Popular Today

Rabu, April 23, 2008

Maruah Melayu bukan pada keris

Maruah Melayu bukan pada keris

Maruah orang Melayu bukan terletak kepada keris tetapi hanya akan terbela jika orang Melayu berjaya dalam pelbagai bidang strategik dan mampu bersaing dengan bangsa-bangsa lain baik di dalam mahupun luar negara, demikian ditegaskan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Sehubungan itu katanya, tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein memohon maaf berhubung kontroversi isu menghunus keris Panca Warisan tidak akan menjejaskan maruah orang-orang Melayu.

"Saya harap, isu ini tidak berbangkit lagilah, Datuk Seri Hishammuddin telah buat sesuatu yang sangat prihatin dan mulia, maknanya dia sanggup meminta minta maaf walaupun ada pihak mengatakan memang bukan niat dia hendak isytihar perang ataupun disabitkan sebarang tindakan yang bersifat perkauman," katanya.

Najib berkata demikian kepada para pemberita hari Sabtu ketika diminta mengulas permohonan maaf yang dibuat oleh Hishamuddin semalam berhubung dengan isu menghunus keris Panca Warisan pada Persidangan Agung Pemuda UMNO Malaysia.

Tindakan Hishamuddin menghunus dan mencium keris pada perhimpunan agung Umno sebelum ini dikatakan turut menjadi punca prestasi buruk Barisan Nasional pada pilihan raya umum lepas.

Menurut Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri, keris adalah siombol dan dalam masyarakat Melayu ia amat berkait rapat dengan budaya tetapi dijadikan isu oleh pihak-pihak tertentu.

“Keris ini satu senjata dalam konteks kebudayaan kita (Melayu), tidak lebih daripada itu... tapi ada pihak yang mainkan isu ini. Jadi langkah yang dibuat Datuk Seri Hishammuddin ini (memohon maaf) saya harap akan diterima sebagai sesuatu yang positif, ikhlas dan mulia, supaya isu ini tidak berbangkit lagi.

"Sebenarnya maruah orang Melayu tidak bersangkut pada soal keris, maruah orang Melayu hanya akan terbela kalau sekiranya orang Melayu berjaya dalam pelbagai bidang, politik, penguasaan ilmu, ekonomi dan sosial, segala-galanya mesti memperlihatkan kemajuan orang Melayu pada tahap kecemerlangan.

"Kita boleh bersaing bukan sahaja di persada negara tapi antarabangsa, pada masa itu orang Melayu akan dilihat sebagai bangsa berjaya. Jadi keris ini semata-mata soal simbol sahaja, tidak dikaitkan dengan soal kecemerlangan, kecemerlangan dalam realiti dunia ini bergantung kepada kejayaan kita dalam bidang strategik," ulasnya panjang lebar.


Sementara itu kata Naib Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin berpendapat Hishammuddin sepatutnya tidak perlu meminta maaf berhubung tindakannya menghunus keris Panca Warisan.


Bercakap kepada para wartawan di Muar Sabtu beliau berkata ini kerana kerana tindakan beliau ketika itu adalah untuk memperjuangkan bangsa dan mempertahankan negara.

"Niat Datuk Seri Hishammuddin amat baik iaitu untuk berjuang demi bangsa dan negara dan saya faham ia bukan mahu menakut-nakutkan orang bukan Melayu. Tetapi pembangkang memutar-belitkan kenyataan itu untuk tujuan tertentu.

"Pada saya, tak perlu bagi Datuk Hishammuddin meminta maaf," katanya.


Beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh berkata bagaimanapun perkara itu terserah kepada Hishammuddin sendiri, dan menurutnya beliau menganggap isu berkenaan sudah berlalu, dan berharap ia tidak diungkit-ungkit lagi selepas ini. – 26/4/2008

------------------------------------------------





Keris: Hishamuddin akui silap


Isu menjulang keris Panca Warisan oleh Pemuda UMNO yang dikatakan menjadi salah satu faktor kekalahan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lalu, menyaksikan Ketua Pemuda BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein secara terbuka memohon maaf kepada rakyat Malaysia.

Kepada orang Melayu, Hishamuddin memohon maaf kerana tidak dapat mempertahankan keris Panca Warisan sebagai simbol ketuanan Melayu dan kepada bukan Melayu pula beliau memohon maaf kerana isu keris berkenaan telah disalah erti sehingga menimbulkan ketakutan kepada mereka.

“Secara ikhlas banyak perkara yang boleh menjadi sebahagian dariapda punca kemerosotoan kita dalam beberapa negeri. Termasuk juga soal keris Panca Warisan ia telah dibincang secara telus.

“Saya beritahu kepada mereka saya sendiri akan bertanggungjawab ke atas apa yang dilakukan dan sekiranya ia menjejaskan prestasi kita saya tidak boleh lari daripada realiti dan kalau itu boleh menjejaksan sesiapa saya mintaa maaf kepada kaum bukan Melayu dan kepada orang Melayu juga.

“Kepada bukan Melayu kerana mereka merasakan takut dengan sesuatu simbol yang itu bukan niat saya. Orang Melayu saya minta maaf kerana tidak dapat pertahan simbol warisan kita yang sebenarnya nilainya tidak seperti apa yang digembar-gemburkan tetapi kalau realitinya seperti itu saya bukan seorang yang angkuh yang tidak boleh terima hakikat itu dan ini merupakan pengajaran sedih tetapi kalau politik hari ini sebegitu rupa kita sebagai pemimpin mestilah mempunyai jiwa besar,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di bangunan PWTC Kuala Lumpur petang Jumaat selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN.



Mesyuarat berkenaan adalah yang pertamanya diadakan oleh Pemuda BN selepas pilihan raya umum ke-12 yang lalu.

Prestasi buruk BN pada pilihan raya umum lalu turut dikaitkan dengan isu keris Panca Warisan yang secara tradisinya diarak dan dijulang oleh Ketua Pemuda UMNO semasa perhimpunan Agung Pemuda UMNO Malaysia.

Menurut Hishamuddin, isu keris Panca Warisan itu telah digembar gemburkan menjadi politik persepsi dan sebarang usaha untuk menjelaskan perkara berkenaan tidak membaa makna apa-apa.

“Ia digembar- gemburkan oleh politik persepsi. Saya nak terang macam mana pun kalau itu merupakan persepsi yang diwujudkan saya rasa ia tidak akan membawa manfaat kepada perjuangan kita,” ujarnya.

Menjawab satu soalan, beliau menjelaskan, bagi dirinya dan Pemuda keris memang mempunyai makna yang besar dalam perjuangan orang Melayu.

Namun jelasnya, jika sesuatu yang diperjuangkan itu jelas ditolak, ia tidak akan membawa erti apa-apa.

“Bagi saya dan Pemuda keris memang ada maknanya tetapi kalau kita nak perjuangkan sesuatu di mana ditolak oleh kadang-kadang oleh pemimpin UMNO itu sendiri … ia digembar- gemburkan oleh politik persepsi. Saya nak terang macam mana pun kalau itu merupakan persepsi yang diwujudkan saya rasa ia tidak akan membawa manfaat kepada perjuangan kita,” ujar beliau.

Ditanya adakah ini bermakna Pemuda UMNO tidak akan lagi menjulang keris Panca Warisan pada Perhimpunan Agungnnya Disember ini, Hishamuddin menjelaskan, mesyuarat harin ini bukanlah platform untuk membincangkan mengenai perkara berkenaan.

Hishamuddin juga mengulangi bertanggungjawab sebagai Ketua Pemuda terhadap isu berkenaan dan jika diberi pilihan antara kepentingan atau parti, beliau akan mengutamakan kepentingan parti yang perlu dipertahankan. – 25/4/2008



laporan ( agendadaily)

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda