Rabu, Jun 04, 2008

Islam hadhari: Mufti ulas Dr Hassan

Jimadie Shah Othman (Malaysia Kini) May 30, 08 7:37pm
Mufti Perlis mencadangkan kerajaan Selangor yang mengharamkan Islam hadhari supaya menilai perkara itu secara objektif dan menerima aktiviti dan dasarnya yang baik.

"Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan," kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

"Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu."

Melalui laman webnya 'Minda Mufti', beliau mengulas kenyataan exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali awal minggu ini, termasuk isu pengharaman arak dan hiburan.

Isnin lalu, kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Dr Hassan berkata semua masjid dan surau diarah tidak lagi mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup," katanya.

Mengulas cabaran Dr Hassan agar membuktikan calon-calon PAS, termasuk beliau sendiri, pernah berjanji untuk mengharamkan arak dan judi di Selangor, Dr Mohd Asri mengulas:

"Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Saya seakan bermimpi. Suara siapakah yang saya dengar sejak dahulu yang begitu garang menghentam dan mengkritik kewujudan arak dan judi dalam negara ini.

"Aduhai politik dan kerusi terlalu cepat mengubah manusia. Tidak hairan jika ada tokoh yang menyebut: 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'."

Jika terus berdepan isu pengharaman dua perbuatan maksiat itu, beliau mencadangkan exco kanan kerajaan Selangor itu menjawab:

"Alangkah baik jika disebut: 'kita sedang berusaha, atau masih dalam proses, atau mengambil pendekatan yang tersusun, atau sedang meneliti' atau seumpamanya."

Dr Hassan, yang juga pesuruhjaya PAS, menafikan parti itu pernah berjanji menutup semua pusat hiburan termasuk kilang arak dalam pilihanraya umum lalu.

Bercakap ketika membuat penggulungan di akhir akhir DUN Selangor, beliau mencabar sebarang pihak agar mengemukakan bukti yang menunjukkan pemimpin PAS pernah membuat janji sedemikian.

"Jika ada yang mendakwa saya dan ahli PAS lain yang membuat janji ini, saya cabar mereka kemukakan, tunjukkan bukti daripada mana-mana sumber.

"Jika mereka ada bukti, sila tunjukkan kepada saya bahawa PAS ada membuat janji-janji ini kerana kita tidak pernah membuat janji sedemikian."

-------------------------------------------------------------------------
P.s; PAS kini bersuara berbeza dari dahulu, ini namanya hipokrasi, kalau dahulu PAS lah yang memperjuangkan dan mempersoalkan tentang hasil negara dari genting dan kilang arak dan mahu menutupnya sekira memerintah.

Kini bunyinya dah lain pula, PAS nampaknya semakin 'hancur', agama hanya dipergunakan untuk kepentingan parti politik mereka yang sempit dan tidak konsisten dalam pendirian. Malang untuk orang Melayu yang menyokong mereka. Hukum sentiasa berubah.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda