Rabu, November 26, 2008

Dr Shafie: Khalid digugur kerana rapat dengan PKR

Artikel berkaitan III : (malasyia kini)



Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad digugurkan sebagai timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor kerana beliau dianggap rapat dengan PKR dan tidak mewakili kepentingan partinya sendiri apabila berdepan dengan rakan kongsinya itu, kata bekas timbalan pesuruhjaya I PAS Selangor.

Menurut Dr Shafie Abu Bakar, hubungan erat Khalid dengan PKR telah menyukarkan PAS menyalurkan rasa tidak puas hati mereka berhubung pengagihan kuasa dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

"Realitinya, (walaupun) sesama Pakatan Rakyat, PAS rasa terpinggir. Kita mahu diberikan kedudukan yang wajar dalam pemerintahan," katanya, yang juga wakil rakyat Bangi.

shafie abu bakar"Walaupun daripada segi bilangan kerusi kita berada di tempat ketiga, tetapi daripada aspek pengalaman dan akar umbi, (PAS) ada peranan yang sama besar (dengan PKR dan DAP)."

Beliau berkata, dua daripada tiga portfolio yang dipegang PAS termasuk pesuruhjayanya Datuk Dr Hasan Ali - agama dan pendidikan – juga masih "terbatas dan tidak stabil".

hasan aliDr Hasan dilantik pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan, sementara Dr Halimah Ali memegang Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan.

Ruang kedua-dua mereka untuk bertindak dan menjalankan tugas juga dikatakan selalu "diambil alih dan disabotaj" dalam mesyuarat exco kerajaan negeri.

Dr Shafie bagaimanapun tidak menamakan dengan jelas pihak yang didakwa mensabotaj itu.

iskandar abdul samadSeorang lagi exco PAS, Iskandar Abdul Samad yang memegang Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan bagaimanapun tidak menghadapi masalah dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Beliau, wakil rakyat Chempaka, juga seorang timbalan pesuruhjaya PAS Selangor.

Dr Shafie menambah, Khalid bersama beberapa pemimpin muda PAS yang dekat dengan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mengusahakan projek pembentukan kerajaan baru persekutuan pada 16 September lalu dilihat lebih terikat dan bersimpati dengan parti itu.

"Beliau (Khalid) dilihat terikat, lantang, simpati ke sana (PKR)," kata bekas ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia itu.

Hubungan erat Khalid itu, tambahnya, menyebabkan rasa tidak puas hati PAS "sulit disuarakan" kepada PKR.

Dihubungi Malaysiakini petang ini, Dr Shafie menambah, keluhan PAS negeri itu perlu diketengahkan sebagai suatu "peringatan" kerana "mereka (PKR) mungkin tidak tahu".

khalid samadBeliau, yang juga yang dipertua PAS Serdang berkata, Khalid (foto) seorang pemimpin yang bagus daripada aspek intelektual dan keberaniannya menyampaikan pandangan.

Bagaimanapun, tambahnya, kelantangannya itu dilihat oleh sesetengah pihak "melanggar batasan, kasar dan menyebabkan banyak (pihak) kecil hati".

Seorang lagi ahli jawatankuasa perhubungan negeri Selangor berkongsi pandangan yang hampir sama dengan Dr Shafie.

Setiausaha PAS Gombak, A Yazid Alias berkata, Dr Hasan dan Khalid malah berbeza pandangan berhubung ruang bergerak PAS yang terbatas di Selangor akibat peranan PKR.

Wujud tanggapan dalam PAS, termasuk ditimbulkan sendiri oleh Dr Hasan, bahawa parti itu tidak diberi tempat untuk bergiat dan mengadakan program dalam kawasan yang dikuasai PKR.

Hasan didakwa menyuarakan perkara itu dalam satu mesyuarat, tetapi tanggapan itu dibantah oleh Khalid yang mendakwa ia tidak berasas.

Khalid juga didakwa berkata, PAS juga bertindakan sedemikian terhadap PKR dalam kawasan yang mereka kuasai.

Menurut A Yazid lagi, oleh itu, Khalid berkata, tanggapan itu tidak perlu dibesar-besarkan kerana boleh merosakkan hubungan baik PAS-PKR dalam Pakatan Rakyat.

Setiausaha kawasan itu menambah, daripada 22 bahagian, tanggapan sedemikian hanya wujud di "dua, tiga tempat sahaja".

Perbezaan pandangan Dr Hasan dan Khalid itu, menurut A Yazid lagi, perkara kecil yang lebih bersifat peribadi dan melibatkan ego masing-masing.

Ketua Pemuda PAS Selangor, Sallehen Mukhyi pula menafikan pengguguran Khalid daripada hirarki PAS disebabkan kelantangngan ahli parlimen itu.

"Kalau kata beliau lantang, saya lagi lantang. Beliau ada juga bertahan-tahan," katanya.

Tambahnya, keputusan yang dibuat Dewan Harian dan badan perhubungan negeri Jumaat lalu itu bawah bidang kuasa pesuruhjaya dengan persetujuan ahli mesyuarat.

"Jika tidak setuju, tentu akan dibantah dan keputusannya hendaklah ditangguhkan."

Sebaliknya, kata beliau lagi, bantahan itu tidak berlaku.

Selain Khalid, wakil rakyat Hulu Kelang, Saari Sungib turut digugurkan daripada jawatan ketua penerangan PAS Selangor.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda