Popular Today

Ahad, November 01, 2009

1PAS "DAP didahulukan, Islam ditinggalkan" : Krisis Dalaman PAS - bukan kocakan dalam cawan

SEORANG pemimpin muda Pas memberitahu penulis bahawa segala kekalutan yang berlaku dalam parti itu pada masa ini hanyalah ‘kocakan di dalam cawan.’

Maksud beliau ialah ia tidak akan sampai memudaratkan parti atau lebih tepat lagi boleh memecah belahkan parti.

Dari satu segi penulis tidak menafikan andaian berkenaan, namun begitu perlu juga diperingatkan bahawa ‘kocakan di dalam cawan’ tersebut telah meleleh keluar sehingga memaksa pucuk pimpinan Pas mengadakan mesyuarat khas bagi ‘membersihkannya.’’

Akhirnya seperti diduga, mesyuarat khas itu berlangsung dan berakhir dengan satu ‘resolusi’ yang dianggap untuk menyenangkan hati semua pihak yang terlibat.

Jawatankuasa Pas Pusat memutuskan tidak mengadakan Muktamar Agung Khas (EGM), sebaliknya bersetuju diadakan satu seminar bagi membincangkan pelbagai isu yang dihadapi oleh parti itu.

Ia bermakna Pas mengamalkan pendekatan menyelesaikan masalah dan pertikaian melalui kaedah menarik benang di dalam tepung, benang tak putus, tepung tidak berselerakan.

Semua pemimpin yang menjadi tumpuan dalam ‘perbalahan’ hadir dalam mesyuarat itu yang diadakan pada Rabu lalu. Selain Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mencetuskan isu EGM tersebut, tiga pemimpin yang menjadi sasaran beliau turut hadir mereka ialah Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas, Selangor, Datuk Dr.Hassan Ali.

Seperti diduga juga apabila mesyuarat itu selesai dengan baik (walaupun kita tidak tahu apa sebenarnya berlaku ketika mesyuarat berlangsung), pihak-pihak yang dianggap ‘musuh’ oleh sesetengah kelompok dalam Pas mula menjadi sasaran.

Tuduhan bahawa ‘musuh’ tersebut kecewa kerana perbalahan di dalam Pas sudah berakhir pun bergema. Malah ada penulis-penulis blog yang menyokong Pas secara terbuka menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) dan UMNO kecewa dengan penyelesaian damai yang dicapai oleh Pas.

Sebenarnya mereka berhak menulis apa sahaja dan membuat sebarang tafsiran yang mereka suka tetapi persoalannya sejauh manakah keputusan mesyuarat khas berkenaan akan meredakan situasi di dalam Pas?

Apa yang perlu difahami oleh semua pihak, kekalutan yang berlaku di dalam Pas bukan didorong atau dihasut oleh mana-mana pihak di luar parti itu. Segalanya bermula dengan kenyataan Nik Abdul Aziz yang mahu EGM diadakan bagi ‘membersihkan’ beberapa pemimpin Pas yang dilihat bermasalah.

Dari situ bermulalah kekalutan, biarpun cadangan EGM tersebut kemudiannya ditukarkan kepada mesyuarat khas. Ertinya, tidak ada campur tangan pihak luar sehingga memungkinkan Pas dilihat berhadapan dengan perbalahan.

Oleh itu, apabila pemimpin-pemimpin Pas mencapai kesepakatan untuk mengadakan sekadar satu seminar politik pada 7 November ini dan bukannya EGM, maka keputusan itu harus dihormati.

Tetapi persoalan yang bermain di fikiran banyak pihak termasuklah di kalangan ahli- ahli Pas sendiri, sejauh manakah seminar itu mampu menyelesaikan kemelut yang berlaku.

Ada yang sudah bertanya seandainya Nik Abdul Aziz tidak membuat kenyataan mengenai EGM atau mesyuarat khas Pas, apakah Pas akan mengadakan seminar politik bagi memperkasakan parti seperti mana yang hendak diadakan?

Malah ahli-ahli Pas juga bertanya, kalaulah tiada artikel yang disiarkan oleh mana-mana media mendedahkan mengenai kepincangan dalam Pas apakah perhimpunan di Taman Melewar itu akan berlangsung?

Cabaran

Semua ini menjadi cabaran kepada kepimpinan Pas untuk memastikan seminar tersebut bukan sekadar seminar biasa. Ia adalah seminar yang bakal menentukan hala tuju Pas selepas ini.

Hakikatnya terlalu banyak yang perlu Pas bincang atau tentukan dalam seminar berkenaan dan paling utama bagaimanakah Pas hendak memastikan parti itu benar-benar menjadi peserta utama dalam pakatan pembangkang dan bukannya sekadar ‘pak turut’.

Ia kerana walaupun Pas sudah secara rasminya menutup pintu rundingan dengan BN dan UMNO mengenai kerajaan perpaduan, tetapi itu bukanlah bermakna ia membuka laluan selesa kepada Pas untuk menjadi parti dominan dalam pakatan pembangkang.

Penyokong dan ahli Pas boleh mentafsirkan apa sahaja mengenai kenyataan ini termasuklah tuduhan jahil bahawa ia bertujuan memecahkan pakatan pembangkang yang didakwa kini semakin mendapat sokongan rakyat.

Tetapi realitinya, semua orang tahu bahawa Pas sebenarnya berhadapan dengan masalah untuk meyakinkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP bahawa mereka berhak menjadi parti dominan dalam pakatan tersebut.

Buat masa ini, Pas dilihat tidak mempunyai suara dan banyak tindakan atau cadangan parti itu ditolak mentah-mentah oleh PKR dan DAP. Kedua-dua parti berkenaan hanya melihat Pas sebagai ‘anggota pelengkap’ sahaja bagi mengelakkan pertembungan sesama pembangkang menentang BN.

Oleh itu perwakilan yang hadir di dalam seminar nanti perlu memberikan penegasan mereka bahawa mereka mahu melihat Pas dominan.

Penegasan ini bukanlah bertujuan untuk mencetuskan ketegangan sesama pakatan pembangkang tetapi ingin memastikan kedudukan Pas yang sewajarnya.

Sumber: Utusan Malaysia

1 ulasan:

Tai berkata...

Yalah encik, kebebasan ala mereka tu.

Kongsi Link Anda