Popular Today

Rabu, Oktober 15, 2008

Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA) & Tahanan Tanpa Bicara dari perspektif Siyasah Syariyyah

1. Penentangan terhadap keharusan ISA adalah kerana kekeliruan akibat tidak dapat memahami fungsi dua kuasa iaitu kuasa esekutif (al-Sultah al-Tanfiziah) yang berasaskan maslahah umum dan kuasa perundangan (al-Sultah al-Qadaiyyah) yang mengenakan hukuman setelah disabit kesalahan mengikut prosedur mahkamah.

2. al-Qarafi dalam kitab al-Ihkam fi Tamyiz al-Fatawa an al-Ahkam wa Tasarrufat al-Qadhi wa al-Imam, menghuraikan peranan kuasa esekutif (Ketua Negara) dengan menyatakan bahawa pemerintah merupakan wakil rakyat yang menguruskan seluruh urusan rakyat samada menjaga kepentingan umum dan membenteras segala perkara menggugatnya.

3. Bagi melaksanakan tugas menjaga agama dan mengurus negara sudah tentu ketua negara mempunyai bidang kuasa luas tanpa perlu diikat dengan prosedur-prosedur yang ketat sebagaimana dalam bidang kehakiman.

4. al-Qarafi menyatakannya lagi dalam kitab al-Ihkam

للإمام أن يقضي وأن يفتي وأن يفعل ما ليس بفتيا ولا قضاء، كجمع الجيوش
وإنشاء الحروب وحوز الأموال وصرفها في مصارفها, وتولية الولاة وقتل الطغاة
وهي أمور كثيرة تختص به ولايشاركه فيها القاضي ولامفتي.
Maksudnya: “Ketua negara mempunyai kuasa kehakiman dan kuasa mengeluarkan fatwa. Ia juga boleh melakukan perkara-perkara yang tidak bersifat fatwa dan kehakiman seperti menghimpun tentera, mengisytiharkan perang, memungut hasil dan membelanjakannya ditempat yang betul, melantik pegawai-pegawai, membunuh penderhaka, iaitu tugas yang tidak boleh dilakukan oleh hakim dan mufti”

5. Di antara tanggungjawab ketua negara ialah “Hisbah”. Ibu al-Qayyim dalam kitabnya al-Turuk al-Hukmiyyah menyatakan;

والمقصود: أن هذه أحكام شرعية : لها طرق شرعية، لاتتم مصلحة الأمة إلا بها
ولاتتوقف على مدع ومدعي عليه بل لو توقفت على ذلك، فسدت مصلحة الأمة
واختل النظام بل يحكم فيها متولى ذلك بالإمارات والعلامات الظاهرة والقرائن البينة
Maksudnya: “ Dan maksud hukum-hukum yang dijalankan dibawah kuasa hisbah adalah merupakan hukum-hukum syarak. Hukum-hukum tersebut mempunyai kaedah-kaeadh di sisi syarak. Kepentingan umat mungkin tidak dapat dijaga dengan sempurna tanpanya. Pelaksanaan seperti ini tidak memerlukan pendakwa dan orang yang didakwa. Jika prosedur sedemikian diikuti (dakwa di mahkamah) , maka kepentingan umat akan musnah dan system pemerintahan akan menjadi kucar-kacir. Pihak berkuasa boleh menjalankan kuasa ini berdasarkan petanda-petanda yang jelas serta qarinah-qarinah yang boleh dijadikan keterangan (Circumastantial evidence).

6. Justeru, pemerintah boleh menahan seseorang tanpa bicara atas sebab kepentingan ummah. Sebagai contohnya telah diketahui bahawa seseorang itu adalah perancang pengeboman atau rusuhan tetapi tidak ada bukti kerana kemusnahan belum berlaku. Oleh itu, pemerintah boleh menahan perancang tersebut untuk mencegahnya sebelum berlaku.

7. Dalam hal ini juga, Dr. Saud bin Said al-Duraib dalam kitabnya at-Tanzim al-Qada’ fi Mamlakah as-Saudiyyah menyatakan;


فالحاكم بوصف الإمامة له أن يأمر بحبس الأموال أوصرفها، وله أن يعزل من يخشى على
الجماعة فتنته. كما فعل عمر رضي الله عنه مع صبيغ بن عسل التميمي عند ما عزله عن
الناس لما أراد تشكيكهم في أمر القرآن، وله أن يحبس أو ينفي من يرى فيه ضررا على
المجتمع.
Maksudnya: “Seseorang ketua negara dengan kuasa esekutifnya boleh mengeluarkan perintah membekukan harta atau membelanjakannya. Ia juga boleh mengasingkan (memenjarakan) orang yang menimbulkan kekeliruan terhadap masyarakat seperti yang dilakukan oleh Saidina Umar terhadap Sobiq bin Asal al-Tamimi kerana usahanya mengelirukan orang terhadap al-Quran. Pemerintah juga boleh menahan dan membuang daerah sesiapa yang pada pandangannya boleh mudharatkan masyarakat.

8. Penahan tanpa bicara harus dilakukan dalam kes harta benda sebagaimana yang dihuraikan oleh al-Syatibi dalam kitabnya al-Iktisom

إن العلماء اختلفوا في الضرب بالتهم، وذهب مالك إلى جواز السجن في التهم ،
وإن كان السجن من نوعا من العذاب، ونص أصحابه على جواز الضرب وهو عند الشيوخ من قبيل تضمين الصناع فإنه لو لم يكن الضرب والسجن بالتهم لتعذر
استخلاص الأموال من أيدي السراق والغصاب إذ قد يتعذر إقامة البينة فكانت المصلحة في التعذيب وسيلة إلى التحصيل بالتعيين والإقرار.

Maksudnya: “ Sesungguhnya para ulamak berbeza pendapat mengenai keharusan memukul tertuduh dengan tuduhan jenayah. Imam Malik berpendapat harus memenjarakan seseorang yang dituduh melakukan jenayah sekalipun tindakan itu merupakan sejenis penyiksaan. Malah sebahagian ulamak Maliki berpendapat bahawa pukul juga harus. Hukum ini pada pandangan ulamak Maliki samalah dengan hukum yang menetapkan supaya tukang yang mengambil upah mengantikan bahan yang diserahkan kepadanya oleh pelanggan (jika rosak atau hilang), kerana tanpa pukul dan penjara ketika ada tuduhan yang kuat, tidak mungkin dapat dikembalikan harta daripada tangan pencuri dan perompak. Ini memandangkan bukti keterangan kadang-kadang sukar diadakan. Maka terdapat kepentingan umum untuk mengenakan siksaan terhadap tertuduh sebagai cara mendapatkan kembali harta tersebut yang disembunyikan dan membuat pengakuan”.

9. a-Syatibi juga menolak dakwaan bahawa undang-undang tersebut boleh membuka pintu penyeksaan kepada orang yang tidak bersalah dengan katanya:

فإن قيل: هذا فتح باب لتعذيب البريء قيل ففي الإعراض عنه إبطال استرجاع الأموال
بل الإضراب عن التعذيب أشدّ ضررا، إذ لايعذب أحد لمجرد الدعوى، بل مع اقتران قرينة تحيك في النفس وتؤثر في القلب نوعا من الظن، فالتعذيب في الغالب لايصادف البريء
وإن أمكن مصادفته فتغتفر كما اغتفرت في تضمين الصناع.
Maksudnya: “ Jika dikatakan ini membuka ruang kepada penyiksaan orang yang tidak bersalah. Jawapannya ialah tanapa berbuat demikian harta benda tidak dapat dikembalikan kepada pemiliknya. Malah tidak melaksanakan siksaan seperti itu lebih besar mudaratnya. Sebenarnya seseorang itu tidak disiksa dengan wujud dakwaan semata-mata sebaliknya perlu disertai dengan petanda-petanda (qarinah) yang kuat dalam diri hingga menimbulkan sankaan yang kuat di dalam hati. Jadi siksaan pada lazimnya tidak mengenai orang yang tidak bersalah dan jika pun terkena ia dimaafkan seperti dimaafkan pada hukum mewajibkan ganti ke atas tukang-tukang yang merosakkan barang pelanggan”

Kesimpulannya penahanan tanpa bicara bagi kes yang melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam adalah lebih utama berbanding dalam kes harta benda sebagaimana yang diperbincangkan oleh al-Syatibi tadi. Malah keharusan menggunakan ISA boleh menjadi wajib apabila pemerintah mendapati keamanan dan keselamatan negara akan terjejas berasaskan kaedah usul fekah yang mengatakan sesuatu perkara yang tidak menyempurnakan perkara wajib melainkan dengannya, maka perkara itu turut wajib. Wallahua’lam

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda