Khamis, Jun 26, 2008

Mahathir Tanya Sama Ada Kerajaan Akan Siasat Ian Chin

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bertanya sama ada kerajaan akan menubuhkan tribunal untuk menyiasat Hakim Ian Chin Hon Chong atas dakwaan melanggar kod etika hakim.

Bekas Perdana Menteri mendakwa Chin tidak mendedahkan bahawa terdapat laporan polis dibuat terhadapnya kerana mendengar kes yang beliau sendiri mempunyai kepentingan peribadi.

Dr Mahathir memberitahu sidang akhbar di pejabatnya di sini hari Khamis bahawa Chin telah mendengar satu kes melibatkan hartawan Sabah yang beliau (Chin) percaya bertanggungjawab terhadap penahanan bapa dan saudara lelakinya 20 tahun lepas.

Hartawan berkenaan pada masa itu ialah penasihat kepada Ketua Menteri Sabah pada ketika itu Tun Mustapha Harun.

Merujuk kepada dakwaan Chin bahawa hakim dihantar ke "kem pemulihan", Dr Mahathir berkata: "Kem pemulihan itu sebenarnya bukan kem pemulihan. Ia adalah Kursus Tatanegara yang telah dihadiri oelh beribu-ribu kakitangan awam, eksekutif perniagaan dan ahli politik tanpa sebarang rungutan."

Dr Mahathir juga mendakwa kenyataan Chin baru-baru ini kelihatan seperti beliau cuba mengampu kerajaan dengan memburuk-burukkan perdana menteri terdahulu.

Sementara itu, peguam Matthias Chang hari ini membuat laporan polis terhadap Chin berhubung dua kenyataannya yang dibuat secara terbuka di mahkamah di Sibu Sarawak iaitu menggunakan perkataan yang tidak wajar bagi seorang hakim dan kenyataan memfitnah terhadap Dr Mahathir.

"Saya berpendapat hakim ini telah melakukan perbuatan menghina mahkamah berikutan perbuatannya itu telah mencemarkan mahkamah dan menyebabkan badan kehakiman dipertikaikan secara menyeluruh," katanya dalam kenyataan hari ini.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda