Popular Today

Jumaat, Mei 30, 2008

Malaysia, Saudi kekal pasaran terbesar dunia aset Islam

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 29 Mei - Malaysia dan Arab Saudi masih merupakan dua pasaran terbesar di dunia bagi aset pengurusan Islam yang kini mencecah kira-kira AS$1.34 bilion (RM4.35 bilion).

Secara keseluruhannya, dana pelaburan berkonsep syariah di Negara Teluk dan Asia Timur kini mencecah AS$267 bilion (RM868.15 bilion), demikian menurut akhbar Arab Saudi Dar El Hayah yang memetik laporan Dana dan Pelaburan Islam Ernst & Young 2008 (IFIR) yang diterbitkan semalam.

Laporan itu diterbitkan sempena Persidangan Dana dan Modal Islam yang berakhir Selasa di Manama, ibu negara Bahrain.

Laporan itu merekodkan lebih 500 dana menepati Syariah diuruskan di seluruh dunia sehingga 31 Mac 2008.

Menurut laporan itu, terdapat sebanyak 134 dana bersama Islam di Malaysia, yang mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan aset dana pelaburan di Malaysia, manakala Arab Saudi sebanyak 120 dana atau 55 peratus daripada keseluruhan dananya.

"Namun, kedua-dua pasaran ini perlu cara berbeza dan lebih kreatif dalam mengatur strategi pelaburan" kata laporan itu.

"Jika di Arab Saudi, produk kewangan Islam masih merupakan alternatif selain sistem kewangan konvensional, di Malaysia pula, ia telah diterima pakai secara meluas. Bermakna, para pelabur sedia berurusan dalam kedua-dua jenis produk kewangan tersebut, sama ada konvensional mahu pun yang menepati hukum syarak", kata laporan itu.

"Menariknya, kepelbagaian sektor aset Islam di Malaysia telah mewujudkan suasana pelaburan Islam yang berdaya saing dan mampu menarik ramai pelabur termasuk yang bukan Islam", kata laporan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Ernst & Young Bahrain, Sameer Abdi berkata, negara Teluk kini sedang menikmati perolehan minyak dan akan kembali menarik lebih banyak dana Islam di peringkat global.

"Pertumbuhan tersebut masih di peringkat pertama," katanya, yang mengulas laporan IFIR.

Bagaimana pun, beliau mengakui bahawa sektor dana Islam di negara Teluk perlu dipelbagaikan dalam usaha menarik lebih ramai pelabur asing.

- Bernama

Tiga mungkin dihukum - Zaid, Mukhriz, Tajuddin ke Lembaga Disiplin langgar arahan parti

0 Komen!!!
PUTRAJAYA 29 Mei – Seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketiga-tiganya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman didapati menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

“Pekeliling mengenai larangan itu bukan sahaja telah diedarkan kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian sejak sebulan lalu, malah ia turut dikuatkuasakan ke atas semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

‘‘Ia satu arahan melarang pertelingkahan parti dibangkitkan dalam media tetapi ketiga-tiga mereka ini melanggarnya dengan bergaduh macam budak kecil sehingga mencemarkan imej UMNO.

“Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan bentuk hukuman terserah kepada badan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

Kerajaan kaji kurang tol bas ekspres

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin memberikan potongan kadar tol, cukai jalan, insurans serta sewa terminal untuk membantu mengurangkan kos operasi dan pengurusan syarikat bas, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Noh Omar.

Beliau berkata, kerajaan sedar banyak syarikat bas rugi kerana terpaksa menanggung kos operasi serta pengurusan yang tinggi dan keadaan mereka bertambah buruk apabila harga bahan api meningkat.

Berikutan itu, katanya, kerajaan mengkaji beberapa langkah termasuk cadangan mengurangkan kadar tol untuk bas ekspres yang ketika ini terpaksa membayar pada harga penuh walaupun mereka sebenarnya menyediakan khidmat pengangkutan awam.

"Kita tengok teksi dapat 50 peratus (potongan kadar) tol tetapi bas ekspres perlu membayar penuh. Saya difahamkan pengusaha bas terpaksa membayar sehingga jutaan ringgit untuk tol, jadi kita cadang untuk mengurangkannya.

"Kerajaan juga sedang meneliti kemungkinan memberi pengurangan cukai jalan dan insurans untuk membantu meringankan beban kos operasi syarikat bas sekali gus membantu industri pengangkutan awam di negara ini," katanya di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas permohonan Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) untuk menaikkan tambang bas ekspres dan bas henti-henti di seluruh negara sebanyak 100 peratus bagi menampung peningkatan kos operasi serta alat ganti.

Kelmarin, Pengerusi PMBOA, Datuk Ashfar Ali, berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan terbabit kepada kementerian dengan alasan kenaikan tambang perlu untuk membolehkan pengusaha menampung peningkatan harga diesel dan alat ganti.

Kali terakhir kerajaan mengumumkan kenaikan tambang bas ekspres dan bas berhenti-henti adalah pada 1 Mei 2005. Bagaimanapun, dalam tempoh itu, harga diesel sudah dinaikkan tiga kali manakala kos alat ganti semakin bertambah.

Noh berkata, kerajaan juga bercadang meminta pengusaha terminal bas supaya mengkaji semula kemungkinan

menurunkan kadar sewa yang dikenakan mereka kepada syarikat bas bagi membantu mengurangkan beban pengusaha.

"Kita akan cuba beri pengurangan contohnya di Hentian Puduraya di ibu negara yang terletak di bawah UDA. Kita akan minta UDA mengkaji balik supaya kadar sewa yang mereka kenakan dapat dikurangkan lagi," katanya.

Mengenai perkhidmatan bas bagi laluan di kawasan perumahan dan luar bandar yang tidak menguntungkan beliau berkata, kementeriannya mengkaji untuk menggunakan konsep bas mini yang diselia sepenuhnya oleh syarikat kerajaan.

"Kita akan gunakan bas yang dibiayai kerajaan dan ia mungkin diberi kepada syarikat seperti Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL) di bandar dan yang dikendalikan Mara di kawasan luar bandar.

"Kita juga bercadang mewujudkan bas mini di luar bandar, malah mungkin memperkenalkan sistem seperti van kerana kaedah itu boleh dilaksanakan di luar bandar seperti untuk membawa murid sekolah atau penumpang biasa," katanya.

Noh berkata, kementerian juga akan meneliti semula mekanisme pemberian permit bas bagi memastikan ia tidak dikeluarkan secara berlebihan sehingga boleh mewujudkan persaingan tidak sihat yang menjejaskan daya maju.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Lee Sing Chooi di Dewan Negara, semalam, Noh berkata, semua maklumat pemandu bas ekspres di negara ini akan didaftarkan di dalam satu pangkalan data bagi memudahkan pemantauan dibuat.

"Langkah itu perlu kerana ketika ini tiada pemantauan khusus dibuat terhadap pemandu bas ekspres yang kadang kala dipaksa bekerja lebih masa sehingga mendedahkan mereka kepada risiko membahayakan nyawa penumpang jika berlaku kemalangan.

"Kita juga ingin mahu membuat penjenamaan semula untuk melahirkan pemandu bas ekspres yang lebih profesional, diberikan lesen memandu kenderaan awam (PSV) serta menetapkan gaji minimum untuk mereka," katanya.

Berita Harian 30/5/08

Khamis, Mei 29, 2008

BATU PENGHADANG CHERAS, PKR SELANGOR HARUS SELESAIKAN

0 Komen!!!
MP Ipoh Timur (DAP) bertanya soalan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam perbahasan rang undang-undang dan bajet telah menimbulkan beberapa perkara. Beliau mengalu-alukan langkah untuk menjadikan pasukan polis sebagai sebuah pasukan 'world class' dan bebas rasuah. Pasukan polis telah menikmati kenaikan gaji dan umur persaraan.

Sebenarnya beliau bangkit untuk menimbulkan isu penghadang jalan di Cheras yang dibina semula oleh Syarikat Grand Saga. Didapati bahawa ada sekumpulan samseng mengawal serta memukul orang awam yang cuba mengalihkan batu penghadang.

MP Ipoh Timur mendapati polis tidak mengambil sebarang tindakan. Ini telah menimbulkan tanda tanya terhadap pasukan polis. Beliau juga membaca petikan yang menyatakan seorang awam telah dipukul oleh 20 anggota FRU. Beliau menyeru agar kabinet mengambil perhatian serius terhadap perkara ini.

Pemerhati berpendapat isu batu penghadang di sebatang jalan Cheras adalah isu yang melibatkan syarikat swasta dan perkara ini telah diputuskan oleh mahkamah bahawa Syarikat Grand Saga boleh meletak batu penghadang.

Perkara ini sepatutnya diselesaikan oleh kerajaan negeri Selangor dan ada baiknya MP Ipoh Timur berbincang terus dengan kerajaan negeri Selangor yang diketuai oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.

Ternyata MP Ipoh Timur hanya ingin mencari publisiti murahan di sebalik isu ini juga semakin kuat MP Ipoh Timur melaungkan kes ini hanya akan menunjukkan kelemahan dan kebuntuan fikiran pemimpin PKR di Selangor.

Dua lagi bekas orang kanan PKR masuk UMNO

0 Komen!!!
29/05/2008 3:40pm


KUALA LUMPUR 29 Mei – Dua lagi bekas orang kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai UMNO dengan menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen hari ini.

Mereka ialah bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Menteri Kewangan, Anuar Shaari dan bekas Ketua Angkatan Muda PKR Kedah, Khairul Anuar Ramli. – Utusan.

Umno, landasan Ezam perangi rasuah

0 Komen!!!
May 29, 08 4:47pm
Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor berkata beliau kembali semula menyertai Umno untuk meneruskan perjuangannya memerangi rasuah dan penyelewengan.

"Semalam, saya menyatakan hasrat secara rasmi untuk kembali menyertai Umno di hadapan Presiden (Umno) Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan niat yang sama iaitu melakukan perubahan ke arah kebaikan, mempertahan dan meneruskan cita-cita serta pengorbanan besar bapa-bapa pengasas negara ini," katanya dalam satu kenyataan yang dibacanya dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

"Saya ingin mengotakan janji selama ini, bahawa saya akan membantu siapapun perdana menteri yang mempunyai komitmen dan berani memberikan Badan Pencegan Rasuah (BPR) kebebasan untuk melakukan tindakan terhadap setiap penjenayah rasuah.

"Kerana bagi saya, inilah komitmen yang paling sukar dilakukan oleh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa," kata Ezam sambil menambah, beliau pernah dipecat dari Umno pada 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti ketika itu.

Sebelum menyertai Parti Keadilan Nasional (sebelum PKR) pada 1999, Ezam, 41, adalah ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan dari 1993 hingga 1996, setiausaha pemuda Umno Selangor dan timbalan ketua Umno bahagian Petaling Jaya Selatan.

Beliau juga merupakan bekas setiausaha politik kepada menteri kewangan dari 1996 hingga 1998 dan merupakan felo Institut Kajian Dasar (IKD) dari 1998 hingga 2005.

Setelah melepaskan jawatannya sebagai ketua AMK, Ezam mengasaskan penubuhan Gerakan Rakyat anti Korupsi (GERAK) untuk memerangi rasuah di negara ini.

Berikut adalah kenyataan media Ezam

Sebaik selesai pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada tahun 1991, saya menyedai Umno dengan semangat melakukan perubahan ke arah kebaikan di samping meneruskan besar bapa-bapa pengasas negara ini (the founding fathers).

Saya dipecat dari Umno pada tahun 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti pada masa itu.

Semalam, saya menyatakan hasrat secara rasmi untuk kembali menyertai Umno di hadapan Presiden Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan niat yang sama iaitu - melakukan perubahan ke arah kebaikan, mempertahan dan meneruskan cita-cita serta pengorbanan besar bapa-bapa pengasas negara ini.

Sepanjang 10 tahun saya melalui liku perjuangan yang getir, pelajaran paling berharga bagi saya dalam tempoh tersebut adalah terbitnya keyakinan di hati bahawa kemelut masyarakat dan negara ketika ini berpunca daripada persoalan rasuah dan penyelewengan.

Ini juga sesuai dengan hadis Rasulullah SAW yang kebetulan saya membacanya tatkala di penjara, "Setiap ummat ada cabarannya dan cabaran bagi ummatku adalah harta". (riwayat muslim).

Dan berdasarkan keyakinan itu, saya mengorbankan segenap jiwa dan tenaga untuk mengajak pemimpin dan masyarakat menghadapi cabaran utama kita hari ini iaitu membanteras rasuah.

Bertolak dari kesedaran itu, saya menubuhkan Gerakan Rakyat anti Korupsi (GERAK) dengan segala kepayahan dan keterbatasan tetapi tetap dengan semangat melawan demi menjadikan rasuah musuh nombor satu negara.

Kenyataan Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi sebaik memegang tampuk pemerintahan bahawa memerangi rasuah adalah agenda utamanya amat menarik minat saya dan saya ikutinya secara dekat dan mendalam.

Sementara, pengumurnan Perdana Menteri beberapa minggu lalu mengenai komitmen.untuk melakukan perubahan besar terhadap Badan Pencegah Rasuah (BPR) dengan penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia, ditambah dengan struktur yang menjamin kebebasannya bertindak merupakan kenyataan paling bermakna bagi saya dan paling penting serta signifikan dalam perjuangan melakukan perubahan (reform) di negara ini.

Setelah berjumpa Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi baru-baru ini, saya percaya beliau komited di dalam memastikan proses perubahan itu berlaku.

Dengan semangat reformasi itulah, saya di sini, pada hari ini menyatakan dengan jelas hasrat, sokongan dan komitmen saya untuk bersama-sama Perdana Menteri dan pemimpin-pemimpin negara meneruskan pe juangan mdakukan perubahan tersebut.

Saya ingin mengotakan janji pada diri saya sendiri selama ini, bahawa saya akan membantu siapapun Perdana Menteri yang mempunyai komitmen dan berani memberikan BPR kebebasan untuk melakukan tindakan terhadap setiap penjenayah rasuah. Kerana bagi saya inilah komitmen yang paling sukar untuk dilakukan oleh seorang perdana menteri yang sedang berkuasa.

Seperti yang saya nyatakan awal tadi, niat saya di dalam politik selain melakukan perubahan juga mempertahan dan meneruskan cita-cita bapa-bapa pengasas negara ini. Mereka yang terdiri daripada pemimpin pelbagai kaum yang berusaha membina negara ini dengan cita-cita besar dan sejumlah pengorbanan.

Mereka menggubal dasar untuk menjamin negara ini ditadbir dengan penuh hemah dan keutamaan nombor satu mereka adalah Malaysia. Hari ini semangat dan pengorbanan mereka telah dinodai oleh pemimpin-pemimpin yang meletakkan kepentingan diri menguasai kepentingan negara.

Kerakusan kepada kuasa menyebabkan mereka sanggup mencemuh dasar dan asas negara yang dibina oleh pemimpin terdahulu hanya atas tujuan untuk memancing undi dengan meniupkan sentimen perkauman.

Mereka mendakwa mereka membawa politik baru berbilang kaum tetapi hakikatnya memainkan sentimen kaum yang sempit dan politik tanpa batasan.

Pengasas negara ini dahulu yang memulakan politik berbilang kaum dengan asasnya Melayu di samping pengiktirafan wajar kepada bangsa lain dengan semangat menghormati dan berkerjasama membina Malaysia ini.

Sebab itulah budaya orang Cina mengundi calon Mdayu dan India dan sebaliknya berlaku semenjak awal penubuhan negara ini lagi. Pertimbangan utama pemimpin pada ketika itu adalah kepentingan negara. Justeru mereka saling memahami dan berkorban dalam
mempertahan asas negara ini.

Sayangnya terdapat segelintir pernimpin hari ini pertimbangan utama adalah kepentingan diri dan kelompok mereka. Mereka mempopularkan budaya politik tanpa batasan - iaitu apa sahaja boleh asal aku dan kelompok aku berkuasa. Sebab itulah hari ini kita melihat politik melampau berleluasa, politik fitnah, menjatuh dan melompatkan orang menjadi agenda paling utama.

Budaya matlamat menghalalkan cara ini, amat asing di awal penubuhan negara ini. Hari ini kita melihat lenyapnya jiwa kenegaraan (sfatemanship) dalam kepimpinan bangsa ini. Yang menonjol adalah pemimpin yang hebat percaturan politik untuk kepentingan individu dan kelompok sendiri sehingga sanggup menggadai persoalan asas negara yang dibina dengan semangat dan cita-cita bersama.

Saya kembali untuk bersama teman-teman saya dalam Umno dan Barisan Nasional meneruskan perjuangan dengan keyakinan bahawa formula BN merupakan formula terbaik untuk negara ini. Sedikit pengalaman saya di 'luar' BN mungkin dapat membantu meyakinkan orang ramai bahawa formula lain tidak mampu membina negara ini dengan berkesan dan bertahan (sustainable).

Dan formula BN yang terbukti berjaya selama lebih 50 tahun ini juga dibina dengan nilai kesederhanaan, humiliti (tawadu') tolak ansur, hormat-menghormati dan yang paling penting semangat kenegaraan (sfatemanship) yang utama di kalangan pengasas-pengasas BN.

Ciri-ciri negatif keangkuhan dan kemewahan yang menghakis nilai integriti hampir tidak wujud di kalangan pengasas BN pada ketika itu.

Saya melihat dan yakin komitmen Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serta beberapa pemimpin utama BN untuk membina kembali nilai-nilai integriti pengasas-pengasas BN yang menjadi tunjang kekuatan bangsa dan negara selama ini.

Justeru, saya menawarkan diri saya untuk bersama mereka membina kembali kekuatan nilai integriti tersebut demi rakyat dan negara yang tercinta ini.

Ezam ibarat ayam jantan yang gah berkokok tetapi ekornya dipenuhi najis

0 Komen!!!
Mohd Rashidi Hassan
Thu | May 29, 08 | 4:33:19 pm MYT
Ada banyak rumours diperkatakan apabila Ezam Mohamed Nor menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.

Ezam mengatakan beliau berhasrat masuk Umno bukan kerana mengkagumi personaliti Abdullah, sebaliknya perubahan dasar yang dijalankan khususnya dalam persoalan Badan Pencegah Rasuah dan isu kehakiman, begitu menarik minatnya.

Hakikatnya pada beliau perubahan dasar yang dibuat oleh Abdullah, Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno begitu mendorong pendiriannya untuk berubah.

BN dan Umno sudah berubah? Benarkah begitu? Apakah pendirian yang diambil Ezam sekarang ini, sinomin dengan perjuangan beliau selama ini?

Ezam sejak dua tahun lepas adalah orang yang tidak berparti. Kisah Ezam keluar KeADILan bukan lagi menjadi isu. Dua tahun lalu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda atas alasan hendak menumpukan kepada Gerak.

Namun, ada yang mengatakan beliau bergaduh dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmi Ali, ada juga yang mendakwa Ezam bergaduh dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar dipecat pada tahun 1998, Ezam adalah Setiausaha Politiknya, manakala Azmin sebagai Setiausaha Sulit.

Kedua-dua anak muda ini merupakan antara tonggak utama dan orang kepercayaan Anwar untuk menggerakkan gerakan reformasi semasa Anwar merengkok dalam tahanan.

Dalam parti politik, pemimpin memang ada banyak perbezaan pendapat. Soal pergaduhan dan bagaimana bentuk pendekatan masing-masing tidak perlu dihuraikan di sini.

Kunjungan Ezam ke Harakah

Kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan Februari lepas, Ezam Mohd Noor berkunjung ke pejabat Harakah, menemui Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman.

Jika tidak silap, hari itu hari Ahad. Hari cuti. Banyak pejabat ditutup, begitu juga dengan Harakah. Hanya dua tiga orang sahaja yang bekerja.

Kami mencadangkan perjumpaan dibuat pada hari lain, namun beliau tetap mahu berjumpa katanya, atas urusan yang amat penting.

Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemberita, Wan Nordin Wan Yaacob tentang kehadiran Ezam bertemu dengan Lutfi, tetapi tidak dapat turut serta kerana ada tugasan di Alor Setar.

Butiran mengenai pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Lutfi dalam mesyuarat Jabatan Pengarang selepas itu.

Dalam pertemuan tersebut saya dimaklumkan Ezam begitu beriya-iya meminta dibekalkan bahan-bahan untuk membantunya berkempen membantu pembangkang, khususnya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Bahan utama yang diminta beliau ialah mengenai laporan Badan Pencegah Rasuah dan sebarang dokumen mengenai penyelewengan yang membabitkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Bahan-bahan tersebut sememangnya ada pada Lutfi, kerana sebelum ini beliau begitu giat mendedahkan apa yang disifatkan penyelewengan, salah laku dan rasuah yang membabitkan seorang bertaraf MB.

Pada saya, apa yang diminta Ezam barangkali ada relevannya dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Gerak, yang digiat memperjuangan budaya bersih rasuah dalam negara.

Namun, sampai kesudah Lutfi enggan menyerahkan dokumen tersebut, setelah didesak beberapa kali oleh Ezam.

Saya bertanya kepada Lutfi, mengapa tidak diberikan sahaja dokumen itu kepada Ezam, barangkali boleh membantu kempen PAS di Selangor.

Namun Lutfi enggan memberikan, katanya, dia berasa hairan mengapa Ezam tiba-tiba meminta dokumen mengenai Khir dan merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku.

Benarkah Ezam dibeli?

Sewaktu saya berbual-bual dengan rakan-rakan KeADILan di pejabat Anwar di seksyen 16 Petaling Jaya beberapa hari sebelum PRU, saya ada memaklumkan kepada mereka bahawa bekas sahabat baik mereka ada mengunjungi Harakah.

"Ah! Engkau pedulikan sahaja dia tu, dia dah kena beli dengan Khairy (Khairy Jamaluddin)," dakwa seorang bekas Setiausaha Anwar.

Belum pun saya bertanya lebih lanjut beliau mendakwa, "Kami dapat maklumat dari budak-budak Gerak, RM1 juta dah masuk dalam akaun dari Norza, budak Khairy."

Saya faham mereka mendakwa seolah-olahnya Ezam sudah memperolehi sesuatu dari Khairy, melalui Dato' Norza Zakaria, Ahli Majlis Tetinggi Umno, yang dikaitkan sebagai kroni rapat menantu PM itu.

Persoalan mengapa Ezam meminta dokumen mengenai Khir Toyo terjawab. Khairy dikatakan tidak menyukai bekas MB Selangor itu dan berusaha untuk menjatuhkannya dengan menggunakan Ezam.

Oleh kerana itu pada saya, kebimbangan Lutfi di atas gaya body language Ezam dalam pertemuan mereka barangkali juga ada asasnya.

Di kalangan KeADILan diberitahu, Ezam ada membuat beberapa kali pertemuan dengan Khairy, sebelum ini.

Kes tentang apa yang didakwa membabitkan 'perundingan' Ezam dengan pemimpin-pemimpin Umno bukannya baru.

Beberapa tahun lepas, didedahkan kes yang sama timbul sewaktu 'perundingan' diadakan dengan Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kalangan yang masuk Umno ketika itu, membabitkan bekas Naib Ketua Pemudanya, Zahid Mat Arif dan bekas tahanan ISA, Lokman Nor Adam yang didakwa memperolehi sejumlah wang atau 'ghanimah politik' di atas penggadaian prinsip perjuangan mereka.

Zahid dan Lokman beserta beberapa yang lain, ditempelak hebat kerana meninggalkan perjuangan untuk memasuki Umno.

Ketika Lokman ditempelak, untuk menjawab segala tohmahan, Lokman mengatakan bukan inisiatif beliau pada asalnya pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Subang dibuat.

Katanya, beliau ada bukti dan gambar ada pimpinan tertinggi KeADILan yang mengetuai delegasi perundingan untuk memasuki Umno, ketika itu.

Ada yang mengatakan dakwaan mereka ada kaitannya dengan Ezam.

Jika ini benar, soal Ezam hendak masuk Umno, bukannya perkara baru. Maka Ezam tidak boleh mengelak untuk dikaitkan dengan persepsi bahawa, perundingan beliau masuk Umno barangkali membabitkan soal jawatan dan 'peruntukan'.

Soal banyak mana, apa yang diperolehi oleh Ezam dan rakan-rakan rapatnya, yang mendorong mereka memasuki Umno, tidak dapat dipastikan.

Apa yang Ezam mampu lakukan dalam Umno?

Sebelum ini, khususnya sewaktu Ezam 'bercerai' dengan KeADILan, beliau begitu rapat dengan pemimpin-pemimpin PAS, antaranya Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ezam juga sering berjumpa dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ada banyak janji 'tidak akan masuk Umno' yang sering Ezam ulang-ulangkan di hadapan pemimpin PAS.

Ada banyak "Sumpah Keramat" Ezam dalam ceramah-ceramahnya yang menempelak, mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib dan banyak lagi yang masih ada dalam rekod berbentuk kaset dan VCD.

Semua rekod-rekod ini menjadi bukti bahawa Ezam sebenarnya sudah menggadaikan prinsip perjuangan yang beliau sendiri bersumpah acapkali.

Tanpa disedarinya sumpah-sumpah ini semua sedang memakan diri Ezam. Hanya masa dan waktu sahaja akan menentukan. Wallahu a'lam.

Apa pun yang berlaku, sama ada ungkapan Ezam berbentuk janji, sumpah dan sebagainya, hakikat yang dibuktikan sekarang di hati Ezam hanya ada Umno, bukan PAS, jauh sekali KeADILan.

Ezam barangkali berfikir, laluannya memasuki Umno, menerusi Khairy terus kepada Abdullah boleh menjadi suatu advantage baginya.

Semuanya belum tentu! Orang-orang Umno sedang mencongak, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku dengan kemasukan Ezam ke dalam parti yang hampir karam itu.

Pertama, seperti kata Dato' Seri Najib Tun Razak, 'Ezam ada banyak maklumat'. Mungkin maklumat-maklumat ini boleh digunakan untuk membelasah Anwar dan menghalang pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kemungkinan kedua; Tidak boleh dinafikan wujud persepsi bahawa Ezam masih agen Anwar Ibrahim. Dalam keadaan sekarang, ada kalangan ahli Umno yang bimbang, Ezam boleh digunakan Anwar untuk menambahkan kerosakan dalam Umno.

Kemungkinan ketiga; Tiada apa-apa pun perubahan yang boleh berlaku kepada Umno! Sewaktu berbondong-bondong ahli Umno diketuai bekas Presidennya, Dr Mahathir keluar Umno kerana kegagalan Abdullah Badawi, Ezam pula hendak masuk Umno atas alasan Abdullah sudah mengubah Umno dan kerajaan.

Apa yang Abdullah ubahkan pun tidak diketahui. Malah Abdullah, BN dan Umno ditolak rakyat dalam PRU Mac lepas kerana dasar-dasar yang lapuk yang tidak boleh diterima.

Malahan sebahagian besar orang-orang Umno berpendapat, parti itu hanya akan berubah hanya apabila Abdullah Badawi meletakkan jawatan.

Umno ibarat Titanic dan tongkang pecah yang sedang menanti untuk karam. Mudah-mudahan 'niat' baik Ezam dan suku sakatnya menyertai kapal, boleh menampung kerosakannya untuk terus berlayar.

Barangkali Umno/BN boleh terus berlayar, tetapi bukan sebagai kerajaan, tetapi sebagai pembangkang.

Ikutlah, mungkin juga nasib Ezam untuk terus menjadi pembangkang.

Cuma, pesanan bekas rakan-rakan seperjuangan kepada anda, jangan jadi seperti "Ayam jantan yang gah berkokok berderau-derau, tetapi ekornya bergelumang dengan najis."

Apa pun, well...good luck saudara Ezam!

7 bekas pemimpin AMK ikut Ezam

0 Komen!!!
Muda Mohd Noor & Zahra Hamdan | May 29, 08 1:01pm
Tujuh orang bekas pemimpin utama Angkatan Muda Keadilan (AMK), termasuk bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menurut jejak langkah bekas ketua AMK, Ezam Mohd Nor untuk menyertai Umno.

Mereka ialah Anuar Shaari (foto), Abdul Ghani Haron, Khairul Anuar Ramli, Ahmad Daud Che Ghani, Azwan Hamzah, Mohd Nazmi dan S D Johari.

Hasrat mereka itu diumumkan oleh Ezam dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya pagi tadi.

Azwan dan Abdul Ghani adalah bekas exco AMK, manakala Anuar merupakan setiausaha sulit Anwar di Kementerian Kewangan dan juga bekas ketua PKR Permatang Pauh.

Nazmi pula adalah bekas setiausaha AMK Selangor dan Johari merupakan bekas setiausaha AMK pusat.

Khairul Anuar pula adalah bekas ketua AMK Kedah dan Ahmad Daud pula bekas ketua AMK Perlis.

Anuar dan Khairul Anuar telah menyerahkan borang keahlian mereka kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen petang ini.

Manakala yang lainnya akan menyerahkan borang keahlian masing-masing dalam masa terdekat ini.

Majlis penerangan

"Saya dapat kira-kira 1,000 sistem pesanan ringkas (SMS) dengan majoriti positif apabila saya menyertai semula Umno.

"Reaksi itu termasuk dari pemimpin PKR di negeri yang diperintah oleh parti itu sendiri," kata Ezam.

Ezam berkata, beliau akan membuat penerangan ke seluruh negara untuk memberitahu ahli PKR mengenai keputusannya menyertai semula Umno.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan memaksa mereka untuk mengikut jejaknya menyertai Umno.

"Saya membuat penerangan supaya mereka dapat membuat keputusan sendiri," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan terus berada dalam Umno jika agendanya membawa perubahan di dalam Umno tidak berjaya, Ezam berkata, beliau tidak boleh meramalkan masa depan.


"Kita tidak tahu masa akan datang. Dalam politik ada keluar masuk. Tetapi saya bukan keluar Umno tetapi dipecat pada 1999 kerana mengkritik presiden parti ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.

Kongsi Link Anda