga telah membawa ke tengah pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan mengenai wanita (NGO Wanita) untuk membincangkan dasar wanita negara dan mengemukakan memorandum mengenai isu-isu wanita kepada pihak berkuasa.

Semangat dan kesungguhan beliau dalam menjuarai isu-isu wanita, baik sebagai anggota kerajaan mahupun parti, telah mendorong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melantik beliau sebagai timbalan menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat pada 2009.

Selain memperjuangkan hak wanita, Chew yang kini merupakan naib presiden MCA, aktif dalam kerja kemasyarakatan yang mendorong beliau menubuh dan mengetuai Skuad Bantuan Krisis MCA (CRSM) yang terlibat dalam bantuan krisis dan bantuan sosial.

Di arena politik, Chew pernah menjadi anggota Parlimen Petaling Jaya Utara selepas menewaskan Liu Tian Khiew (DAP) dan Wee Chek Aik (MDP) dengan majoriti 2,481 undi pada pilihan raya umum 1999.

Beliau mengekalkan kerusi yang disandang bagi penggal kedua selepas menewaskan Liu dengan majoriti 15,043 undi, namun gagal mempertahankan kerusi itu pada 2008.


Pada 8 April 2010, Chew mencipta kontroversi apabila mengumumkan keputusannya melepaskan semua jawatan sebagai ketua Wanita MCA dan ketua Wanita MCA Selangor serta ketua Skuad Bantuan MCA berkuat kuasa serta merta akibat perselisihan dengan pucuk pimpinan parti.

Dalam kegigihannya memberi perkhidmatan kepada rakyat, Chew mengakui tidak kisah dilemparkan label seperti anggota parlimen ’longkang’, asalkan masalah rakyat dapat diselesaikan.

Malah, dalam beberapa pertemuan awalnya menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, jadual Chew turut diisi dengan aktiviti pencegahan wabak denggi selain menunjukkan tekad untuk mewujudkan persekitaran lebih baik bagi warga Kajang.

Pada pilihan raya kecil DUN Kajang pada 23 Mac, Chew yang merupakan anak jati Selangor akan berdepan Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang merupakan calon ’bidang terjun’ setelah mengambil tempat suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada asalnya dikatakan akan bertanding kerusi berkenaan.

Anwar terpaksa membatalkan hasratnya bertanding susulan tindakan Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya Jumaat lepas atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan pada 2008.

Kerusi DUN Kajang dikosongkan penyandang daripada PKR iaitu Lee Chin Cheh, dipercayai untuk memberi peluang kepada Anwar bertanding dan seterusnya merebut jawatan menteri besar Selangor.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda