Popular Today

Rabu, Oktober 14, 2009

Ikrar Pemuda - sekat Anwar jadi PM

0 Komen!!!

Pemuda Umno hari ini berikrar akan sedaya-upaya menghalang kemaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai "sesumpah lidah bercabang", menjejakkan kakinya di pejabat perdana menteri di Putrajaya.

"Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar – seorang chameleon politik, sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

"Tetapi Umno dan Pemuda Umno ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya," kata ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin di persidangan agung Pemuda Umno 2009 hari ini.

Dalam ucapan sulungnya mengepalai pergerakan itu, beliau juga menuduh Pakatan Rakyat sebuah gabungan yang tidak berpegang pada prinsip apabila tidak tegas mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Pakatan pembangkang tidak berprinsip seperti mana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada perlembagaan.

"Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?" katanya di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ucapan yang bertemakan 'Di Persimpangan Jalan Perjuangan', Pemuda Umno diseru agar tidak terperangkap dengan isu Melayu gaya lama yang mudah berang dengan desakan kumpulan lain sewaktu perdana menteri, juga presiden Umno, memperkenalkan slogan 1Malaysia.

"Kita boleh bertempik suara melaungkan semangat Melayu dan memberi amaran kepada kaum-kaum lain supaya jangan mencabar ini dan itu," kata Khairy.

"Pilihan ini mudah dan menjanjikan populariti di dalam parti. Tetapi adakah ini sebenarnya mesej yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia, malah orang Melayu sendiri - apatah lagi pada waktu presiden parti sedang membawa mesej perpaduan dengan gagasan 1Malaysia?

"Bagi Pemuda Umno alaf baru, inilah keberanian sebenar – bagi memilih jalan untuk Pemuda menjadi perintis ke arah perpaduan negara melalui semangat 1Malaysia."

Berikut petikan 'Di Persimpangan Jalan Perjuangan'

Rakyat kini dihidangkan dengan pilihan antara gagasan yang membangunkan negara sejak sekian lama, yakni Barisan Nasional, atau pakatan pembangkang yang terus menerus memecahbelahkan rakyat.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini. Bahawa mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen – bahawa perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama.

Apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati.

Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

Anak Batak mudik bergalah
Digigit nyamuk habis lebam
Pakatan retak menanti belah
Remuk di dalam dipendam-pendam

Batang cempedak pohon pedada
Buah peria di dalam dulang
Pakatan pembangkang temberang belaka
Janji bak lidah tidak bertulang

Riuh-rendah di pintu muara
Lebai Kassim membuka silat
Pembangkang gian tamakkan kuasa
Batu api perpecahan rakyat


Insiden-insiden yang kita lihat semenjak pilihan raya umum ke-12 telah membangkitkan sangkaan bahawa tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang.

Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa. PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor.

Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa.

Kalau DAP yang paling berkuasa, maka kita berhak untuk bertanya: siapa sebenarnya DAP ini? Bertopengkan platform parti berbilang bangsa, tetapi hakikatnya mereka didominasi oleh satu kaum sahaja.

Selepas 40 tahun Lim Kit Siang menjadi ahli Parlimen, pembukaan satu cawangan Melayu DAP bulan lepas digembar-gemburkan seolah-olah satu pencapaian yang cukup hebat.

DAP hanya parti berbilang kaum pada namanya sahaja, sedangkan perjuangan sebenar mereka berunsur perkauman yang menyala membara seperti api dalam sekam.

PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim.

Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR, atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR.

Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dialah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.

Tetapi Anwar Ibrahim jangan kamu lupa sejarah kamu, kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja?

Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi manusia? Atau apakah Anwar Ibrahim berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi Anwar Ibrahim?

Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar – seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

Tetapi UMNO dan Pemuda UMNO ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya.

BN ditubuhkan atas dasar persaudaraan dan persefahaman untuk menegakkan Perlembagaan dan asas kewujudan negara. Inilah perkongsian platform yang wujud dalam BN.

Tetapi pakatan pembangkang tidak mempunyai sebarang persefahaman bersama melainkan nafsu untuk merampas Kerajaan – itupun kita tidak tahu siapa akan menjadi perdana menteri kalau pakatan ini mengambil alih.

Malah dalam memilih Kabinet Bayangan, mereka memilih jalan selamat untuk menamakan tiga ahli bagi setiap portfolio kabinet, kerana mereka sebenarnya langsung tidak ada persefahaman dalam perkongsian kuasa, tidak seperti BN yang telah teruji dan terbukti.

Pakatan pembangkang tidak berprinsip sepertimana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada Perlembagaan.

Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?

Kita perlu terus mendedahkan taktik kotor pembangkang ini. Kita tidak pernah barang sedetik gentar dengan mereka kerana mereka yang sebenarnya takut dengan kita. Mereka yang yang takut dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Najib. Mereka tiada idea baru.

Dalam ketandusan tersebut mereka amat licik mencucuk rakyat, menyebar fitnah, menimbulkan huru hara, membuat rakyat akhirnya merana. Bak kata pepatah, kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting.

Pakatan pembangkang takut tindakan kejam mereka terhadap penduduk Kampung Buah Pala akan diingati rakyat. Mereka takut rakyat menuntut janji RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang ditawarkan masuk ke universiti, yang masih tak tertunai.

Apatah lagi janji menurunkan 20 peratus cukai pintu yang sampai hari ini belum dilaksanakan walaupun sudah hampir 20 bulan berkuasa.

Pokoknya, mereka takut akan kesedaran rakyat yang telah terpedaya dengan segala janji manis, tipu muslihat dan dakyah mereka terburai begitu sahaja.

Oleh itu, saudara sekalian, marilah kita bersama-sama bersatu mendedahkan helah dan dakyah pembangkang ini. Mari kita tewaskan mereka dalam permainan politik berbahaya mereka ini, yang sanggup menggadaikan segalanya hanya untuk berkuasa.

Jangan kita biarkan kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh satu kumpulan yang sebenarnya saling tindas-menindas, yang sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka sehingga tidak teragak-agak untuk menghalalkan yang haram, mengiyakan yang palsu, melupakan yang jitu demi mengejar mimpi mereka yang tamakkan kuasa.

Daun mengkudu di atas dulang
Anak udang mati dituba
Negara berpecah pembangkang girang
Demi kuasa dan tamak haloba

Pergi berburu nun ke sempadan
Dapat kancil kongsi bersama
Selagi hayat dikandung badan
Pemuda kekal pertahankan negara

Sumber : Malaysiakini

PAS terus menghina pengundi Pos.

8 Komen!!!
Akibat tidak puas hati kerana kekalahan teruk di Bagan Pinang, PAS terus menyerang dan menghina pengundi Tentera iaitu pengundi POS.

Terkini menurut laporan harakahdaily:

Pengerusi Jawatankuasa Khas berkaitan Undi Pos DPP, Suhaizan Kayat membuat cabaran debat tersebut melalui blognya http://kentong-suhaizan.blogspot.com menamakan dirinya sebagai wakil PAS dan mencabar Mohamad Hassan atau Pemuda Umno mewakili parti pemerintah itu.

Manakala tajuk yang dicadangkannya adalah "Ruang Manipulasi Dalam Pengurusan Undi Pos Di Malaysia".

Image "Atas nama Pemuda PAS Pusat saya mencabar Pengerusi Badan Perhubunan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan atau mana-mana pihak dalam Umno terutamanya Pemuda Umno untuk berdebat dengan saya di bawah tajuk, "Ruang Manipulasi Dalam Pengurusan Undi Pos Di Malaysia,"tulisan di laman blognya dipetik.

Mohammad Hassan dalam kenyataannya sebelum ini memadankan pribahasa berbunyi 'tak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket' kepada pemimpin PAS kerana didakwa menyalahkan undi Pos sebagai faktor kekalahan pada PRK Bagan Pinang.
Laporan yang berasingan pula dari Harakah daily:

Selain itu juga, PAS mengulangi saranan supaya pengundi pos di kalangan tentera mendaftar sebagai pengundi biasa di mana-mana kawasan yang mereka mahu. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, dengan cara itu menjadikan proses pengundian di kalangan anggota tentera menjadi lebih telus.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menyatakan demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya PAS Terengganu yang diadakan di pekarangan pejabat PAS negeri, Jalan Sultan Omar di sini, hari ini.

"Kita harap pengundi pos (tentera) kembali tempat masing-masing, jadi pengundi biasa, biar dia daftar di mana-mana kawasan yang dia mahu," ujarnya.


Cara PAS reaksi boleh dilihat sebagai parti yang sangat terdesak dan tidak mendapat terima kenyataan serta takdir Allah SWT.

Alasan manipulasi undi POS ialah satu pembohongan besar dari PAS dan sekutunya kerana menyaksikan proses pengundian dan pengiraan dilakukan di depan mata mereka.

Tindakan mereka boleh dikatakan sebagai tidak menghormati demokrasi dan hak perlembagaan yang membolehkan tentera membunag undi sebagai rakyat Malaysia yang sah. Ini merupakan penghinaan yang nyata dari PAS terhadap golongan tentera ini.

Sebagaimana diketahui memang terdapat juga pengundi pos yang mengundi pembangkang dalam mana-mana pilihanraya kecil. Dan setakat ini tidak pernah mereka ini dibuang kerja kerana itu.

Hakikatnya inilah kedangkalan pemikiran PAS yang dapat dilihat rakyat bertindak hanya untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan keselamatan negara. Idea supaya tentera pengundi pos di kalangan tentera mendaftar sebagai pengundi biasa di mana-mana kawasan yang mereka mahu. Kerana tentera perlu menjaga post keselamatan mereka yang telas ditugaskan. Bukan boleh dibuat sesuka hati kerana ini berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara.

Alangkah sempitnya pemikiran politik PAS... jangan salahkan lantai jika tidak pandai menari... PAS patut cermin diri mereka... sebelum menyalahkan orang lain...

Dan jangan lagi menghina pengundi POS!

Wahdatul Fikr, Qalb, Amal dan Hadaf - 4 rukun pembaharuan UMNO

2 Komen!!!

MUHYIDDIN Yassin bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta barisan Exco ketiga-tiga sayap parti melaungkan slogan Hidup UMNO! pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi.


KUALA LUMPUR 13 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat rukun yang perlu digerakkan oleh seluruh warga UMNO bagi menjayakan perubahan dan pembaharuan demi kelangsungan perjuangan parti terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat.

Dalam ucapan bertajuk Menggalas Tuntutan Perubahan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini malam ini, Timbalan Presiden parti mengingatkan tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah.

Muhyiddin menekankan betapa perlunya menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik masyarakat Melayu sendiri juga telah berubah.

“Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO relevan dengan putaran masa. UMNO perlu relevan memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru,” kata beliau dalam ucapan perasmian sulungnya itu yang dihadiri oleh 2,379 perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Empat rukun bagi melakukan perubahan dan pembaharuan parti itu perlu bermula dengan kesatuan minda (wahdatul fikr); dihayati dengan kesatuan hati (wahdatul qalb); bergerak dengan kesatuan amal (wahdatul amal); dan menuju kesatuan matlamat (wahdatul hadaf).

“ Dengan terbinanya kesatuan minda, UMNO akan mempunyai visi perjuangan yang jelas. Terjalinnya kesatuan hati, setiap daripada kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO. Dengan terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan matlamat, kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanah air.

“ Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.”

Sambil merujuk peringatan Allah dalam ayat al-Quran surah al-Shof, ayat 4, Muhyiddin berkata, parti perlu sentiasa diperkukuh dan dimantapkan, perlu bergerak sederap dan senafas, setia memikul amanah, menurut perintah dan meletakkan matlamat perjuangan parti mengatasi kepentingan amarah diri.

“Marilah kita menterjemahkan amanat Presiden agar tidak ada lagi di antara kita yang menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang.

“Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi Team A, Team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, satu UMNO,” kata beliau.

Timbalan Presiden menegaskan, UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas.

“ Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan.

“UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang,’’ katanya.

Tradisi perjuangan UMNO membela bangsa, kata Muhyiddin, tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi.

“Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima rakyat,” jelasnya.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan: “UMNO mampu menempuh cabaran ini dan memenuhi harapan baru. Ini kerana UMNO adalah parti yang pragmatik dan pantas membaca keadaan serta berani membuat perubahan.”

Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa bukan UMNO sahaja perlu berubah tetapi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain juga perlu berubah.

“Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti dalam BN. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana digariskan oleh Presiden dalam gagasan 1Malaysia.”

Dalam mendepani cabaran semasa, Muhyiddin menyatakan keadaan zaman gila (jaman edan) seperti digambarkan oleh pujangga Ronggowarsito dapat dirasakan apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan.

“Khabar angin, provokasi, cerita palsu, berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang maaruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi maaruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak.

“ Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara.”

Dalam menangani situasi tersebut, Muhyiddin mengajak warga UMNO terus berjuang dengan berbekalkan semangat dan iltizam membela agama, bangsa dan negara


Sumber: Utusan Malaysia

Selasa, Oktober 13, 2009

Formula kemenangan UMNO di Bagan Pinang perlu di kaji

2 Komen!!!
Post Mortem merupakan istilah biasa di dengar apatah lagi jika sesuatu yang dibuat gagal mencapai matlamatnya, tapi biasanya jika sesuatu tindakan itu mecapai matlamat jarang post mortem dibuat.

Sebenarnya kemenangan UMNO di Bagan Pinang adalah suatu kes yang unik... apatah lagi setelah BN kalah pada 8 pilihanraya kecil yang lalu.. dan tiba-tiba menang dengan majoriti yang sangat besar.

Kemenangan BN kelmarin membawa pelbagai pengertian. Antaranya, ia menghantar isyarat perubahan sikap yang lebih positif di kalangan pengundi pelbagai kaum untuk kembali menyokong Barisan Nasional (BN).

Ianya sesuatu yang perlu dikaji dan dianalisis... apakah sebenarnya faktor kemenangan BN dan faktor kekalahan pembangkang yang dahulu gah dengan kemenangan mereka.

Banyak faktor yang perlu dilihat secara teliti dari segi kempen BN, kempen PAS, calon BN dan Calon PAS.

Ramai yang mengatakan kemenangan Tan Sri Isa sebagaimana di
minda pengarang Berita Harian kerana dengan usaha berterusan, kerja keras serta tumpuan kepada memenuhi kehendak pengundi, BN jelas membuktikan ia masih mampu untuk terus menjadi wadah membela nasib rakyat di negara ini. Walaupun berdepan saingan sengit pembangkang, Mohd Isa mampu membuktikan bahawa beliau bukan saja mampu mengekalkan kerusi DUN Bagan Pinang di tangan BN, malah melipatgandakan majoriti undi.

Bagaimanapun, pengajaran paling besar daripada kejayaan di Bagan Pinang sebenarnya ialah pentingnya pemimpin untuk sentiasa mendampingi akar umbi. Sejauh mana pun tingginya jawatan atau populariti seseorang, hanya sokongan akar umbi yang boleh menjamin kedudukan mereka. Tanpa sokongan padu masyarakat, seseorang pemimpin tidak akan sampai ke mana. Inilah yang dibuktikan Mohd Isa.

Dalam keadaan beliau berdepan pelbagai cabaran bertanding di Bagan Pinang, keakrabannya dengan penduduk setempat menjadi aset utama. Tiada siapa boleh menafikan hubungan eratnya dengan setiap pengundi di kawasan itu dan itulah sebabnya mereka tidak teragak-agak memilih beliau sebagai wakil mereka. Sekalipun tidak menonjol dalam politik arus perdana sejak beberapa tahun lalu, Mohd Isa juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab hakikinya berkhidmat kepada penduduk Bagan Pinang dan itulah asas kejayaan beliau.

Satu lagi pengajaran penting yang harus diambil ialah betapa kesetiaan terhadap perjuangan boleh menjadi faktor penentu kejayaan. Sebagai orang yang sudah lama bergelumang dalam politik, Mohd Isa pernah menempuh pelbagai pengalaman suka duka. Banyak liku dan jatuh bangun dilaluinya tetapi semua itu tidak pernah melencongkan beliau daripada prinsip perjuangannya yang berlandaskan Umno serta BN. Sama ada dalam barisan kepemimpinan tertinggi, atau hanya sebagai ahli biasa, Mohd Isa kekal setia dan istiqamah dalam perjuangannya. Rasa kecewa, marah atau diketepikan tidak pernah mempengaruhinya untuk mengkhianati parti yang didokongnya.

Kemenangan BN di Bagan Pinang mungkin dianggap besar oleh sesetengah pihak dan kecil pada sesetengah yang lain. Namun yang pasti, kejayaan Mohd Isa itu penuh iktibar yang perlu dijadikan panduan dan azimat oleh seluruh warga BN jika mahu mengembalikan sokongan rakyat pada masa depan.

Kekuatan Isa inilah yang perlu di contohi oleh para pemimpin pelapis UMNO yang baru iaitu setia dan ikhlas berjuang untuk parti bukan hanya untuk jawatan semata-mata. Sifatnya yang semulajadi mesra alam dan mesra pengundi yang menarik sokongan kepada beliau. Begitu juga jentera BN yang bergerak dengan lebih baik berbanding beberapa Pilihanraya kecil yang lalu. Dasar-dasar kerajaan kini diterima baik oleh semua kaum khasnya 1 Malaysia yang kini menjadi produk utama BN.

Namun dalam kemenangan ini pasti masih banyak kelemahan yang boleh dikenalpasti BN untu diperbaiki untuk masa akan datang. Apa yang penting UMNO janganlah leka apatah lagi pembangkang kini pastinya juga sedang mengadakan post mortem untuk menganalisis kekalahan teruk mereka.

Isnin, Oktober 12, 2009

Tun Mahathir - Anggota Umno Perlu Ubah Sikap

4 Komen!!!

Tidak akan mencapai apa-apa... mungkin itulah yang di maksudkan Tun Mahathir terhadap UMNO jika sikap mereka tidak berubah...

Menurut laporan Bernama, Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan anggota Umno agar mengubah sikap sekiranya mahu pindaan perlembagaan parti yang bakal dibuat pada perhimpunan agung parti minggu ini mencapai matlamatnya.

Bekas presiden Umno itu berkata ini kerana pindaan perlembagaan semata-mata tidak menjamin penyelesaian masalah.

"Saya (semasa menjawat presiden parti) buat dua pindaan. Tiap kali saya buat, saya yakin penuh bahawa pindaan itu akan menyelesaikan masalah. "Tetapi (jika) kita buat pindaan tapi kalau sikap ahli-ahli tak sesuai dengan pindaan itu, dia tak berjayalah," katanya.

UMNO akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas pada Khamis ini. Antara lain pindaan yang bakal dibuat ialah pemansuhan sistem kuota bagi pencalonan dan membenarkan lebih ramai perwakilan akar umbi terlibat dalam pemilihan parti.

Ditanya sama ada perwakilan akar umbi Umno mempunyai kriteria yang perlu dalam memilih pemimpin berkebolehan, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri berkata ia terpulang kepada kaedah perwakilan itu dipilih.

"Apakah mereka dipilih kerana jawatan, atau kerana intelek atau kerana mereka semua sudah dewasa. Ini semua kena ambil kira," katanya.

Ulasan AB

-----> Bersediakah ahli UMNO untuk berubah dan menerima perubahan, inilah persoalan yang mendasari matlamat perubahan UMNO keseluruhannya. Jika perubahan fizikal sahaja tidak diikuti dengan perubahan mental maka perubahan ini hanya akan bertahan sementara sahaja. Tetapi jika perubahan ini diikuti dengan azam dan kesedaran terhadap hala tuju masa depan UMNO dan bangsa Melayu, maka perubahan ini pasti akan merubah mentaliti ahli UMNO.

Rakyat mahu melihat UMNO berubah... siapa? iaitu ahlinya.. siapa? pemimpinnya di semua peringkat begitu juga ahlinya yang dituntut dalam apa jua keadaan sentiasa berpegang kepada asal perjuangan UMNO tidak lain dan tidak bukan demi agama bangsa dan negara.

Kemenangan di Bagan Pinang - bukti UMNO masih relevan

0 Komen!!!
Memang terdapat suara sumbang yang masih tidak puas hati ke atas kemenangan UMNO di Bagan Pinang. Ianya hakikat pahit yang patut ditelan oleh pembangkang apatah lagi setelah 8 kali menang dan sekali kalah 'KO' memang sangat memeritkan. Kemenangan lalu terus dilupakan dan keperitan kekalahan sangat dirasakan.

Kebanyakan ulasan politik umpama tiada jawapan yang konkrit untuk menerima keputusan kemenangan UMNO ini apatah lagi analisis hanya dilihat berat kepada aspek UMNO sahaja. Tetapi aspek kekalahan PAS umpama tiada jawapan yang boleh menjawab persoalan bagaimana PAS boleh kalah teruk? Kenapa undi Cina dan India berubah dan tidak lagi memihak kepada pembangkang? Adakah trend ini sementara atau bakal berterusan?

Namun persoalan penting ialah adakah kemenangan ini menunjukkan UMNO masih relevan di dunia politik negara ini?..

Soalan yang amat subjektif... apatah lagi hendak diukur dengan kemenangan BN yang hanya sekali.

Namun Ramai pemimpin UMNO nampaknya kian bersemangat semula hasil kemenangan ini, Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan Isa dengan majoriti besar dapat menangkis tohmahan pihak-pihak tertentu yang mengatakan Umno tidak lagi relevan pada masa ini.

Beliau berkata jika Umno dan BN terus konsisten untuk membaiki kelemahan, tidak mustahil rakyat akan kembali menyokong parti itu.

"Jelas, apabila Tan Sri Mohd Isa yang juga calon 'favourite' dan pilihan rakyat, beliau telah dapat menarik minat pengundi melalui undian yang terbukti memihak kepada Umno dan BN,"

Manakala Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, kemenangan besar ini memberikan gambaran BN diterima rakyat pelbagai kaum di kawasan itu.

Beliau berkata kemenangan itu juga lebih bermakna apabila sokongan bukan Melayu, khususnya kaum India, memihak kepada BN dengan semua peti undi dimenangi parti pemerintah itu.

Najib pula berkata "Nampaknya mereka (rakyat) lebih yakin dan percaya dengan BN dan ini mungkin berpunca daripada beberapa faktor yang kita dapat buat penilaian sama ada faktor dasar kerajaan dan perubahan yang dibuat di peringkat nasional, kedudukan di peringkat bahagian atau calon itu sendiri, atau kombinasi ketiga-tiga faktor tersebut,"

Barisan Nasional (BN) berikrar untuk meningkatkan persefahaman dan kerjasama antara parti komponennya di Pulau Pinang bagi mendapatkan kembali sokongan rakyat di negeri itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pemimpin BN di peringkat negeri itu bersetuju untuk memperbaiki sebarang kelemahan yang ada bagi mengukuhkan kedudukannya di Pulau Pinang.

"Kita (BN) berjanji untuk terus memperbaiki kedudukan dan mengutamakan khidmat bakti untuk rakyat selaras dengan konsep rakyat didahulukan.

"InsyaAllah kita akan menampilkan kesungguhan dalam mendapatkan sokongan padu di kalangan rakyat,"

Apa yang penting ialah dengan kemenangan ini.. UMNO telah temui ubat yang dicari sekian lama... sakit yang melanda UMNO kini kian pulih apatah lagi dengan mendapat semangat baru untuk UMNO terus bangkit dari 'sakit' yang menimpa.

Kini UMNO perlu bekerja keras supaya dilihat terus relevan.. semua peringkat UMNO dari pemimpin atasan, pertengahan, bawahan, ahli dan penyokong semua sedang semangat membara.

Ayuh UMNO teruslah bangkit dan melangkah untuk menacapi kejayaan. Apa yang penting ialah usaha yang berterusan dan jangan lupa keberkatan dari Allah SWT.

1 Malaysia, Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan....

Trend penambahan sokongan kepada BN dan kurangnya sokongan kepada pembangkang berterusan

3 Komen!!!


MUHYIDDIN Yassin (kanan) dan Mohamad Hasan (kiri) mengangkat tangan Mohd. Isa Abdul Samad sejurus Barisan Nasional diumum sebagai pemenang pada Pilihan Raya Kecil DUN Bagan Pinang di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Negeri Sembilan, semalam.


Salam semua... lama rasanya jari ni tidak 'memblog'... ada keuzuran sikit...

Tapi semalam merupakan berita gembira untuk semua penyokong dan ahli UMNO mahupun BN.. iaitu kemenangan besar BN di Bagan Pinang...

Secara teori sebelum lagi Pilihanraya Kecil Bagan Pinang dah merasakan mungkin BN akan menang berdasarkan trend beberapa pilihanraya Kecil yang lalu yang menyaksikan penurunan sokongan terhadap pembangkang semakin ketara dan terdapat pertambahan sokongan terhadap BN walaupun 'margin' sokongan tidaklah besar... tetapi ianya tetap satu trend yang dapat dilihat dengan jelas bermula dengan Penanti, Manik Urai dan Permatang Pasir.. itu secara teorinya..

Kemenangan besar BN di Bagan Pinang dari 2,333 undi majoriti pada 2008 bertambah kepada 5,435 undi majoriti pada pilihanraya kecil ini mengesahkan teori ini... tetapi bukanlah penambahan sokongan yang terlalu besar sebagaimana di Bagan Pinang iaitu apa yang penting ialah penambahan sokongan kepada BN dan kurangnya sokongan kepada pembangkang... secara konsisten trend ini masih berterusan..

Pembangkang pula masih belum boleh menerima hakikat mengenai kekalahan mereka.. dengan gerombolan kempen fitnah, ganas dan extreme mereka yang dianggap berkesan pada beberapa pilihanraya Kecil yang lalu kini terkulai layu di Bagan Pinang.

Mereka menyatakan mereka sebagai 'underdog' apabila bertanding di Bagan Pinang tetapi dengan rekod kemenangan 8-0 ternyata istilah 'underdog' ianya bukanlah sesuatu yang tepat. Apatah lagi apabila Tan Sri Isa disebutkan sebagai calon BN.. setentunya mereka mempunyai banyak advantage dengan isu yang Tan Sri Isa ada...

Kini mereka menyalahkan anggota tentera dan polis... mereka menganggap anggota tentera polis dan tentera (pengundi pos) sebagai bodoh kerana mengundi BN itulah andaian hina yang dilemparkan kepadaTentera dan Polis sebagai pengundi pos. Mereka menganggap pengundi pos sebagai orang bodoh yang tidak reti berfikir yang mengundi tidak menggunakan fikiran mereka apabila mengundi. Mereka terlupa bahawa dalam beberapa pilihanraya yang lalu berapa ramai pengundi Pos yang mengundi pembangkang dan tiada seorang pun yang di berhentikan kerja kerana itu.

Keadaan mungkin sudah sedikit berubah, rakyat semakin pandai berfikir dan melihat apa yang berlaku di hadapan mereka apatah lagi apa yang berlaku dengan tindak tanduk pakatan pembangkang. Mereka tidak pernah membangunkan rakyat, mereka hanya bermain isu semata-mata. Kini rakyat juga menilai KPI parti-parti politik ini.....

Tahniah kepada UMNO... formula meraih sokongan rakyat telah ada, apa yang ialah untuk mengekalkan momentum sokongan ini sehingga Pilihanraya Umum ke-13.

Setentunya kemenangan ini akanmenjadi tonik berguna untuk UMNO yang akan mengadakan Perhimpunan Agung pada akhir eoktober ini.

Ahad, Oktober 11, 2009

Kemenangan mutlak BN

5 Komen!!!
Keputusan RASMI PRK N 31 Bagan Pinang. BN 8,013 undi, Pas 2,578. Undi di tolak 223. BN menang dengan majoriti 5,435 undi. TAHNIAH SEMUA.

Kongsi Link Anda