Khamis, Jun 26, 2008

PKR: Adik Anwar letak jawatan 24 jam

Oleh : Malaysia kini

Ahli keluarga terdekat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan jawatannya secara mengejut daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat besar milik kerajaan Selangor, semalam.

Saudara kandung Anwar, yang tidak dinamakan, menyerahkan surat meletakkan jawatan dalam tempoh 24 jam, kata sumber-sumber PKR.

Tindakan adiknya dibuat setelah ditegur oleh penasihat PKR itu bagi mengelakkan tugasnya di syarikat itu "mencemarkan imej" beliau dan parti, kata mereka.

Sumber-sumber itu memberitahu Malaysiakini hari ini, Anwar tidak tahu-menahu mengenai pelantikan adiknya itu sehinggalah beberapa hari lalu.

Selain memaksa adiknya meninggalkan tugasnya di KDEB, menurut sumber-sumber lagi, Anwar juga memaklumkan perkara itu kepada menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mereka bagaimanapun tidak mengetahui jawatan atau tugas sebenar adik Anwar di syarikat senaraian awam itu.

"Beliau diambil bekerja dan tidak salah untuk bekerja (di KDEB) tetapi Anwar tidak mahu ia merosakkan imej parti," kata sumber-sumber sewaktu diminta mengulas dakwaan bekas pemimpin kanan PKR Mohamad Ezam Mohd Nor semalam.

Bekas setiausaha politik Anwar itu berkata pelantikan saudara kandung mantan timbalan perdana menteri itu dibuat "beberapa minggu, bulan lalu".

"Apakah betul ada ahli keluarga Anwar Ibrahim yang dilantik menjadi penasihat KDEB?

"Saya mahu penjelasan mereka sebelum saya membuat kenyataan lanjut," kata bekas ketua Angkatan Muda PKR itu kepada media selepas ceramah 'Sirih Pulang ke Gagang' di Sungai Besi malam tadi.

Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan reaksi presiden KDEB Datuk Abdul Karim Munisar.

Difahamkan beliau sedang menghadiri satu mesyuarat lembaga pengarah dan kemungkinan mengambil masa yang panjang.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda