Popular Today

Selasa, Ogos 26, 2008

Anwar Tertekan Berhadapan Dengan Tuduhan Liwat

BUKIT MERTAJAM, 26 Ogos (Bernama) -- Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadapi tuduhan meliwat bekas pembantu khasnya Mohd Saiful Bukhari Azlan kelihatan tertekan dengan menggunakan pelbagai taktik untuk mempertahankan dirinya.

Hari Ahad, beliau menggunakan Imam Masjid Wilayah Persekutuan, Ramlang Porigi dalam kempen pilihan raya Parlimen Permatang Pauh untuk mendakwa sumpah yang dibuat oleh Mohd Saiful Bukhari pada 15 Ogos lepas tidak sah di masjid itu dan tidak boleh diterima pakai.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh hari Isnin pula berkata imam itu yang menjadi saksi kepada sumpah tersebut tidak mempunyai latar belakang dalam bidang fekah, selain hanya berjawatan pegawai rendah.

Wan Zahidi berkata beliau bimbang kenyataan imam itu yang bersifat peribadi boleh menimbulkan kekeliruan umat Islam.

Sebelum ini Anwar turut menggunakan nota perubatan Mohd Saiful Bukhari di hospital swasta Pusrawi untuk mempertahankan bahawa bekas pembantunya tidak diliwat oleh beliau.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican hari ini berkata rakyat tidak boleh buat kesimpulan seseorang itu menjadi mangsa salah laku seks hanya daripada pemeriksaan awal kerana ia memerlukan pemeriksaan lebih terperinci.

"Tolong jangan terpengaruh dengan apa yang didakwa sebagai laporan perubatan ini kerana ia tidak lengkap. Pertama sekali kita tidak tahu sama ada laporan yang tersiar dalam risalah itu sahih atau tidak. Laporan perubatan perlu disahkan," katanya.

Pada Sabtu lepas Pengurus Besar Hospital Pusrawi Wan Mahmood Wan Yaakob berkata hospital itu tidak bertanggungjawab terhadap penyebaran meluas laporan pemeriksaan perubatan yang dibuat pada 28 Jun lepas ke atas Mohd Saiful Bukhari yang bukan berkaitan liwat oleh seorang pegawai perubatan klinik kemalangan kecemasan hospital itu.

Malah Anwar sebaik Mohd Saiful Bukhari membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Kuala Lumpur pada 28 Jun lepas telah melarikan diri awal pagi 29 Jun ke kediamana rasmi Duta Turki di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

29 JUN: Isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Anwar telah menyembunyikan diri kerana mendapat ugutan untuk membunuhnya sejak seminggu lepas dan beliau sedang berbincang dengan peguamnya untuk mendapatkan suaka polilik untuk Anwar.

30 JUN: Selepas bersembunyi di kediaman rasmi Duta Turki selama 26 jam Anwar kembali ke kediaman beliau yang diiringi keluarganya pada pukul 6.45 petang.

9 JULAI: Anwar mengadu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bahawa beliau telah difitnah oleh bekas pekerjanya itu tetapi mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 atas nasihat beberapa orang ulama yang turut menasihatkan beliau supaya tidak melakukan sumpah mubahalah.

14 JULAI: Anwar gagal hadir seperti dijanjikan di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur untuk memberi keterangan berhubung dakwaan liwat oleh bekas pembantunya terhadap beliau.

16 JULAI: Anwar ditahan mengikut Seksyen 377A Kanun Keseksaan bagi siasatan terhadap tuduhan meliwat dan ditahan reman selama sehari. Beliau turut dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan.

17 JULAI: Anwar dibebaskan dengan jaminan polis selepas polis mengambil keterangan daripadanya berhubung dakwaan kes liwat.

31 JULAI: Dr Wan Azizah umum letak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh bagi memberikan laluan kepada Anwar bertanding.

7 OGOS: Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap tuduhan meliwat Mohd Saiful Bukhari dan dibebaskan dengan jaminan bon peribadi sebanyak RM20,000 tanpa penjamin.

Anwar dituduh meliwat bekas pembantunya antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun lepas di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau dituduh melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii tanpa kerelaan terhadap Mohd Saiful Bukhari.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu, Anwar menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat.

16 OGOS: Anwar mencalonkan dirinya bagi mewakil PKR pada pilihan raya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos.

Beliau ditentang oleh Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda