Jumaat, Mei 30, 2008

Malaysia, Saudi kekal pasaran terbesar dunia aset Islam

KUALA LUMPUR 29 Mei - Malaysia dan Arab Saudi masih merupakan dua pasaran terbesar di dunia bagi aset pengurusan Islam yang kini mencecah kira-kira AS$1.34 bilion (RM4.35 bilion).

Secara keseluruhannya, dana pelaburan berkonsep syariah di Negara Teluk dan Asia Timur kini mencecah AS$267 bilion (RM868.15 bilion), demikian menurut akhbar Arab Saudi Dar El Hayah yang memetik laporan Dana dan Pelaburan Islam Ernst & Young 2008 (IFIR) yang diterbitkan semalam.

Laporan itu diterbitkan sempena Persidangan Dana dan Modal Islam yang berakhir Selasa di Manama, ibu negara Bahrain.

Laporan itu merekodkan lebih 500 dana menepati Syariah diuruskan di seluruh dunia sehingga 31 Mac 2008.

Menurut laporan itu, terdapat sebanyak 134 dana bersama Islam di Malaysia, yang mewakili 10 peratus daripada jumlah keseluruhan aset dana pelaburan di Malaysia, manakala Arab Saudi sebanyak 120 dana atau 55 peratus daripada keseluruhan dananya.

"Namun, kedua-dua pasaran ini perlu cara berbeza dan lebih kreatif dalam mengatur strategi pelaburan" kata laporan itu.

"Jika di Arab Saudi, produk kewangan Islam masih merupakan alternatif selain sistem kewangan konvensional, di Malaysia pula, ia telah diterima pakai secara meluas. Bermakna, para pelabur sedia berurusan dalam kedua-dua jenis produk kewangan tersebut, sama ada konvensional mahu pun yang menepati hukum syarak", kata laporan itu.

"Menariknya, kepelbagaian sektor aset Islam di Malaysia telah mewujudkan suasana pelaburan Islam yang berdaya saing dan mampu menarik ramai pelabur termasuk yang bukan Islam", kata laporan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Kewangan Ernst & Young Bahrain, Sameer Abdi berkata, negara Teluk kini sedang menikmati perolehan minyak dan akan kembali menarik lebih banyak dana Islam di peringkat global.

"Pertumbuhan tersebut masih di peringkat pertama," katanya, yang mengulas laporan IFIR.

Bagaimana pun, beliau mengakui bahawa sektor dana Islam di negara Teluk perlu dipelbagaikan dalam usaha menarik lebih ramai pelabur asing.

- Bernama

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda