Popular Today

Khamis, Jun 05, 2008

KENYATAAN MEDIA MENGENAI PAKEJ PENSTRUKTURAN SEMULA SUBSIDI

Kerajaan komited untuk memastikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana tidak akan dibebani dengan kenaikan kos petrol dan makanan. Namun, kos petrol dan komoditi di peringkat global, telah mengalami kenaikan yang drastik dan subsidi perlu distruktur semula supaya bantuan dapat diagihkan dengan lebih adil. Subsidi yang distruktur semula ini akan memberi lebih manfaat kepada mereka yang memerlukannya, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Kabinet hari ini telah meluluskan satu pakej penstrukturan semula subsidi bahan api yang turut merangkumi mekanisme untuk melindungi golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Untuk itu, Kabinet telah memutuskan untuk mengambil langkah-langkah berikut, sebagai pakej permulaan program penstrukturan subsidi:

1. PENSTRUKTURAN SUBSIDI PETROL DAN DIESEL DI PAM


Berkuatkuasa esok, 5 Jun 2008, harga petrol akan meningkat sebanyak 78 sen dan diesel sebanyak RM1.00 setiap liter. Harga baru petrol dan diesel di pam adalah RM2.70 seliter dan RM2.58 seliter.

Untuk mengurangkan beban kenaikan kos petrol dan diesel ke atas golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Kabinet juga bersetuju untuk memberi bayaran tunai kepada warga Malaysia yang memiliki kenderaan persendirian termasuk pemilik motosikal seperti berikut:

a) Bagi pemilik kenderaan persendirian berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta pick up truck dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan akan diberikan.

b) Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai sebanyak RM150 setahun bagi setiap motosikal akan diberikan.

Bayaran tunai ini akan diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor (cukai jalan). Bayaran ini meliputi kenderaan dengan cukai jalan yang berkuat kuasa mulai 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009. Bayaran tunai ini akan diberikan secara Kiriman Wang (Money Order) di pejabat Pos Malaysia, di seluruh negara, mulai 1 Julai 2008.

Bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori bayaran tunai tersebut, Kabinet telah memutuskan untuk mengurangkan cukai jalan mengikut kadar berikut berkuatkuasa 1 Jun 2008:

a) Bagi pemilik kenderaan persendirian petrol dan diesel berkapasiti enjin melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM200.

b) Bagi pemilik motosikal persendirian berkapasiti enjin lebih daripada 250cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM50, tertakluk kepada cukai jalan minima sebanyak RM2.

2. MENYELARASKAN SUBSIDI DIESEL UNTUK SYARIKAT PENGANGKUTAN YANG DILULUSKAN, SYARIKAT PENGANGKUTAN VESEL DAN NELAYAN

Pada masa ini, operator pengangkutan, nelayan dan pemilik vesel menikmati harga subsidi berbeza bagi diesel. Harga diesel adalah RM1.00 seliter untuk nelayan dan RM1.20 seliter bagi pemilik vesel. Kabinet hari ini telah bersetuju untuk menyelaraskan harga diesel kepada RM1.43 seliter berkuatkuasa esok 5 Jun 2008. Harga yang diselaraskan ini tidak akan menjejaskan syarikat pengangkutan di bawah sistem fleet card kerana mereka akan terus menikmati subsidi petrol dan diesel pada harga ini.

Untuk itu, Kabinet telah bersetuju untuk membayar sebahagian daripada perbezaan harga lama dan baru secara tunai kepada nelayan dan pemilik vesel seperti berikut:

a) Bayaran tunai sebanyak RM200 setiap bulan bagi setiap pemilik dan pekerja vesel rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Jabatan Perikanan

b) Bayaran insentif kepada pemilik vesel pada kadar 10 sen sekilogram hasil tangkapan ikan yang didaratkan oleh vesel perikanan berdaftar di pusat pendaratan ikan di dalam Negara.

Pembayaran akan diuruskan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Kabinet memutuskan pengusaha bot penumpang sungai juga akan diberi bayaran tunai sebanyak 10 sen seliter berdasarkan kuota yang diluluskan.

3. PETRONAS AKAN MENYUSUN SEMULA SUBSIDI GAS

Mulai 1 Julai 2008, harga gas yang dibekalkan oleh Petronas di Semenanjung Malaysia akan diubah seperti berikut:

a) Bagi sektor elektrik, harga akan dinaikkan daripada RM6.40 setiap mmBtu kepada RM14.31 setiap mmBtu;

b) Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan kurang daripada 2mmscfd, harga yang ditetapkan oleh Gas Malaysia Sdn Bhd (GMSB) akan dinaikkan daripada RM9.40 setiap mmBtu kepada RM24.54 setiap mmBtu.

c) Bagi pengguna sektor industri yang menggunakan lebih daripada 2 mmscfd, harga gas yang dibekalkan oleh Petronas akan dinaikkan daripada RM11.32 setiap mmBtu kepada RM32.56 setiap mmBtu.

Bagaimanapun, bantuan khas akan diberikan kepada pengguna GMSB iaitu bagi kategori Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). Pengguna ini akan menghadapi kenaikan yang lebih rendah bagi kadar tarif gas.

Selaras dengan dasar tenaga boleh diperbaharui (sustainable energy), Petronas akan mengurangkan subsidi bagi sektor elektrik secara progresif sejajar dengan harga pasaran semasa, sehingga tahun ke-15, apabila parasnya mencecah harga pasaran. Pada masa yang sama, subsidi bagi sektor industri akan dikurangkan secara progresif sejajar dengan harga pasaran, sehingga tahun ke-11, apabila parasnya mencecah harga pasaran.

Harga minyak masak (Gas Petroleum Cecair atau LPG) dan Gas Asli bagi Kenderaan (NGV) tidak akan berubah. Harga bagi LPG dan NGV tetap pada kadar sedia ada iaitu RM1.75 setiap kg dan 63.5 sen setiap liter.

4. STRUKTUR BARU TARIF ELEKTRIK

Untuk sekian lama, rakyat Malaysia termasuk sektor komersil dan industri, telah menikmati diskaun yang tinggi bagi gas yang disediakan oleh PETRONAS. Pada masa yang sama, Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menampung kenaikan harga arang batu.

Dengan penstrukturan semula subsidi gas dan kenaikan harga arang batu, Kerajaan telah meluluskan satu struktur baru tarif elektrik bagi membolehkan TNB menyerap kos bahan api bagi gas dan arang batu. Struktur tarif baru yang akan berkuatkuasa pada 1 Julai 2008 ini, akan diguna pakai oleh semua pengguna domestik (rumah), komersil dan industri di Semenanjung Malaysia sahaja. Satu struktur tarif baru akan diumumkan tidak lama lagi bagi Sabah dan Sarawak.

Selaras dengan hasrat Kerajaan untuk melindungi sebaik mungkin kebajikan golongan berpendapatan rendah dan sederhana, struktur tarif elektrik yang baru ini tidak akan menjejaskan pengguna yang menggunakan 200 Kilowat Jam (kWj) ke bawah setiap bulan dengan anggaran bil elektrik adalah kurang daripada RM43.60. Ini bermakna, 59 peratus isi rumah di Semenanjung Malaysia akan membayar kadar yang sama selagi mereka mengekalkan tahap penggunaan yang sama.

Pengguna komersil dan industri akan mengalami peningkatan sebanyak 26 peratus. Bagaimanapun, bagi kategori komersil dan industri, pertimbangan dibuat kepada peruncit, pekedai dan pengusaha restoran kecil, serta pengguna industri seperti perusahaan kampung yang menggunakan tidak melebihi daripada 200 Kilowat Jam (kWj) setiap bulan akan hanya mengalami kenaikan 18 peratus. (Butiran terperinci bagi tarif baru elektrik dikepilkan bersama).

Langkah-langkah yang telah disebut adalah selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstruktur semula subsidi, yang mana usaha ini akan menuju ke arah harga pasaran yang sebenar, meningkatkan kecekapan pasaran serta menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjimatkan sumber tenaga. Sektor komersil dan industri akan menjadi lebih bermotivasi untuk melaksanakan langkah-langkah kecekapan dalam operasinya sementara pengguna bagi isi rumah akan mengamalkan penjimatan tenaga serta mengelak daripada pembaziran.

5. SUMBANGAN SYARIKAT PENJANA TENAGA BEBAS (IPP) DAN PENGELUAR MINYAK KELAPA SAWIT (POP) KE ARAH MENGURANGKAN BEBAN RAKYAT

IPP dijangka menjana keuntungan lebih daripada pulangan pasaran. Selaras dengan penstrukturan semula subsidi bagi gas, Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan peruntukkan di bawah Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 (Windfall Profit Levy Act 1998), ke atas IPP, sebagai sumbangan mereka terhadap kenaikan kos bahan api untuk menjana tenaga elektrik. Kuantum bagi levi itu adalah 30 peratus daripada lebihan pulangan aset pada nilai threshold melebihi 9 peratus berdasarkan akaun mereka yang diaudit.

POP juga, yang telah mencatat kenaikan untung ekoran harga minyak kelapa sawit yang tinggi di pasaran dunia. Kabinet hari ini telah bersetuju untuk memansuhkan levi sistem subsidi minyak masak (COSS) yang sedia ada berkuatkuasa 1 Julai 2008. Bagi menggantikannya, Kabinet telah membuat keputusan untuk melaksanakan peruntukan di bawah Akta Levi Keuntungan Berlebihan 1998 ke atas POP. Levi berikut akan dikenakan pada peringkat pemproses (millers):

i) Bagi Sabah dan Sarawak, 7.5 peratus bagi setiap tan minyak mentah kelapa sawit (CPO) yang melebihi RM2,000

ii) Bagi Semenanjung Malaysia, 15 peratus bagi setiap tan CPO yang melebihi RM2,000

Walaupun COSS telah dimansuhkan, harga minyak masak tetap sama kerana hasil daripada pelaksanaan levi baru ini akan digunakan untuk membiayai subsidi minyak masak.

Kadar levi bagi POP di Sabah dan Sarawak adalah lebih rendah memandangkan mereka juga perlu membayar cukai kepada Kerajaan negeri (sebagai contoh 7.5 peratus ke atas CPO di Sabah dan 5 peratus ke atas CPO di Sarawak).

6. PENGAGIHAN PENJIMATAN DARIPADA PENSTRUKTURAN SEMULA SUBSIDI DAN PENDAPATAN YANG DIPEROLEH DARIPADA LEVI

Kerajaan menganggarkan sejumlah RM13.7 bilion daripada penjimatan yang akan diperolehi daripada penstrukturan semula subsidi petrol, diesel dan gas serta pendapatan daripada levi yang dikenakan terhadap IPP dan POP. . Dikepilkan bersama lampiran maklumat pengagihan berkenaan.

7. MENINGKATKAN THRESHOLD CUKAI PERKHIDMATAN BAGI PERKHIDMATAN RESTORAN DI LUAR HOTEL

Restoran yang terletak di luar hotel yang telah mencapai perolehan jualan tahunan (threshold) lebih daripada RM500,000 dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 5%. Terdapat rungutan mengenai threshold cukai perkhidmatan ini yang dianggap terlalu rendah sehinggakan gerai makanan di kawasan luar bandar kini mampu mencapainya.

Bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan bayaran cukai perkhidmatan dalam memperoleh perkhidmatan penyediaan makanan dan minuman oleh restoran yang terletak di luar hotel, Kerajaan bersetuju threshold cukai perkhidmatan bagi restoran sebegini ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM3 juta.

Peningkatan threshold di atas berkuat kuasa mulai 1 Julai 2008.

Sumber : Laman Web Rasmi Pejabat Perdana Menteri (http://www.pmo.gov.my/)

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda