Popular Today

Isnin, April 14, 2008

Ke mana hala tuju bangsa Melayu

Pilihanraya Umum ke-12 menunjukkan keputusan yang amat kritikal untuk survival bangsa Melayu. Dua parti teras Melayu iaitu BN melalui UMNO hanya memenangi sebanyak 79 kerusi parlimen dan PAS memenangi 23 kerusi Parlimen.

Apa yang akan terjadi sekiranya parti yang tunjangi oleh Melayu dan bumiputera tidak boleh bersatu? PAS pula tidak mempunyai suara di Pakatan Pembangkang. Adakah Melayu/Bumiputera akan kehilangan kuasa dan tanah air mereka. Mungkin sesetengah pihak menganggap ini sebagai mainan atau cara untuk menakut-nakutkan bangsa Melayu. Tetapi kemungkinan untuk apa-apa terjadi itu sentiasa ada. Kita tidak mengetahui apa yang bakal berlaku dan ke mana hala tuju bangsa Melayu selepas itu. Mesti sesuatu yang amat yang menyedihkan jika bangsa Melayu menjadi pengemis di negara ini dan di Tanah Air mereka.

Sesungguhnya amat malang bagi kaum Melayu, kuasa yang ada sedikit pada mereka untuk menjamin masa depan mereka kini semakin terhakis. PAS dengan cara PAS dan UMNO dengan cara UMNOnya. Ego mereka lebih besar dari menjamin masa depan kaum Melayu. Walaupun bunyinya amat ganjil, tetapi rasanya sudah masanya untuk umat Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik, demi bangsa mereka, demi tanah mereka dan demi agama mereka. Adakah orang Melayu sudah bersedia untuk perpaduan Melayu atau mereka belum bersedia lagi. Kita melihat bahawa jika kita bergaduh yang untung hanyalah kaum lain sahaja.

Semakin banyak desakan terhadap mereka yang sepatutnya tidak boleh diterima oleh bangsa Melayu jika mereka menganggap diri mereka sebagai tuan di bumi ini. Tuntutan untuk samaratakan Bangsa Melayu, Agama Islam dan Bahasa melayu. Hak Keistimewaan Melayu akan dihapuskan adakah suatu hari nanti Intitusi Beraja juga dihapuskan sebagaimana di Singapura. Adakah Malaysian Malaysia akan menjadi realiti pada masa akan datang. Slogan adil, bersih dan berkebajikan walaupun sedap bunyinya tetapi ianya membawa malapetaka yang besar kepada kaum Melayu. Apa ertinya jika Bangsa Melayu disamakan dengan kaum lain, agama Islam disamakan dengan kaum lain. Bahasa Melayu disamakan dengan bahasa kaum lain. Akhirnya apa yang ada pada kaum Melayu.

Bangsa Melayu perlu menerima hakikat bahawa mereka ketinggalan dalam banyak aspek kehidupan dan banyak lagi yang perlu di bantu ini dalam masa kaum Melayu berkuasa.Cuba bayangkan jika kaum Melayu tidak berkuasa di mana mereka agaknya. Bangsa Melayu tidak dapat menafikan bahawa hanya dengan kuasa politik sahaja yang boleh Melayu dibantu. Kepada semua kaum Melayu.... fikir-fikirkanlah.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda