Popular Today

Selasa, Disember 23, 2008

DAP bantah hasrat PAS laksana hudud

DAP membantah hasrat PAS untuk menjalankan hudud sekiranya berjaya menguasai kerajaan persekutuan seperti ditegaskan naib presidennya Datuk Husam Musa.

"Hukum hudud bukan dasar Pakatan Rakyat dan tiba giliran Husam menjelaskan apa yang dimaksudkannya," kata tokoh popular parti Lim Kit Siang hari ini.

Beliau mengulas kenyataan ahli politik Kelantan itu sewaktu berdebat dengan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin seperti dilaporkan semalam.

"Jika gagal dijelaskan, kenyataan Husam boleh menimbulkan rasa tidak senang, serba salah dan bantahan bukan sahaja di kalangan 11 peratus pengundi Cina di pilihanraya kecil Kuala Terengganu, tetapi juga kepada semua pengundi di seluruh Malaysia," kata Lim lagi.

DAP, tambahnya dalam satu kenyataan, terus dengan pendiriannya untuk mempertahankan wajah sekular bangsa dan negara Malaysia seperti dipersetujui dalam kontrak sosial oleh pengasas kemerdekaan negara 51 tahun lalu.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum, Mac lepas.

"DAP tidak bersetuju an membantah cadangan itu," katanya hari ini, lapor Bernama.

Ketua menteri Pulau Pinang berkata beliau akan menghubungi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Husam dilaporkan berkata PAS tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.

Pengerusi perhubungan PKR Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim pula berkata jika PAS ingin melaksanakan hudud, ia perlu merujuk pandangan Pakatan Rakyat.

"PAS perlu merujuk kepada semua parti komponen yang berada di bawah Pakatan Rakyat.

"Tak eloklah sekiranya mereka membuat keputusan sendiri," beliau dipetik sebagai berkata.

Tambahnya, kenyataan Husam itu berkemungkinan hanya pendapat peribadi beliau dan bukannya pendirian PAS.

Tetap tidak setuju hudud, qisas

KUALA LUMPUR: DAP tetap dengan pendirian dulu bahawa parti itu tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang hudud dan qisas di negara ini.

Pengerusinya, Karpal Singh, berkata DAP akan terus berpegang dengan pendirian itu dan akan membantah usaha melaksanakan undang-undang berkenaan di negara ini.

“Sukar untuk DAP bersetuju dengan pelaksanaan undang-undang ini. Pendirian kita, ia tidak harus dilaksanakan... ini pendirian dari dulu dan kita akan berpegang kepadanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, berkata Pas akan tetap melaksanakan undang-undang hudud dan qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk pimpinan negara melalui pilihan raya umum.

Beliau mengulangi janji parti itu selepas dicabar Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengenai pelaksanaan hudud berikutan isu itu dilihat tenggelam dan tidak lagi dilaungkan pemimpin PAS selepas pilihan raya umum Mac lalu.

“Kita akan buat,” kata Husam pada wacana perdana bertajuk “Transformasi Politik Malaysia” di Balai Islam di Kota Bharu, Kelantan.

Karpal berkata, DAP akan berbincang dengan Pas dan akan bertemu dengan Husam untuk mendapatkan penjelasan dan apa sebenarnya yang diperkatakan Naib Presiden Pas itu.

“Kita pun tak pasti apa sebenarnya yang dia cakap,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua, berkata PKR tidak mahu memberi reaksi terlalu awal mengenai apa yang dikatakan Husam itu sebelum mendapat penjelasan daripadanya.


DAP Bantah Rancangan Pas Laksana Hudud

PULAU PINANG, 22 Dis (Bernama) -- DAP hari ini menyatakan pendiriannya membantah cadangan PAS untuk melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya memerintah negara pada masa akan datang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum Mac lepas.

"DAP tidak bersetuju dan membantah cadangan itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata beliau akan menghubungi ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan penjelasan berhubung perkara itu.

Akhbar hari ini melaporkan Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa berkata parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.

Katanya kerajaan PAS Kelantan terus mengadakan perayaan Hari Hudud setiap tahun kerana tidak berupaya melaksanakan undang-undang Islam itu disebabkan kuasa mutlak berada pada Kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang Datuk Zahrain Mohamed Hashim berkata sekiranya PAS ingin melaksanakan cadangannya itu, parti itu perlu merujuk pandangan daripada rakan sekutunya sebelum membuat keputusan.

"PAS perlu merujuk kepada semua parti komponen yang berada di bawah Pakatan Rakyat. Tak eloklah sekiranya mereka membuat keputusan sendiri," katanya dan menurutnya kenyataan Husam itu berkemungkinan hanya pendapat peribadi beliau dan bukannya pendirian PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri Salleh Man berkata PAS Pulau Pinang akan akur dengan sebarang keputusan pucuk pimpinan parti.

Di KOTA BAHARU, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tiada masalah untuk PAS melaksanakan undang-undang Hudud dan Qisas kerana halangannya hanya terletak pada pemikiran mereka yang kurang memahami undang-undang itu.

Jika hukuman gantung boleh dilaksanakan kepada pengedar dadah maka tidak jadi masalah untuk rakyat menerima hudud yang antara lain menguatkuasakan hukuman bunuh kepada pembunuh dan hukuman potong tangan kepada pencuri, katanya.

"Hudud ini bukan dibawa PAS tetapi dibawa oleh Islam sejak dari zaman Nabi Muhammad lagi, jadi bagi orang Islam yang mentadbir negara adalah wajib bagi mereka melaksanakan hudud," katanya kepada pemberita.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata pemimpin PAS seperti beliau hanya mampu menggubal undang-undang Hudud dan Qisas itu tetapi pelaksanaannya akan diadili oleh mahkamah dan hakim berdasarkan bukti dan fakta.

"Jika tidak cukup bukti, hakim tidak akan jatuhkan hukum hudud ke atas pesalah itu. Sama seperti undang-undang yang ada sekarang," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan parti komponen Pakatan Rakyat seperti DAP dan PKR, Nik Abdul Aziz berkata PAS sedia berbincang dengan mereka mengenai hukum hudud.

"Jika mereka tidak mahu menerima, mereka perlu ada alasan kenapa tidak boleh menerimanya...Islam memberikan peluang kepada semua untuk berbincang," katanya.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda