Popular Today

Selasa, April 28, 2009

Malaysia pertama miliki institusi Islam mega

PUTRAJAYA 27 April - Malaysia akan menjadi negara pertama mempunyai institusi kewangan Islam mega dengan modal berbayar sekurang-kurangnya AS$1 bilion. (RM3.6 bilion)

"Dalam persekitaran ekonomi semasa, tiada institusi kewangan sedemikian. Malah, tidak ada di mana-mana dalam dunia," kata Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz kepada pemberita di sini hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini mengumumkan langkah-langkah penting untuk meliberalisasikan sektor kewangan.

Ia termasuk dua lesen perbankan Islam baharu akan ditawarkan kepada peserta asing tahun ini dengan modal berbayar sekurang-kurangnya AS$1 bilion.

Menurut Zeti, bank-bank berkenaan adalah untuk perniagaan antarabangsa.

"Kriterianya ialah bagi modal berbayar sebanyak AS$1 bilion. Oleh itu, perniagaan perlu antarabangsa, dari mana-mana bahagian dalam dunia bagi mewajarkan paras permodalan," katanya.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, turut mengumumkan dua lesen perbankan perdagangan baharu akan diberikan kepada peserta asing yang dapat membawa masuk profesionalisme dalam bidang khusus dan menyumbang dengan ketara kepada pembangunan negara.

Mengenai jenis pengkhususan yang diharapkan, Zeti berkata, produk dan perkhidmatan yang akan ditawarkan belum signifikan di Malaysia, seperti dalam infrastruktur, pertanian dan teknologi.

Bagi semua lesen yang diberikan pada 2009 permohonan perlu sebelum 31 Oktober dan jika berjaya, operasi perdagangan boleh bermula pada 2010.

Sementara itu, BNM dalam kenyataannya berkata, pemegang dua lesen baharu perbankan Islam itu mesti diperbadankan di Malaysia dan akan dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia. Bank-bank Islam baharu akan dilesenkan di bawah Akta Bank Islam 1983.

Bank itu boleh mempunyai kepentingan ekuiti asing sehingga 100 peratus.

Bagi pengendali takaful keluarga baharu akan didaftarkan di bawah Akta Takaful 1984. Modal diterbitkan dan modal berbayar minimum kekal RM100 juta.

Menurut BNM, kriteria berikut akan digunakan apabila menilai merit permohonan:

n Pemohon hendaklah sebuah institusi kawal selia yang berwibawa atau pemegang saham institusi kawal selia yang berwibawa, dan

n Pemohon hendaklah mempunyai rancangan perniagaan menyeluruh bahawa institusi berlesen baharu untuk ditubuhkan di Malaysia atau rakan kongsi asing yang ingin memiliki kepentingan ekuiti bank Islam domestik yang sedia ada, mempunyai kepakaran dan sumber yang boleh memanfaatkan pasaran kewangan Islam global dan akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat kewangan Islam antarabangsa.

Rancangan perniagaan tersebut harus merangkumi perkara yang memberikan manfaat besar, yang antara lainnya ialah:

n Bidang kepakaran khusus dengan perincian mengenai cara produk dan perkhidmatan yang ditawarkan tersebut akan mempertingkat kedalaman dan keluasan pasaran;

n Iltizam untuk membangunkan modal insan dan keperluan infrastruktur untuk operasi yang teguh di Malaysia; dan

n Rancangan mantap mengenai cara untuk memperluas operasi bagi pengembangan serantau dan antarabangsa. - Bernama

1 ulasan:

TAAVEEKUN PERAK berkata...

saya tertarik dengan satu isu yang amat hebat! Saya telah diberitahu oleh rakan blogger saya (yang dah kira macam otai la dalam dunia blog ini) bahawa kebanyakan wartawan suratkhabar Cina tidak tahu berbahasa Malaysia rupanya!

Tidak kira dari mana-mana suratkhabar cina la, mereka kebanyakannya tidak reti berbahasa malaysia, saya pun amat terkejut sekali la dengan berita itu, kerana pada hemat saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan sebagai seorang wartawan mereka seharusnya tahu berbahasa Malaysia!

Kongsi Link Anda