Khamis, Jun 26, 2008

Bukti wang S'gor masuk akaun PKR

Oleh : Malaysia Kini


Bekas pegawai kanan menteri besar Selangor didakwa menunjukkan resit dan akaun penerimaan wang derma, sepatutnya untuk kerajaan negeri, yang dimasukkan ke akaun PKR sehingga mencetuskan kontroversi dalam pentadbiran Pakatan Rakyat.

Mohd Yahya Mat Sahri, yang meletakkan jawatannya itu Isnin lepas, dikatakan membuat pendedahan itu dalam mesyuarat perhubungan PKR Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.

"Beliau (Yahya) juga mengakui membawa wakil PAS dalam mesyuarat (tentang akaun tersebut)," kata beberapa pemimpin parti yang turut hadir kepada Malaysiakini.

Wang sumbangan syarikat-syarikat swasta untuk sambutan 100 hari Pakatan Rakyat di Selangor, kata sumber-sumber, "dipindahkan kepada akaun PKR negeri kerana Pakatan belum mempunyai akaun tersendiri."

Akaun itu dipercayai wujud sejak kempen pilihanraya umum Mac lalu sebelum parti itu, bersama DAP dan PAS, berjaya merampasnya daripada BN.

Cara PKR mengendalikan wang derma itu dilaporkan dipertikaikan oleh pemimpin-pemimpin PAS, khususnya exco hal-ehwal agama Datuk Dr Hassan Mohamed Ali yang mengetuai jawatankuasa sambutan tersebut.

Menurut menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang mengakui wujud pemindahan wang tersebut Isnin lalu, jawatankuasa sambutan itu turut disertai oleh Yahya dan beberapa pegawai kerajaan negeri.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda