Popular Today

Jumaat, Mei 23, 2008

Dr M: Jangan libatkan Agong

May 22, 08 7:19pm
Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak perlu dilibatkan dalam usaha membantu menyelesaikan kemelut antara beliau dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Ini soal politik Umno, kita tak akan bawa kepada Agong," katanya apabila diminta mengulas mengenai cadangan itu oleh veteran Umno Tan Sri Aziz Tapa.

Abdul Aziz memberitahu Bernama bahawa kemelut antara dua pemimpin itu telah mencapai tahap yang memerlukan penglibatan Yang di-Pertuan Agong sebagai "orang tengah" untuk menyelesaikannya.

Veteran Umno itu berkata hanya menerusi campur tangan Tuanku Mizan sebagai wakil Raja-raja Melayu, kedua-dua pemimpin itu boleh duduk berbincang bagi mengatasi perselisihan pendapat antara mereka.

Menurut Bernama, Dr Mahathir, yang berada di Tokyo bagi menghadiri persidangan antarabangsa Nikkei, juga berkata beliau tidak ada halangan jika Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin menemui beliau.

Kemelut antara Dr Mahathir dan Abdullah memuncak selepas bekas perdana menteri itu mendesak Abdullah meletak jawatan setelah Umno dan Barisan Nasional mengalami prestasi buruk dalam pilihanraya umum lepas.

Isnin lepas Dr Mahathir mengumumkan tindakannya untuk keluar Umno dan berkata akan hanya kembali jika Abdullah berundur.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda