Popular Today

Rabu, Mei 07, 2008

Isu Sukhoi akhirnya dijawab - Beli Sukhoi, Scorpene ikut tatacara

KUALA LUMPUR 6 Mei – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rundingan perolehan bagi pesawat Sukhoi SU30MKM dan kapal selam Scorpene oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kelulusan daripada semua peringkat serta mematuhi Tatacara Pelaksanaan Kontrak-Kontrak Perolehan Peralatan Pertahanan Negara.

Katanya, rundingan mengikut prosedur itu melibatkan pelbagai peringkat kelulusan termasuk Jawatankuasa Teknikal dan Jawatankuasa Rundingan Harga setelah penilaian dibuat bagi memastikan perolehan tersebut menepati keperluan ATM.

“Semuanya telah diperiksa oleh agensi pusat sebelum kita menandatangani kontrak tersebut.

“Janganlah kita membuat tuduhan melulu, (sebaliknya) mesti fokus pada fakta sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Pekerja dan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Ketua Pembangkang, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Dewan Rakyat semalam yang meminta kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas bagi menyiasat rundingan perolehan kapal selam Scorpene dari Perancis dan pesawat Sukhoi dari Rusia.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan yang diedarkan kepada media berhubung perolehan kapal selam Scorpene dan pesawat Sukhoi menjelaskan, rundingan perolehan tersebut turut dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi mendapatkan kelulusan ke atas klausa-klausa kontrak tersebut.

Menurut kementerian itu, semua terma dan kelulusan untuk rundingan terus telah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dan kontrak hanya ditandatangani selepas kelulusan Kementerian Kewangan.

Kenyataan itu memberitahu dakwaan Dr. Wan Azizah bahawa kerajaan membayar komisen sebanyak RM540 juta kepada penganalisis politik, Abdul Razak Baginda berhubung pembelian kapal selam Scorpene adalah tidak berasas kerana tiada sebarang komisen dibuat.

“Ini kerana perolehan kapal selam dibuat secara rundingan terus selaras dengan tatacara perolehan kerajaan dengan syarikat pembuat iaitu Armaris (Perancis) dan Navantia (Sepanyol) yang telah mendapat persetujuan daripada kerajaan masing- masing,” katanya.

Kementerian Pertahanan turut menjelaskan Syarikat Perimekar Sdn. Bhd. yang didakwa menerima komisen sebenarnya hanya diberikan kontrak menyediakan perkhidmatan sokongan dan koordinasi untuk tempoh enam tahun dan nilai kontrak sebanyak euro 114.96 juta itu dibayar secara berperingkat-peringkat mengikut kemajuan pelaksanaan projek.

“Syarikat ini adalah kerjasama dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan akaun syarikat itu diaudit dan semua pihak boleh melihat akaun syarikat berkenaan,” katanya.

Mengikut kenyataan itu, skop sokongan Perimekar ialah menyediakan kemudahan dan kelengkapan serta insurans kesihatan bagi 27 keluarga pasukan projek di Perancis dan Sepanyol untuk tempoh enam tahun.

Katanya, syarikat itu juga menyediakan pejabat urusan dan kediaman berserta kelengkapan bagi krew kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) seramai 156 orang untuk tempoh empat tahun di Perancis, menyediakan insurans kesihatan bagi anggota serta keluarga yang terlibat, membayar elaun harian dan krew kapal selam sebanyak euro 50 sehari seorang untuk tiga tahun pertama dan euro 60 sehari seorang pula untuk tiga tahun kedua.

Perkhidmatan koordinasi pula antaranya melibatkan tanggungjawab memastikan penyertaan syarikat Malaysia dalam pembinaan dan membantu syarikat-syarikat Malaysia berpotensi untuk menyertai off-set dan menyelaras latihan krew kapal selam.

Mengenai perolehan pesawat Sukhoi SU30MKM pula, Kementerian Pertahanan berkata, perolehan dibuat secara rundingan terus dengan Rosoboronexport, syarikat milik negara Rusia.

“Syarikat Rosoboronexport telah melantik sebuah syarikat tempatan untuk memudahkan urusan mereka di negara ini dan kementerian ingin menegaskan urusan perniagaan antara syarikat Rusia dan syarikat tempatan yang dilantik adalah merupakan urusan perniagaan biasa semata-mata dan sama sekali tidak melibatkan kerajaan Malaysia.”

– Bernama

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda