Popular Today

Selasa, Ogos 25, 2009

PR KECIL PERMATANG PASIR:PELUANG BN UNTUK KURANGKAN MAJORITI PAS

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos 2009 , awal Ramadan, dan penamaan calon pula 17 Ogos 2009. Pelbagai ramalan dan jangkaan dibuat tehadap jaguh dalam pilihan raya kecil DUN N.11 Permatang Pasir.

DUN Permatang Pasir merupakan salah satu DUN dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh di Negeri Pulau Pinang, yang dikuasai oleh PKR, DS Anwar Ibrahim. Kedudukan ini mendorong sesuatu pihak tertentu meramalkan PAS akan memenangi pilihan raya kecil ini. Malah, kehadiran bulan Ramadan bakal memberikan kemenangan kepada PAS dalam mempertahankan DUN Permatang Pasir.

Pilihan raya kecil ini diadakan berikutan penyandangnya Dato’ Mohd. Hamdan Abdul Rahman, yang mewakili Parti PAS, meninggal dunia kerana sakit jantung pada 31 Julai 2009. Dato’ Mohd. Hamdan Abdul Rahman adalah wakil tunggal parti PAS dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

Permatang Pasir adalah satu daripada tiga kerusi negeri dalam Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Dalam pilihan raya umum 2008, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi, menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi. Undi rosak yang dicatatkan adalah 227. Peratus keluar mengundi adalah 82.57%.

Pecahan Pengundi

Jumlah pengundi berdaftar bagi kerusi N.11 Permatang Pasir adalah seramai 20,350 pengundi, termasuk 14,715 pengundi Melayu (72.31%), 5,278 pengundi Cina (25.94%), 327 pengundi India (1.61%) dan 28 pengundi lain-lain kaum (0.14%).

Dalam konteks cara hidup pengundi Permatang Pasir pula, sebahagian besar pengundinya tinggal dalam taman perumahan yang berbentuk sederhana, kampong dan setinggan. Sebahagian besar pengundi nya terdiri daripada golongan petani, pekedai runcit dan pekerja kilang yang berpendapatan pertengahan (middle-class) .

Pola Pengundian

Berhubung dengan pola pengundian, keputusan pilihan raya sejak 1986 jelas menunjukkan bahawa UMNO dan PAS mempunyai jumlah penyokong yang seimbang dalam DUN ini. PAS didapati mendahului BN (UMNO) dengan perbezaan undi yang kecil iaitu hanya dengan kadar 5 peratus sahaja sehingga PRU12. Namun, pada PRU12, PAS mendahului BN kerana dilaporkan mendapat sokongan pengundi Cina.

Sokongan BN dan PAS seimbang

Sokongan PAS meningkat dalam PRU12 kerana, sambil sokongan pengundi Melayu didapati seimbang antara BN dan PAS, sebahagian besar pengundi Cina condong memihak parti pembangkang (PAS) kononnya untuk menunjukkan tanda protes terhadap BN.

Pengundi bukan Melayu, terutamanya pengundi Cina dilaporkan terpengaruh dengan dakwaan Penasihat PKR, Dato Seri Anwar Ibrahim kononnya UMNO mendominasi parti-parti komponen dalam BN, termasuk MCA, MIC, GERAKAN dan UMNO hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kaum Melayu sahaja. Dakwaan yang tidak berasas ini telah mempengaruhi sebahagian besar pengundi Cina, malah menyebabkan hampir 90 % pengundi Cina di DUN ini keluar mengundi calon PAS.

Strategi PAS menawan pengundi Cina

Selain itu, ada juga beberapa sebab dan strategi PAS yang menyebabkan pengundi Cina condong kepada PAS dalam PRU12. Antara sebab utama yang menyebabkan pengundi Cina menyokong parti PAS adalah strategi PAS bagi memikat hati pengundi Cina iaitu menggugurkan perjuangan matlamat menjadikan Malaysia sebagai sebuah Negara Islam. Malah, memperkenalkan slogan 'PAS untuk semua’. PAS didapati berkompromi kepentingan politik yang berteraskan Islam hanya untuk memancing undi bukan Melayu.

Selain itu, faktor komposisi pengundi Cina yang signifikan (27%) juga merupakan faktor utama yang menyebabkan kerusi DUN Permatang Pasir dimenangi oleh calon PAS dalam PRU12. Hampir 90 % pengundi Cina memihak calon PAS telah menyebabkan DUN Permatang Pasir dimenangi oleh PAS dengan majoriti 5,433 undi dalam PRU12.

DUN Permatang Pasir bukanlah merupakan kubu PAS seperti dilaporkan dalam media yang dipelopori oleh parti-parti pembangkang. Malah, DUN ini pernah dikuasai oleh BN (UMNO).
Pengundi Cina penentu keputusan

Namun, sejak tahun 1986, PAS didapati menyusup masuk (inroads) beransur-ansur dalam DUN ini bagi mendahului sokongan BN. Dengan ini, BN dan parti pembangkang masing-masing dikatakan mempunyai hampir 7,500 penyokong setia dalam DUN Permatang Pasir. Manakala, hampir 3,000 pengundi atau 15 % didapati mempunyai pendirian dan cita rasa politik yang tidak tetap, malah memilih calon berdasarkan isu semasa.

Peratus pengundi setia tersebut jelas menunjukkan bahawa sokongan bagi PAS dan BN adalah lebih kurang seimbang, terutamanya di kalangan pengundi Melayu. Apa yang mampu menentukan keputusan dalam pilihan raya kecil ini adalah undi pengundi Cina.

Isu

Akhir-akhir ini pengundi Cina dilaporkan melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap PAS kerana beberapa sebab . Antaranya:



1. Kerajaan PAS di negeri Kedah meroboh pusat memelihara khinzir di Alor Setar,Kedah;

2.Wakil PAS dalam Kerajaan PR Selangor melarang penjualan minuman keras, bir, di kedai-
kedai runcit di Shah Alam,Selangor;

3.Ahli Parlimen PAS tidak menyokong Ketua Menteri Lim Guan Eng dalam mengurus hal
Kg.Buah Pala di Negeri Pulau Pinang;

4.Kerajaan PR Pulau Pinang tidak melayan, malah tidak melantik ADUN tunggal PAS sebagai
ahli EXCO kerajaan negeri;.

5.Kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah yang diketuai oleh PAS menekan ADUN tunggal DAP yang
hampir meletakkan jawatannya di Kedah;

6.Seorang pemimpin PAS, selaku EXCO Hal Ehwal Agama Islam, mengkritik secara terbuka
terhadap seorang Ahli ECXO dari DAP, malah mendesak pemimpin DAP tersebut digugurkan
dari barisan EXCO Selangor;

7. Pemimpin-pemimpin PAS laku kurang adil dan tidak menunjuk semangat setia kawan
sepasukan terhadap pemimpin-pemimpin DAP di Selangor, Kedah dan P.Pinang;

8.Penyokong setia PKR kurang tidak gemar melihat kepimpinan PAS lebih menonjol dari
ketokohan DS Anwar Ibrahim dari PKR;

9.Pengundi DUN ini merasa calon PAS tidak mampu membawa pembangunan dan kemajuan
kepada DUN ini dalam konteks meningkatkan pendapatan keseluruhan penduduk DUN ini.
10.Masyarakt Cina puashati dengan kerajaan Najib Tun Razak kerana menyediakan banyak
peluang melabur dalam Amanah Saham Malaysia,Wawasan dan 1 Malaysia.

Isu-isu semasa tersebut dan pengurusan ekonomi yang baik oleh kerajaan kepimpinan Najib Tun Razak dijangka akan mempengaruhi pemikiran politik pengundi Cina supaya mengundi calon BN dan menolak calon PAS dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir.

Politik Perkauman

Pada masa yang sama, parti-parti pembangkang, terutamanya DAP sering membangkitkan isu-isu yang berkaitan dengan kekuatan ummah, kepentingan politik dan ekonomi kaum Melayu, Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan sebagainya secara terbuka. Parti PAS dilihat bersama dengan DAP dalam tuntutan yang tidak munasabah.

Perkara tersebut telah menimbulkan pengundi Melayu berkecil hati malah mendorong mereka menarik balik sokongan yang diberikan kepada PAS dalam PRU12. Ini jelas terbukti dalam pilihan raya kecil Manek Urai,Kelantan. Keputusan pilihan raya kecil Manek Urai jelas memaparkan kehakisan peratus sokongan Melayu terhadap calon PAS dan peningkatan sokongan pengundi Melayu terhadap calon BN.

Isu Teoh Beng Hock

Dalam pada itu, PR (PAS) dijangka akan membangkitkan kematian Teoh Beng Hock di Selangor sebagai isu utama untuk memikat hati pengundi Cina dalam pilihan raya kecil ini. Namun, sebahagian besar komuniti Cina didapati melahirkan perasaan puas hati terhadap usaha-usaha yang diambil oleh kerajaan kepimpinan Dato’ Seri Najib Tun Razak dalam mencari kebenaran dalam kes kematian Teoh bagi menegakkan keadilan terhadap keluarga Teoh Beng Hock.

Kekuatan UMO dimantapkan

Memandangkan DUN N.11 Permatang Pasir terletak dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh, yang dianggap kubu kuat parti PKR, malah bersempadan dengan kawasan DUN N.12 Penanti, yang juga merupakan kubu PAS, ada pihak yang berpendapat bahawa kedudukan geografikal kawasan ini akan menguntungkan PAS berbanding dengan BN. Tetapi, pada hakikatnya, sebahagian besar pengundi Melayu di DUN ini adalah penyokong UMNO sejak dulu lagi, dan mereka dilaporkan meninggalkan BN dalam PRU12 kerana timbul masalah dalaman dalam parti UMNO. Masalah dalaman yang berbangkit tempoh hari telahpun diselesaikan dan dengan itu penyokong UMNO dijangka akan kembali menyokong calon UMNO dalam pilihan raya kecil ini.

PR menghadapi masalah dalaman

Sebaliknya, Pakatan Rakyat pula kini dilaporkan menghadapi sindrom masalah dalaman antara rakan-rakan bersekutu, terutamanya antara DAP dan PAS di negeri-negeri yang ditadbir PR. Malah, rakyat pelbagai kaum, terutamanya kaum Melayu dan India melahirkan perasaan tidak puas hati dengan PR kerana PR gagal menunaikan janji-janji pilihan raya. PR lebih menumpukan perhatiannya dalam mencari kesalahan kerajaan BN daripada menunaikan janji-janji dan menyampaikan perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat seperti dijanjikan dalam PRU12 tanpa mengira kaum, agama dan etnik. Perkembangan terbaru dalam medan politik dan hubungan antara parti-parti yang menyertai PR ini dijangka akan mempengaruhi pengundi di DUN Permatang Pasir menolak calon PAS dan memilih calon BN.

BN mampu membela semua kaum

Sebahagian besar rakyat Malaysia kini sedar bahawa BN merupakan satu pakatan yang tulen antara parti politik yang mewakili pelbagai kaum dan etnik di Malaysia yang bermatlamat membela, mempertahankan dan memartabatkan bukan sahaja agama Islam malah hak keistimewaan orang Melayu sambil memelihara kepentingan-kepentingan sah kaum bukan Melayu, termasuk agama, bahasa, kebudayaan warga bukan Melayu berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. Kesungguhan dan komitmen BN dalam perkara ini terserlah dan diberi nafas baru dalam konsep 1 Malaysia, yang diumumkan oleh Najib Tun Razak apabila beliau mengambil alih kepimpinan negara dan BN.

BN mampu menyedia peluang pekerjaan

Selain itu, rakyat sedar bahawa hanya BN mampu menyediakan pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan. Menurut laporan kerajaan PR dalam sidang DUN Pulau Pinang pada 11.8.2009, sejak 6 bulan kebelakangan ini, hampir 2,082 orang kehilanagan kerja di Pulau Pinang (Jan-1107,Feb-566,Mac-654,April-453,Mei-355 dan Jun-54). Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan PR yang dipimpin oleh DAP tidak mampu menyediakan peluang pekerjaan bagi rakyat Pulau Pinang,malah mengurus ekonomi negeri dengan cekap.Ketidak cekapan PR akan membeban rakyat.

Tiada pendapatan yang mencukupi bagi orang Pulau Pinang akan menimbulkan masalah kurang kuasa membeli di kalangan rakyat. Maka, masalah ini dijangka akan merugikan pekedai-pekedai Cina yang mengharapkan pendapatan dari perniagaan kecil-kecilan di Permatang Pasir. Gejala terbaru ini dijangka akan menimbulkan kebimbangan di kalangan pengundi Cina bagi terus menyokong PAS dalam pilihan raya kecil nanti.

Sokongan BN meningkat

Berdasarkan perkembangan terbaru dalam medan politik di Malaysia sejak Najib mengambil alih teraju kepimpinan negara, terdengar desas-desus bahawa hampir 65% pengundi Melayu, 50% pengundi Cina dan 70 % pengundi India dijangka menyokong calon BN dalam pilihan raya kecil ini. Kedudukan inilah yang menyebabkan, malah mendorong Najib Tun Razak, selaku pengemudi BN, membuat kenyataan bahawa BN akan menunjukkan prestasi yang baik, malah mampu memenangi pilihan raya kecil Permatang Pasir pada 25 Ogos 2009.

Peluang BN menang cerah

Ada yang mengutarakan pendapat bahawa bulan Ramadan akan memberi kemenangan kepada calon PAS. Sesungguhnya, bulan Ramadan bukan hanya akan memberi rahmat kepada PAS, malah akan mencucuri rahmat dan kejayaan kepada seluruh umat Islam, termasuk calon BN. Ramai penganalisis politik tempatan meramalkan bahawa mood politik rakyat Malaysia kini banyak berubah selepas PRU12, khususnya selepas Najib mengumumkan konsep 1 Malaysia dan diikuti dengan pengumuman dasar-dasar sosial dan ekonomi yang menyerlah kepentingan semua kaum.


Akhir-akhir ini, perjuangan PAS juga didapati lebih mengelirukan pengundi bukan Melayu kerana tindakannya tidak mengambarkan slogan 'PAS Untuk Semua". Tindakan pemimpin-pemimpin PAS jelas membayangkan 'PAS Untuk Muslim Sahaja' . Tindakan pemimpin-pemimpin PAS di negeri-negeri yang ditadbir oleh PAS menimbulkan kesangsian di kalangan pengundi Cina terhadap matlamat PAS. Kekeliruan dan kesangsian kaum Cina terhadap PAS dijangka akan mempengaruhi pemikiran politik pengundi Cina supaya menolak calon PAS dan memilih calon BN dalam pilihan raya kecil Permatang Pasir. Ramai penganalisis politik berpendapat bahawa pengundi Melayu beralih menyokong calon BN di Manek Urai bukanlah sementara malah akan mengulang di Permatang Pasir.

Sumber: Wiramalaysia.blogspot.com

2 ulasan:

Jumayatara berkata...

Aku sokong Aspirasi Bangsa
UMNO setakat nak kurang majoriti PAS lebih baik tak payah bertanding macam kat PRK Penanti...tiada pembaziran

zahar berkata...

apirasi bangsa..dah sedap name ni kenapa isi die plak busuk(bangkai)..orang kampung pon dh pandai atau terlalu pandai...janganla jdi penipu...umno x kemana..

Kongsi Link Anda