Popular Today

Isnin, Jun 01, 2009

Chin Peng pengganas kejam

Saya sekadar ingin berkongsi polemik yang nampak kecil tetapi besar di mata rakyat biasa seperti saya. Isu membawa Chin Peng balik ke negara ini sebagaimana yang disarankan oleh Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Dr. Teng Hock Nan, baru-baru ini, adalah satu lagi bentuk dan sikap tidak bertanggungjawab rakyat yang melupakan sejarah negara yang didiaminya.

Sebenarnya, kalau bercerita mengenai komunis ini, masih segar rasanya peristiwa jiran saya di kampung yang putus kedua belah kakinya akibat penangan jerangkap samar. Pilu benar melihat jiran yang sebelumnya aktif, akhirnya terpaksa menjalani kehidupan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) lantaran perbuatan komunis durjana.

Komunis pada masa itu menjadi duri dalam daging negara. Tidak siapa menafikannya kecuali mereka yang bersimpati.

Di sekolah, guru kita mengajar mengenai kekejaman pengganas, mengenai Chin Peng dan gerila komunis yang dipimpinnya. Wujud rasa benci yang meluap-luap tatkala guru menerangkan bab demi bab mengenai komunis. Sejak sekian lama komunis ditunjuk sebagai anasir yang paling dibenci oleh semua rakyat di mana-mana.

Terlalu banyak jiwa yang melayang akibat perbuatan subversif komunis. Kasihan, ada di antara mangsanya yang hidup merana sepanjang hayat. Isteri terpaksa bergelut dengan kehidupan tanpa suami manakala anak-anak terpaksa menerima hakikat bahawa mereka telah berstatus 'anak yatim'. Dan, jika diputar kembali mesin masa, imbasilah kepada peristiwa hitam Bukit Kepong yang sungguh menyayat dan memilukan itu.

Justeru, saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan supaya menayangkan kembali filem-filem genre patriotik seperti Bukit Kepong agar ditonton oleh generasi terkini Malaysia daripada semua peringkat keturunan.

Diharap nanti akan terbit rasa kesedaran terhadap kesan kemusnahan oleh pengganas komunis yang di ketuai Chin Peng pada masa lalu. Segarkan kembali semangat patriotisme yang telah semakin terhakis.

Seperkara lagi, saya menyeru kepada pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya meningkatkan pemeriksaan dan penelitian ke kedai-kedai buku ternama yang sejak sekian lama giat menjual buku-buku berunsur komunis. Lihat juga ke Central Market, Jalan Petaling dan Bukit Bintang yang begitu luar biasa aktifnya menjual baju-T yang memaparkan wajah Chin Peng atau pun simbol perjuangan mereka 'Bintang Tiga'.

Janganlah sampai anak-anak kita pula memakainya ketika bersolat Jumaat atau menghadiri majlis-majlis bercorak patriotisme!

Saya memohon kepada semua pihak agar tidak lagi membangkitkan isu untuk membawa Chin Peng masuk ke negara ini. Bagi saya dia adalah perosak dan pemusnah keharmonian negara yang kekal terpahat di jiwa rakyat di negara ini.

Dan, kalau kita terlupa, renunglah kembali siapa dalang di sebalik peristiwa 13 Mei 1969. Sedarlah bahawa Chin Peng bukan wira tetapi pengganas kejam yang telah meninggalkan titik hitam dalam sejarah keharmonian bangsa Malaysia. Kepada pihak-pihak yang berwajib, pastikan Chin Peng tidak kembali.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda