Popular Today

Rabu, November 26, 2008

Apakah Pas menuju pertarungan hebat?

Artikel berkaitan I : (themalaysianinsider)


NOV 25 — Apabila Zubaidah Abu Bakar menulis dalam NST Isnin (24 November) lepas, orang-orang Erdogan mula dipancung di Selangor, ramai yang terkejut dengan berita itu. Ini kerana, bagi kebanyakan orang yang mengikuti politik Pas dengan baik, isu ini sudah selesai pada 12 Oktober lalu. Di mesyuarat Lajnah Politik (lajnah paling berkuasa dalam menentukan hala tuju politik Pas), sudah berlaku genjatan senjata. Namun jika benarlah apa yang ditulis itu sebagai tindakan memancung kumpulan Erdogan, ia satu yang dikesali.

Ekoran tulisan Zubaidah itu, saya diperkenalkan dengan satu blog baru muncul oleh penulis The Star, Joceline Tan. Blog itu bernama scandalasia.blogspot.com.

Tolak ketepi bahasa-bahasa kasarnya, ramai yang terkesan dengan kandungan tulisan pertama dalam blog ini. Ia memberikan satu imput yang sangat bernilai untuk mereka yang ingin faham dengan apa yang berlaku dan pemikiran yang bersimpang siur dalam Pas.

Hasilnya, Joceline berpendapat, boleh jadi pertandingan yang akan berlaku dalam Pas tahun depan lebih sengit dari apa yang berlaku dalam Umno kini.

Inilah persepsi pihak luar terhadap Pas. Benar atau tidak, persepsi tetap persepsi. Ia bakal membawa kepada kotak undi jika tidak ditangani dengan baik oleh pimpinan Pas.

Dengan apa yang berlaku di Selangor, orang sudah membuat andaian bahawa akan berlaku perpecahan dalam Pas. Ia adalah pertembungan antara kumpulan yang dinamakan Erdogan dengan kumpulan penyokong kepimpinan ulama yang memimpin Pas sekarang.

Tindakan Datuk Dr Hassan Ali sebagai pesuruhjaya Pas negeri mengenepikan Khalid Samad dan Shaari Sungib dari barisan kepimpinan utama Pas Selangor telah menyebabkan keyakinan orang terhadap persepsi adanya dua kumpulan dalam Pas ini semakin kuat.

Tambahan pula dengan rekod-rekod kenyataan Hassan Ali dan Khalid selama ini. Hassan dianggap berbeza dengan Khalid dalam mengendalikan isu perlantikan Madam Low sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS. Hassan membantah secara terbuka perlantikan itu dengan mempersoalkan “kenapa tidak melantik dua lagi timbalan pengurus besar” (yang Melayu) dianggap tidak menyokong perlantikan Madam Low kerana kecinaannya.

Khalid pula dalam kenyataan berkata, ketidaksetujuan beliau terhadap perlantikan itu kerana “mahu darah baru dari luar untuk memperkukuhkan PKNS”.

Bagi saya, isu hubungan Hassan dengan Khalid ini menjadi runcing bukan kerana erdorgan atau tidak. Ini kerana, isu ini sudah selesai dan tidak perlu berbangkit lagi. Isu sebenarnya, bagi saya, adalah hubungan tidak rapat antara Hassan Ali sebagai Exco kerajaan negeri Selangor dan juga pesuruhjaya Pas Selangor dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Sejak awal lagi, nampak sangat hubungan kedua-duanya tidak berapa baik. Sejak isu konsert Mas Idayu lagi nampak hubungan antara keduanya kurang baik. Kebetulan pula Khalid Samad ini baik dan rapat dengan MB Selangor itu.

Banyak situasi berlaku yang menunjukkan hubungan kurang baik antara Hassan dengan kedua-dua Khalid ini. Misalnya, Hassan Ali selalu sahaja merungut dan melaporkan beliau tidak mendapat kepercayaan penuh Khalid Ibrahim. Tidak dilantik sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, tidak dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Zakat dan sebagai sebagainya. Dalam situasi sebegitu, Khalid Samad pula dilihat mempertahankan MB Selangor itu.

Menurut ceritanya, perkara ini selalu berlaku dalam mesyuarat yang disertai Hassan dan Khalid Samad itu. Yang terakhir adalah Dewan Harian Pas Selangor yang membawa kepada keputusan menggugurkan Khalid Samad itu.

Bagi Khalid Samad, Hassan Ali sepatutnya mempergunakan hubungan baik beliau dengan MB Selangor itu untuk kepentingan Pas, Pakatan Rakyat dan kerajaan Selangor. Tetapi, baginya, Hassan Ali tidak menggunakan peluang itu.

Kini, apa yang dibimbangi berlaku sudah berlaku. Hassan telah mengeluarkan Khalid dan Shaari dari inner circlenya. Beliau telah membawa dua pemimpin yang dianggap banyak bersama beliau selama ini ke dalam inner circle beliau itu.

Yang membuatkan saya tidak risau dengan apa yang berlaku adalak kenyataan Khalid Samad dan Shaari Sungib selepas mereka berdua dipecat. Shaari dengan jelas berkata, beliau menerima tindakan itu kerana itu hak pesuruhjaya manakala Khalid pula berkata, beliau boleh bermain dipadang yang lebih luas dengan tindakan ini.

"Kalau sebagai timbalan pesuruhjaya, saya hanya boleh aktif bercakap dalam mesyuarat Dewan Harian sahaja, masa mesyuarat Perhubungan (yang lebih ramai ahlinya), saya kena pertahankan keputusan harian.

"Kini saya bebas untuk bercakap kepada ahli mesyuarat yang lebih besar dengan disertai oleh lebih ramai ahli tanpa terikat dengan keputusan Dewan Harian," kata Khalid Samad.

Dewan Harian Pas Selangor dianggotai 10 anggota iaitu pesuruhjaya, timbalan pesuruhjaya (tiga orang), ketua-ketua dewan Pemuda, Ulama dan Muslimat, setiausaha perhubungan, bendahari dan ketua penerangan.

Kalau masing-masing mengambil positif perkara ini, percayalah apa yang dinyatakan oleh Joceline Tan “pertarungan yang lebih hebat dari yang berlaku dalam Umno akan berlaku dalam Pas tahun depan” tidak akan berlaku.

Namun, semuanya terserah kepada mereka yang terlibat. Mereka yang melihat boleh menelah sahaja apa sebenarnya yang berlaku dan membuat persepsi masing-masing. Tuan ampunya dirilah yang lebih tahu apa yang mereka hendak sebenarnya.


Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda