Popular Today

Sabtu, Julai 04, 2009

Pentadbiran DAP, PKR dan Pas lebih teruk daripada BN?

Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

KERANA 'masalah babi,' DAP mengisytihar keluar daripada kerajaan pakatan pembangkang negeri Kedah.

Kerana gagal menyelamatkan Kampung Buah Pala daripada diambil alih oleh pihak pemaju, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta letak jawatan dan balik ke Melaka.

Inilah senario kemelut politik pakatan pembangkang di utara tanah air.

Kini tidak boleh disembunyikan bahawa di Kedah, DAP dan Pas bergaduh kerana babi.

Di Pulau Pinang, hubungan antara DAP dan PKR sedang bergelora berikutan penyingkiran Johari Kassim, wakil PKR dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Orang Hindraf Pulau Pinang pun sudah marah dengan DAP. Yang peliknya, kira-kira 200 penduduk Kampung Buah Pala yang dikatakan anggota pertubuhan haram Hindraf itu boleh membuat pelbagai tuntutan.

Kini mula terdedah tembelang pakatan DAP, PKR dan Pas. Apa yang mereka janjikan semasa kempen pilihan raya umum 15 bulan lalu ibarat menabur janji kosong.

Pentadbiran negeri Kedah dan Pulau Pinang nampaknya tidak terurus dengan lancar. Kepincangan mula terserlah. Kerjasama untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang akan menjadi kerajaan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) hanya cakap kosong.

Ini semua akibat kepura-puraan dan tiada keikhlasan sebenar dalam pakatan pembangkang. Imej pakatan pembangkang sebagai gabungan parti yang memperjuangkan untuk semua kaum hanya sedap didengar tetapi hakikatnya hala tujunya memeningkan kepala rakyat.

DAP, PKR dan Pas mempunyai impian yang berlainan. Dalam pilihan raya sebelum ini pun kita dapat melihat pakatan yang mengguna nama Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat berusaha untuk menunjukkan mereka boleh bersatu tetapi ternyata palsu.

Matlamat dan idealisme parti masing-masing jauh berbeza.

Sindrom menyalahkan pihak lain dan penafian keretakan berlaku dalam pakatan pembangkang bukan suatu yang baru.

Lihatlah gelagat Guan Eng menyalahkan kerajaan sebelum ini dan memberi amaran kepada pemaju yang mengarah penduduk Kampung Buah Pala mengosongkan tanah di sana.

Kerajaan negeri BN sebelum ini pun banyak berhadapan dengan masalah membabitkan kampung setinggan tapi tidaklah sampai hendak ugut atau cari salah pihak lain.

DAP Kedah pula membelitkan kata-kata menggesa rakyat harus menghormati undang-undang tetapi dalam kes pusat penyembelihan babi tanpa lesen di Kampung Berjaya, Alor Setar, parti itu pula cuba membela pihak yang melanggar undang-undang.

Tindakan itu jelas mencerminkan sikap hipokrit para pemimpin politik pembangkang dalam menangani kemelut.

Unsur-unsur menyalahkan pihak lain akan jadi mainan pakatan pembangkang selagi pemimpin DAP, PKR dan Pas hanya menjaga kepentingan, kedudukan, pangkat dan status semata-mata.

Sebab itu jika diperhatikan, jalan mudah bagi gabungan pembangkang apabila tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat adalah dengan menyalahkan BN.

Menuding jari kepada kerajaan negeri terdahulu memang jalan paling mudah tetapi bukan bermakna pakatan pembangkang boleh melepaskan diri.

Kalau benar kerajaan BN buat silap, tidak mampukah kerajaan campuran pakatan pembangkang membetulkannya?

1 ulasan:

ghostWRITER berkata...

adakah pimpinan pembangkang faham Perlembagaan Persekutuan?

anakmuda
http://ohpolitik.blogspot.com

Kongsi Link Anda