Popular Today

Rabu, Jun 04, 2008

Belajar kejatuhan institusi Raja Nepal

DR. GUNAWAN MAHMOOD
Kuala Lumpur

SAYU dan hiba hati saya menatap berita di Utusan Malaysia (29 Mei 2008) mengenai tamatnya sebuah monarki yang berkuasa selama 230 tahun. Akhirnya Raja Gyanendra tunduk juga kepada 'pakatan rakyat' yang mahu raja disingkirkan.

Apabila Pergerakan Mao dan golongan yang sepertinya mula menguasai Parlimen, maka raja hanya tinggal dalam kenangan sejarah. Raja terpaksa meninggalkan istananya dan memohon simpati rakyat.

Rakyat pula seakan-akan berpesta meraikan kejayaan menumbangkan rajanya. Inilah pengajaran paling besar yang perlu diambil iktibar oleh rakyat berbilang kaum di Malaysia khususnya orang Melayu.

Perlu diingat bahawa rakyat Nepal sebelum ini adalah orang yang taat kepada rajanya tetapi hari ini mereka bersorak-sorak kegembiraan meraikan tumbangnya tonggak kekuasaan mereka.

Apakah pelajaran yang dapat kita ambil daripada peristiwa ini? Kepada orang Melayu, raja adalah simbol perpaduan dan perlindungan kepada rakyat. Raja disebut 'payung negeri' iaitu institusi yang bertanggungjawab menjadi tumpahnya kesetiaan rakyat.

Di dalam Rukun Negara, prinsip kedua menyebut, "Kesetiaan kepada Raja dan Negara." Maka raja kekal mewarisi pemerintahan dari dahulu hingga kini.

Selepas merdeka, negara kita mengamalkan pemerintahan Raja Berperlembagaan yang mewujudkan suasana aman dan harmoni dalam negara kita.

Apa yang kita harapkan jangan ada pihak yang cuba memperkecilkan institusi beraja di Malaysia. Rakyat dan raja mestilah dalam keadaan berpisah tiada. Tiada rakyat, tiadalah raja. Begitulah sebaliknya.

Jangan mempersendakan raja khususnya dalam hal ehwal pentadbiran agama Islam. Pemimpin dan raja mestilah sentiasa berbincang mencari jalan terbaik agar rakyat dan negara terus kekal harmoni.

Apabila raja dan rakyat tiada sepakat, maka berlakulah peristiwa hitam sebagaimana yang terjadi kepada Raja Gyanendra. Sebuah kerajaan yang lama akhirnya luruh di tangan rakyat. Rakyat pula janganlah bangga menjatuhkan rajanya.

Kita lihat banyak negara-negara maju masih mengekalkan sistem monarkinya. Mereka bangga berdiri di atas tradisi dan warisan sejarah rajanya yang panjang.

Sistem monarki mewujudkan satu cara hidup yang tertib dan bersopan lengkap dengan adat istiadat. Lihatlah Jepun dan England, sistem monarki telah melalui pelbagai cabaran dan hingga kini utuh menjadi lambang kebesaran bangsa mereka.

Marilah kita pelihara institusi beraja di Malaysia kerana ia menjadi naungan dan simbol taat setia rakyat jelata. Tanpa raja, rakyat dan pemimpin menjadi sama.

Rakyat pula akan menjadi tuan dan itulah yang disebut 'ketuanan rakyat'. Hindarkan perkataan itu dari kamus bangsa kita!

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda