Popular Today

Khamis, Oktober 29, 2009

Masalah serius PKR - Imej Nepotisme dan Kronisme Akan Hancurkan PKR

Jika persepsi dibenarkan sebagai satu faktor menilai kepimpinan seseorang, maka PKR di bawah kepimpinan Wan Azizah dan suaminya akan berdepan kehancuran. Ini kerana, pergolakan demi pergolakan yang berlaku dalam parti itu ketika ini khususnya selepas tsunami politik baru-baru ini, semuanya bertitik tolak daripada faktor yang sama iaitu kepimpinan tertingginya.

Setidaknya, ada tiga individu yang selalu dikaitkan setiap kali masalah berlaku, iaitu Anwar, Azizah dan Azmin yang ketika ini digelar bateri 3A. Mereka sering kali dirujuk sebagai punca utama krisis dalaman yang berlaku dalam PKR, meski media-media rasmi mereka sedaya mungkin menyembunyikan situasi yang melanda parti itu. Terkini ialah isu perletakkan jawatan Jefrry Kitingan.

Semua ini sebenarnya akan memberikan tanggapan yang negatif terhadap keupayaan parti itu sebagai parti alternatif nasional. Orang ramai sudah mula berfikir dan bercakap-cakap tentang pergolakan dalaman PKR. Mereka sudah mula mempertikaikan beberapa keputusan yang dibuat oleh kepimpinan tertinggi yang dilihat agak mengelirukan, menghairankan dan sebagainya lagi. Ia menjadi semakin pelik apabila media pakatan menyalurkan berita-berita yang sebaliknya seolah-olah cuba menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan rakyat. Apa yang berlaku? Itu yang mereka hendak tahu.

Justeru, tidak mustahil jika berlaku gelombang penolakkan terhadap parti itu oleh penyokong mereka sendiri. Anwar perlu sedar bahawa beliau tidak boleh selamanya meniup angin penipuan yang mengaburkan orang ramai. Dalam pilihan raya umum yang lalu, orang ramai memberikan undi yang cukup tinggi kepada pakatan di bawah kepimpinannya kerana Anwar menjanjikan pelbagai pembaharuan dan harapan, malangnya, selepas berkuasa, macam-macam masalah kepartian timbul mengatasi masalah rakyat sendiri.

Orang ramai juga sudah mula nampak betapa kronisme dan nepotisme adalah imej yang semakin jelas membayangi PKR. Siapa tidak tahu betapa akrabnya Anwar dengan Azmin, Hussam Musa dan sebagainya lagi. Jika dahulu mereka mungkin dilihat sebagai tulang belakang perjuangan menuntut keadilan bagi Anwar, tetapi kini peranan individu-individu terbabit mula menjadi persoalan. Anwar seolahnya tidak nampak orang lain dalam partinya. Yang dicarinya tetap beberapa kerat yang itulah. Maka bagaimana Anwar hendak mengurus negara kelak jika beliau sentiasa melebihkan individu-individu tertentu saja? Kita boleh membayangkan dan mengagak apa yang akan berlaku.

Selain itu, orang ramai juga sudah sedar perjuangan PKR bukan untuk rakyat sebaliknya untuk perut-perut tertentu saja. Hal ini mungkin sudah banyak kali diperkatakan, tetapi tidak ramai yang mahu ambil peduli. Akhir-akhir ini saja ia diperkatakan semula dengan versi baru pendedahan demi pendedahan oleh bekas pemimpin PKR sendiri. Semua ini pasti akan menggoyahkan lagi struktur parti tersebut, dan mungkin akan mempercepatkan proses kehancuran PKR keseluruhannya. Nantikan saja.

Sumber : one2many

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda