Popular Today

Rabu, April 23, 2008

Kerajaan Batal Rancangan Projek Kereta Api Laju, Kata Ketua UPE

Oleh Tengku Noor Shamsiah

PUTRAJAYA, 22 April (Bernama) -- Faktor kos merupakan alasan utama kerajaan mengambil keputusan untuk tidak meneruskan projek kereta api laju Kuala Lumpur-Singapura yang dicadangkan oleh YTL Corp Bhd.

"Surat mengenai keputusan itu telah dihantar kepada pihak-pihak seperti YTL dan agensi berkaitan, pada awal April," kata Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (UPE), Datuk Seri Dr Sulaiman Mahbob kepada Bernama di sini hari Selasa.

Beliau berkata kerajaan perlu menanggung kos yang tinggi berdasarkan model kewangan yang diserahkan oleh YTL.

"Berdasarkan model kewangan yang dikemukakan oleh YTL, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan projek kereta api laju itu," katanya, tanpa menjelaskan amaun yang perlu ditanggung kerajaan.

YTL mencadangkan projek bernilai RM8 bilion, yang mempercepatkan perjalanan antara kedua-dua ibu negara itu yang bakal mengambil masa 90 minit berbanding tujuh setengah jam sekarang.

Laporan sebelumnya menyatakan kerajaan telah membenarkan YTL melaksanakan kajian daya maju dan syarikat kemudiannya menyatakan bahawa projek itu boleh dilaksanakan.

Perancangan pelaksanaan kereta api laju antara kedua-dua bandar raya, yang menjangkau jarak kira-kira 300km, dicadangkan pada lewat 1990-an, dan menarik minat yang kukuh tahun lepas selepas kerajaan mengundang syarikat-syarikat untuk memberi idea tentang projek menerusi pembiayaan swasta itu.

-- BERNAMA

------------------------------------------------------------------------------

Eloklah dibatalkan, banyak perkara lagi yang perlu dibuat kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya. Inilah yang dikatakan keputusan bijak dan segera. Rakyat tidak mahu sesuatu isu berpanjangan tanpa keputusan dan setiap keputusan perlu diambil kira kesannya terhadap bebanan rakyat.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda