Popular Today

Ahad, Mac 08, 2015

Air di Kluang dicatu hari ini


YB Md Jais Sarday, ADUN Mahkota meninjau sekitar Empangan Sembrong Barat.

Pagoh: Bekalan air di daerah Kluang akan dicatu bermula hari ini berikutan paras air di Empangan Sembrong menghampiri paras kritikal akibat perkembangan cuaca panas kering kebelakangan ini.
Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Panglima Dr Maximus Johnity Ongkili berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) meluluskan permohonan operator air SAJ Holdings (SAJ) untuk berbuat demikian.

“Selain Sungai Sembrong Kiri di Kluang yang menghampiri paras kritikal, Empangan Sungai Lembam turut diletakkan sebagai berjaga-jaga dan penduduk dinasihatkan berjimat menggunakan air,” katanya pada sidang media selepas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin merasmikan Karnival YaHijau Pagoh 2015 di Kompleks Sukan Pagoh, di sini, semalam.

Susulan perkembangan itu, SPAN dalam satu kenyataan medianya berkata, Sungai Sembrong Kiri membekalkan air ke loji rawatan air (LRA) Sembrong Timur untuk penduduk Kluang, namun pengeluaran berkurangan daripada 35 juta liter sehari kepada 24 juta liter sehari.

Berikutan itu, katanya, SAJ akan melakukan catuan selama 36 jam secara bergilir-gilir.
“Selain itu, pada 5 Mac lalu, Empangan Sungai Lembam mencatat paras 11.5 meter di atas paras laut berbanding paras kritikal iaitu 12.27 meter.

“Ia kini mempunyai simpanan sebanyak 46.21 peratus dan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga walaupun masih beroperasi seperti biasa,” katanya.

Berhubung Karnival YaHijau, Maximus berkata, karnival kali pertama itu bertujuan menerapkan gaya hidup hijau dalam kalangan penduduk terutama belia dan peringkat akar umbi yang dilangsungkan di wilayah utara, timur, barat, Sabah dan Sarawak.

- harian Metro 

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda