Popular Today

Rabu, Disember 31, 2008

Dokumen ‘rahsia’ ada pada Anwar

SHAH ALAM - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Nor mendedahkan enam kotak dokumen yang didakwa ada hubung kait dengan rasuah dan penyelewengan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) itu ada pada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ezam berkata, tidak timbul isu beliau perlu menyerahkan dokumen berkenaan kepada sesiapa, sebaliknya jika mereka (AMK Terengganu) mahukan dokumen itu, mereka hanya perlu bertanya kepada Anwar.

“Saya cabar Ketua AMK Terengganu (Fariz Musa) suruh Anwar dedahkan enam kotak dokumen yang disimpannya,” katanya ketika dihubungi semalam.

Katanya, AMK harus berani desak Anwar untuk dedahkan itu.

“Saya berani keluarkan dokumen OSA dan sanggup dipenjara kerananya, sebaliknya Anwar dan AMK tidak pernah keluarkan sebarang dokumen rasuah. Saya cabar Anwar jelaskan hal ini. Saya ingin jelaskan, Anwar tidak dedahkan dokumen berkenaan atas sebab politik. Rasuah tidak boleh dipolitikkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Fariz yang disiarkan Sinar Harian kelmarin bahawa AMK Terengganu mengalu-alukan kehadiran Ezam untuk berkempen bagi BN di pilihan raya kecil Kuala Terengganu dari 6 hingga 17 Januari ini seterusnya mendedahkan enam dokumen yang didakwa ada kandungan rasuah dan penyelewengan oleh beberapa pimpinan UMNO dan BN.

Mengulas lanjut, Ezam berkata, beliau telah membuat kenyataan berhubung perkara itu kepada pihak polis pada tahun 1999 bahawa enam kotak dokumen berkenaan ada dalam simpanan Anwar yang disimpan di dalam dan luar negara.

Menurutnya, semua enam kotak dokumen penting itu tidak ada dalam simpanannya sebaliknya Anwar telah mengambilnya untuk tujuan tertentu.

“Kenapa saya (perlu dedahkan), mereka perlu tanya kepada Anwar kenapa dia tidak mendedahkan dokumen itu setelah bebas dari penjara?” katanya.

Dalam pada itu, Ezam yang kini berada di Jakarta berkata, beliau akan meluangkan masa sepenuhnya untuk membantu BN bagi pilihan raya kecil yang akan datang.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangkan calon BN yang sudah diumumkan baru-baru ini.

“Saya akan beri tumpuan mengenai penipuan Anwar berhubung 16 September yang ternyata gagal, mesej saya juga sama seperti kempen di Permatang Pauh iaitu Anwar pengkhianat bangsa,” katanya.

Ezam berkata, Anwar adalah pengkhianat bangsa Melayu dan berbohong kepada masyarakat Cina dan India semata-mata mahu merealisasikan impiannya menjadi Perdana Menteri.

“Anwar menukar slogan Ketuanan Melayu kepada Ketuanan Rakyat semata-mata untuk menjadi PM,” katanya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

IPOH - Polis semalam melaporkan mereka mengenal pasti beberapa lelaki yang disyaki terlibat dalam penulisan serta penyiaran artikel dan gambar menghina Nabi Muhammad S.A.W dalam sebuah laman blog. Timbalan Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, siasatan mendapati laman blog berkenaan menggunakan server komputer di luar negara. “Kita mendapat tahu laman blog itu menggunakan server dari luar negara dan bukan di Malaysia. Ini merupakan satu tugas yang sukar tetapi kita akan cuba yang terbaik,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan beret kepada 48 pelatih kursus asas 69 Komando dan Unit Tindakan Khas yang tamat latihan di Briged Utara Pasukan Gerakan Am Ulu Kinta di sini. Sabtu lepas, sebuah akhbar tempatan melaporkan mengenai artikel berkenaan yang dipaparkan dalam sebuah laman blog menggunakan nama seorang wanita Melayu. Wanita berkenaan telahpun menafikan pembabitannya. - Bernama

[Nampak sangat isu blog hina Nabi ini adalah satu "bom jangka" yang dicipta oleh kerajaan bagi menimbulkan isu baru disaat cerita tentang "Hudud" sedang hangat diperkatakan sekarang. Semua ini dilakukan bagi meraih simpati dan sokongan rakyat supaya menolak PAS dalam pilihanraya kecil Kuala Trengganu yang bakal berlangsung tidak lama lagi. Sandiwara seperti ini sebenarnya sudah basi dan tidak boleh dipakai sama sekali. Memang semua orang tahu kebanyakan penulis blog menggunakan server luar negara untuk beroperasi. Soalnya, mengapakah blog yang baru dibina itu tiba-tiba dikatakan menghina Nabi? Sedangkan blog yang tidak popular dan baru biasanya tidak ramai pengunjung yang tahu. Ini bermakna, isu ini telah dirancang oleh mereka. Hanya rakyat yang "bangang macam puak-puak UMNO sahaja boleh ditipu. Tetapi bagi rakyat yang bijak, mereka sebenarnya lebih tahu strategi licik yang dibuat-buat oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional itu sendiri untuk menarik undi orang Melayu di Pilihanraya Kecil Kuala Trengganu sebenarnya].

Kongsi Link Anda