Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menolak bantahan awal Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya beliau dilepaskan daripada pertuduhan mengikut Akta Hasutan.
Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah, membuat keputusan itu selepas mendapati surat izin daripada Pendakwa Raya lengkap kerana ditandatangani sendiri oleh Pendakwa Raya dan bukan timbalannya.
"Dalam kes kita pada hari ini terdapat surat izin bertulis yang hampir sama dengan apa yang kelazimannya dikeluarkan untuk kes yang membawa hukuman yang lebih berat.
"Izin di dalam kes pada hari ini ditandatangani sendiri Pendakwa Raya. Dari segi nilainya ianya lebih tinggi kerana dipertimbangkan beliau sendiri bukannya oleh timbalannya," katanya.
Pada 17 Mac lalu, Karpal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebut kata-kata menghasut berkaitan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, pada satu sidang media di pejabatnya di Tetuan Karpal Singh & Co, Jalan Pudu Lama di sini antara tengah hari dan 12.30 tengah hari 6 Februari.
Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan