Popular Today

Jumaat, Oktober 23, 2009

STRATEGI KEDUA: MEMASTIKAN PEMBANGUNAN HOLISTIK DAN MAPAN

Tuan Yang di-Pertua,

58. Untuk membolehkan negara menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi, pembangunan secara tuntas dan mapan perlu diberi penekanan. Pembangunan setiap bidang ekonomi memerlukan modal insan berkualiti tinggi dengan kemahiran yang bersesuaian. Kita juga perlu memastikan pembangunan seimbang supaya dapat merapatkan jurang di antara bandar dan luar bandar.

Selain itu, kemajuan yang ingin dicapai memerlukan asas sistem kewangan dan perbankan yang kukuh. Pengurusan Kerajaan yang cekap dan profesional serta berintegriti dengan nilai-nilai positif juga penting untuk mencapai matlamat pembangunan negara.

MENINGKATKAN MODAL INSAN BERKEMAHIRAN TINGGI

59. Modal insan berkualiti tinggi merupakan prasyarat utama untuk menyokong agenda pembangunan negara. Oleh itu, Kerajaan akan memastikan pembangunan modal insan dilaksanakan secara komprehensif, meliputi usaha meningkatkan kemahiran dan pengetahuan. Selain itu, langkah akan diambil untuk membentuk individu berintelek dalam bidang sains dan teknologi, menggilap keupayaan keusahawanan serta memupuk nilai-nilai positif dan progresif.

Meluaskan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Dan Berkemampuan

60. Selaras dengan matlamat untuk membangunkan modal insan yang berkualiti tinggi, Kerajaan memperuntukkan lebih 30 bilion ringgit kepada pendidikan rendah dan menengah, yang akan memberi manfaat kepada 5.5 juta pelajar di seluruh negara. Peruntukan ini termasuk bayaran emolumen operasi pendidikan sebanyak 19 bilion ringgit serta 2.8 bilion ringgit untuk program bantuan pelajar dan biasiswa. Sejumlah 1.6 bilion ringgit disediakan bagi pembinaan 80 buah sekolah baru serta 1,100 buah blok tambahan dan 347 projek gantian sekolah. Peruntukan ini adalah untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan Rendah dan Menengah, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil serta Sekolah Mubaligh (mission school). Di samping itu, sebanyak 1.1 bilion ringgit disediakan bagi mengubahsuai dan menaik taraf, termasuk sekolah di seluruh negara, terutama di Sabah dan Sarawak.

61. Selanjutnya Kerajaan telah mengumumkan NKRA bagi meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Ia bertujuan supaya setiap rakyat menikmati pendidikan terbaik bermula daripada peringkat asas hingga ke tahap tertinggi. Untuk ini, 4 komponen kecil NKRA akan diberi tumpuan.

Pertama: Memantapkan pendidikan prasekolah

62. Kata orang tua-tua, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Tiap kanak-kanak itu adalah bersih dan jernih seperti kain yang putih. Makanya, menyedari peri pentingnya asuhan di peringkat umur yang sementah ini, Kerajaan, akan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada arus perdana sistem pendidikan kebangsaan. Sehingga kini, kadar penyertaan kanak-kanak lingkungan umur 5 dan 6 tahun dalam prasekolah Kerajaan dan swasta adalah 67 peratus. Kerajaan berhasrat untuk meningkatkan kadar penyertaan kepada 87 peratus menjelang 2012.

63. Bagi mencapai sasaran ini, semua kemudahan dan kurikulum prasekolah di bawah KEMAS dan agensi lain akan diubahsuai, selaras dengan dasar dan piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Prasekolah yang dikendalikan oleh pihak swasta juga diberi peluang untuk menyertai inisiatif ini.

Selain itu, Kerajaan akan mewujudkan kemudahan prasekolah berpusat menggunakan premis sekolah sedia ada dan memberi latihan serta kursus kepada guru prasekolah sama ada Kerajaan mahupun swasta. Untuk ini, peruntukan sebanyak 48 juta ringgit akan disediakan bagi tahun 2010.

Kedua: Meningkatkan kadar literasi dan numerasi;

Tuan Yang di-Pertua,

64. Tiada gunanya kita bercakap tentang kemajuan seandai dan sekiranya masih kedapatan golongan yang tercicir hatta tidak boleh membaca dan mengira.

Sedangkan ilmu itu adalah penyuluh dan pelita. Menurut maklumat, pada masa ini, terdapat sebilangan daripada kalangan murid normal sekolah rendah yang masih belum dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi. Oleh yang demikian, Kerajaan bertekad untuk memastikan semua murid normal dapat menguasai asas literasi dan numerasi selepas 3 tahun mereka bersekolah. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk menyediakan modul khas untuk murid dan guru, menyaring murid mengikut keupayaan serta menyediakan program latihan khas untuk guru. Langkah ini akan mula dilaksanakan pada tahun 2010, melibatkan semua murid tahun satu dengan peruntukan sebanyak 32 juta ringgit.

Ketiga: Mewujudkan sekolah berprestasi tinggi

65. Di peringkat lain, kita perlu memperbaiki kualiti pendidikan dan memberi autonomi kepada pengurusan sekolah supaya dapat menghasilkan pelajar yang cemerlang. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan mengklasifikasikan sekolah yang dikenal pasti sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT). Prinsip asas SBT akan menumpukan kepada kecemerlangan akademik dan pencapaian keseluruhan pelajar termasuk disiplin dan kebersihan, aktiviti kokurikulum dan penguasaan bidang keutamaan sekolah. Kerajaan mensasarkan 20 buah sekolah di beri pengiktirafan SBT pada tahun 2010 dengan peruntukan tambahan sebanyak 20 juta ringgit.

Keempat: Mengiktiraf Pengetua dan Guru Besar Sekolah

66. Kerajaan akan memastikan sekolah ditadbir secara profesional oleh Pengetua dan Guru Besar serta pasukan pengurusan mereka. Bagi sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang, Kerajaan akan memperkenalkan New Deal atau Bai'ah Baru bagi menghargai jasa dan prestasi para Pengetua serta Guru Besar.

Kerajaan akan menentukan sasaran prestasi yang perlu dicapai oleh Pengetua dan Guru Besar yang dipersetujui bersama. Sekiranya sasaran tersebut dicapai, ganjaran berbentuk insentif kewangan dan bukan kewangan serta autonomi dalam mentadbir sekolah akan diberikan. Namun, bagi mereka yang tidak mencapai sasaran selama 2 tahun berturut-turut, tidaklah pula terlepas daripada pemerhatian pihak Kerajaan. Tentunya tindakan yang bersesuaian akan diambil.

Kesemuanya ini dilakukan atas prinsip kebertanggungjawaban untuk melahirkan generasi hari muka yang cemerlang.

Menjaga Kebajikan Golongan Pelajar

67. Selain itu sebagai galakan, Kerajaan berhasrat memberi ganjaran kepada pelajar yang cemerlang dalam pendidikan. Untuk ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menganugerahkan Biasiswa Nasional kepada 30 pelajar terbaik di kalangan yang terbaik atau crème de la crème berasaskan kepada merit sepenuhnya. Penyandang Biasiswa Nasional ini akan melanjutkan pelajaran ke universiti tersohor di dunia;

Kedua: Menukar pinjaman PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang berjaya menamatkan pengajian ijazah sarjana muda kelas pertama atau setaraf dengannya bermula tahun 2010;

Ketiga: Kerajaan prihatin terhadap kebajikan golongan pelajar terutamanya mereka yang datang daripada kalangan keluarga berpendapatan rendah. Untuk itu kita akan memberi diskaun tambang 50 peratus bagi perkhidmatan kereta api KTMB jarak jauh kepada pelajar berumur 13 tahun sehingga mereka masih bertaraf pelajar. Kad diskaun pelajar 1Malaysia percuma boleh diperoleh dari KTMB.

Diskaun tambang ini bermula 1 Januari 2010; dan

Keempat: Menawarkan pakej netbook, termasuk perkhidmatan broadband percuma, kepada pelajar universiti dengan bayaran 50 ringgit sebulan untuk tempoh 2 tahun. Pakej ini adalah jauh lebih murah daripada harga semasa di pasaran dengan prioriti diberikan kepada pelajar tahun pertama dan dari keluarga berpendapatan rendah.

Sebagai permulaan, pakej ini akan ditawar oleh Telekom Malaysia kepada 100 ribu pelajar di semua universiti tempatan bermula 1 Januari 2010.

Menggilap Kemahiran Tenaga Kerja

68. Usaha berterusan akan diambil untuk melatih dan menggilap tenaga kerja supaya menepati keperluan pasaran. Kualiti tenaga kerja akan dipertingkatkan dengan pendidikan dan latihan yang bersesuaian. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menyediakan 1.3 bilion ringgit bagi membiayai pengurusan dan menaik taraf politeknik dan kolej komuniti serta menyediakan peruntukan kepada tabung pinjaman pelajaran untuk 32 ribu pelajarnya;

Kedua: Memperuntukkan 504 juta ringgit bagi membina dan menaik taraf serta menyelenggarakan peralatan di Institut Latihan Perindustrian dan Pusat Latihan Teknologi Tinggi;

Ketiga: Menyediakan 438 juta ringgit kepada Institut Kemahiran MARA dan Kolej Kemahiran Tinggi MARA serta Institut Kemahiran Belia Negara

juga Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara untuk tujuan pengurusan latihan termasuklah menaik taraf institusi;

Keempat: Menyediakan 110 juta ringgit kepada pusat latihan kemahiran negeri dan institusi latihan terpilih bagi menjalankan program latihan industri, terutamanya dalam bidang teknikal, hospitaliti, kulinari serta perabot; dan

Kelima: Mengiktiraf Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 4 dan ke atas supaya setaraf dengan aliran akademik. Dengan pengiktirafan ini, pemegang SKM tahap 4 layak memohon untuk berkhidmat di sektor awam, manakala bagi mereka yang berkhidmat di sektor swasta dapat menikmati gaji setaraf dengan pemegang sijil diploma.

Tuan Yang di-Pertua,

Mempergiatkan Program PERMATA

69. Setiap anak itu adalah permata. Merekalah pelaburan terbaik kita sebagai pewaris masa mendatang. Justeru, program PERMATA memberi penekanan terhadap kaedah pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak secara bersepadu dan terancang. Program ini menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berilmu dan berprestasi tinggi. Sehingga kini, program PERMATA diperkenalkan kepada 457 pusat asuhan dan telah berjaya mendidik seramai 17,565 kanak-kanak. Untuk terus memperkasakan program ini, Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit bagi perlaksanaan programnya seperti berikut:

Pertama: PERMATA Negara melibatkan program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mencapai umur 5 tahun. Satu garis panduan akan disediakan untuk menyelaras kurikulum, latihan dan kelayakan tenaga pendidik di semua taman asuhan kanak-kanak;

Kedua: PERMATA Seni membabitkan latihan pelajar yang pintar dan berbakat dalam bidang seni. Program ini akan dilaksanakan oleh Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi;

Ketiga: PERMATA Pintar bertujuan membimbing pelajar yang mempunyai tahap kepintaran yang luar biasa untuk menjadi lebih cemerlang.

Program ini akan dilaksanakan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama University of Johns Hopkins, Amerika Syarikat. Pengambilan kumpulan pertama akan dibuat pada 2011;

dan

Keempat: PERMATA Insan adalah bertujuan melatih pelajar supaya memahami, mendalami dan mengaplikasikan ilmu yang berteraskan Al-Quran. Program ini akan dikendalikan oleh Universiti Sains Islam Malaysia bagi pelajar berumur 9 hingga 12 tahun.

70. Selain itu, PERMATA akan turut melaksanakan program Perkasa Remaja untuk melatih dan membimbing remaja berumur 18 hingga 25 tahun bagi mengelakkan mereka terlibat dalam gejala sosial. Program ini yang dikendalikan oleh UKM akan membolehkan belia dibentuk menjadi lebih bertanggungjawab serta berguna kepada masyarakat dan negara.

Memperkasa Institusi Pengajian Tinggi Awam

71. Dalam usaha Kerajaan memperkasakan IPTA supaya lebih berdaya saing dan dapat meningkatkan ranking mereka berbanding universiti lain di dunia, maka Kerajaan akan menimbangkan untuk memberi lebih autonomi dalam pengurusan kewangan, sumber manusia, pentadbiran, kemasukan pelajar dan penjanaan pendapatan. Dengan autonomi yang bertambah ini, IPTA, misalnya akan dibenarkan untuk menjana hasil pendapatan melalui penubuhan anak syarikat.

72. Bagi mencapai objektif ini, Kerajaan sedia mempertimbangkan kelonggaran peraturan dan syarat yang menyekat IPTA menjana pendapatannya sendiri.

Langkah ini akan mengurangkan kebergantungan kewangan IPTA kepada Kerajaan. Walau bagaimanapun, Kerajaan akan memastikan bahawa usaha menjana pendapatan sendiri tidak akan menjejaskan fungsi teras IPTA sebagai gedung ilmu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti demi pembangunan ekonomi negara.

MEMANTAPKAN SISTEM PERBANKAN DAN KEWANGAN

73. Satu lagi sektor yang diberi penekanan oleh Kerajaan adalah, perbankan dan kewangan. Sesungguhnya sistem perbankan dan kewangan yang kukuh dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Industri insurans, sebagai salah satu cabang dalam sektor ini, akan diperkemaskan supaya memenuhi kehendak pasaran. Selain itu, langkah liberalisasi dan pemodenan pasaran modal akan terus dilaksanakan untuk sentiasa mencergaskan aktiviti pasaran saham.

74. Pada masa ini, struktur skim insurans motor tidak begitu fleksibel kerana tidak mengambil kira kos perniagaan dan kadar tuntutan yang kian meningkat.

Untuk memastikan rakyat terus mendapat akses kepada perlindungan insurans motor, satu skim insurans dan takaful asas akan ditawarkan. Premium skim perlindungan insurans akan ditetapkan pada kadar yang berpatutan dan tidak membebankan rakyat serta berpadanan dengan tahap perlindungan. Skim ini akan memberi perlindungan insurans asas mandatori bagi kecederaan kepada anggota badan dan kematian pihak ketiga serta membolehkan pihak yang menuntut untuk mendapatkan pampasan pada kadar segera. Skim ini dijangka diperkenalkan pada pertengahan tahun 2010.

75. Golongan berpendapatan rendah pula, yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan sering menghadapi masalah kewangan apabila berlaku perkara di luar jangkaan, seperti kemalangan, kebakaran dan kehilangan harta benda. Bagi memastikan golongan ini menikmati jaminan kewangan yang lebih baik, perlindungan insurans dan takaful mikro akan diperluaskan. Dengan bayaran premium serendah 20 ringgit sebulan, peniaga kecil-kecilan ini boleh mendapat manfaat perlindungan dalam lingkungan 10 ribu ringgit hingga 20 ribu ringgit.

Kerajaan menyokong inisiatif industri insurans dan takaful dalam membangunkan produk kewangan bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan rendah.

Usaha ini juga akan membantu meningkatkan kadar pemilikan perlindungan kewangan di kalangan rakyat Malaysia.

76. Mutakhir ini kegiatan pemberi pinjaman wang yang tidak mematuhi undang-undang dan membebankan peminjam, terutamanya kegiatan pemberi pinjaman tidak berlesen atau 'ah long' semakin menjadi-jadi. Kerajaan memandang serius akan hal ini dan akan bersikap tegas terhadapnya. Kejadian mangsa pinjaman ah long diperlakukan tanpa perikemanusiaan, sama sekali tidak boleh diterima. Untuk membendung kegiatan seperti ini, Kerajaan akan mengguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi mendakwa mereka yang terlibat. Kerajaan akan mengkaji semula Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 bagi memperkemaskan keberkesanannya dan penguatkuasaan ke atas pemberi pinjaman wang berlesen.

Tuan Yang di-Pertua,

Mencergaskan Pasaran Saham

77. Struktur pasaran saham akan diliberalkan lagi untuk meningkatkan kecekapan serta menarik aktiviti pelaburan dalam dan luar negara. Bagi tujuan ini, Kerajaan akan melaksanakan langkah berikut:

Pertama: Meliberalisasikan struktur perkongsian komisen antara broker saham dan remisier dalam dua peringkat untuk menggalakkan penyertaan pelabur runcit dalam pasaran saham. Pada peringkat pertama, berkuat kuasa serta merta, kadar perkongsian komisen dilonggarkan dengan kadar minimum 40 peratus bagi remisier. Di peringkat kedua, perkongsian komisen ini akan diliberalisasikan sepenuhnya mulai 1 Januari 2011;

Kedua: Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat kewangan korporat dan syarikat perancangan kewangan, berbanding syarat sedia ada yang memerlukan sekurang-kurangnya 30 peratus ekuiti tempatan; dan

Ketiga: Menghendaki semua syarikat awam tersenarai untuk menawarkan e-Dividen kepada pemegang saham dalam usaha meningkatkan sistem pembayaran yang lebih cekap. Begitu juga, syarikat pembrokeran saham akan menyediakan pilihan e-Payment kepada pelanggan untuk menerima dan membuat bayaran.

Memajukan Lagi Sistem Kewangan Islam

78. Sememangnya sejak awal 80-an, Malaysia telah menjadi pelopor penting dalam pembangunan sistem kewangan Islam. Kita telah maju setapak demi setapak sebagai pelaku utama bukan sahaja di rantau ini bahkan di seantero dunia. Nilai aset perbankan Islam kini mencecah 18.8 peratus daripada keseluruhan aset industri perbankan Malaysia. Manakala, aset industri takaful menyumbang 7.7 peratus daripada jumlah aset industri insurans dan takaful. Kita berbangga dengan pencapaian Malaysia di bidang ini kerana Malaysia mampu menerbitkan jumlah sukuk terbesar di dunia. Ia melibatkan 94.7 bilion dolar Amerika, iaitu 62 peratus daripada keseluruhan sukuk dunia pada tahun 2008.

Atas perkembangan dan pencapaian seperti ini, bagi memastikan perkhidmatan kewangan khususnya kewangan Islam berkembang pesat, Kerajaan mencadangkan galakan cukai sedia ada dilanjutkan sehingga tahun 2015 manakala skop galakan diperluaskan seperti berikut:

Pertama: Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas surat cara pembiayaan kewangan Islam;

Kedua: Pengecualian cukai ke atas keuntungan bank daripada operasi luar negara. Pengecualian ini juga diperluaskan kepada keuntungan syarikat insurans dan takaful daripada operasi luar negara;

Ketiga: Memberi potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan mempromosi Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa;

Keempat: Meluluskan potongan ke atas perbelanjaan penubuhan syarikat broker saham Islam;

Kelima : Bersetuju ke atas potongan perbelanjaan penerbitan sekuriti Islam yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Galakan cukai ini juga diperluaskan kepada perbelanjaan penerbitan sekuriti Islam yang diluluskan oleh Lembaga Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Labuan (LOFSA);

Keenam: Layanan cukai bagi Special Purpose Vehicle (SPV) yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 diperluaskan kepada SPV yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat Luar Pesisir 1990 yang memilih untuk dicukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967; dan

Ketujuh: Memberi pengecualian cukai ke atas keuntungan daripada sukuk bukan Ringgit berasal dari Malaysia yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti diperluaskan kepada keuntungan daripada sukuk bukan Ringgit berasal dari Malaysia yang diluluskan oleh LOFSA.

Program Mikro Kredit Ar-Rahnu

79. Program mikro kredit Ar-Rahnu merupakan satu instrumen penting dalam membantu golongan yang tidak layak mendapat pembiayaan dari institusi kewangan memperoleh modal perniagaan dengan mudah dan cepat. Program ini yang menggunakan emas sebagai cagaran telah mendapat sambutan menggalakkan dari semua kalangan rakyat Malaysia. Sehingga 13 Oktober 2009, program ini telah melibatkan pembiayaan secara terkumpul berjumlah 4.7 bilion ringgit dan memberi manfaat kepada 3.7 juta pelanggan. Sebagai langkah untuk memperluaskan skim Ar-Rahnu, Kerajaan akan menggalakkan institusi kewangan dan perbankan yang mengamalkan pematuhan syariah, antaranya Bank Muamalat dan Bank Islam untuk menawarkan skim ini.

Tuan Yang di-Pertua,

MEMERANGI RASUAH

80. Ke arah masyarakat yang bersih dan dihormati, Kerajaan menjadikan salah satu NKRA yang utama untuk memerangi rasuah. Usaha ini bertujuan untuk meningkatkan lagi keyakinan dan persepsi masyarakat dalam membanteras rasuah di kalangan anggota penguat kuasa dan pentadbiran awam serta memastikan proses juga prosedur Perolehan Kerajaan dipatuhi. Langkah ini akan dapat memastikan negara berada di kedudukan yang lebih baik dalam Indeks Persepsi Rasuah antarabangsa. Untuk melaksanakan NKRA ini, Kerajaan akan:

Pertama: Menggubal Whistle Blower Act bagi menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil membuat pendedahan jenayah rasuah dan salah laku yang lain. Akta ini akan memberi kekebalan kepada pemberi maklumat dari diambil tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan yang dilakukan. Akta ini akan diperkenalkan pada tahun 2010;

Kedua: Menubuhkan 14 buah lagi Mahkamah Sesyen Khas Rasuah dan 4 buah Mahkamah Tinggi Khas Rayuan Kes Rasuah. Pada masa ini, hanya terdapat 2 buah mahkamah khas tersebut di Kuala Lumpur dan 2 lagi di Shah Alam; dan

Ketiga: Meningkatkan usaha memperbaiki imej Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia termasuk, mengadakan persidangan memerangi rasuah peringkat antarabangsa, kempen kesedaran melalui media massa dan menjalin hubungan baik dengan masyarakat.

Tuan Yang di-Pertua,

PEMBANGUNAN WILAYAH KORIDOR

81. Kerajaan telah melancarkan 5 koridor pembangunan untuk merapatkan jurang pertumbuhan ekonomi antara wilayah, meningkatkan pendapatan dan mengagihkan kekayaan untuk dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat. Usaha ini dapat menjana pelbagai peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan kualiti hidup rakyat. Kerajaan akan memastikan pembangunan wilayah koridor dilaksanakan mengikut jadual. Sehingga kini, sebanyak 126 projek berada di pelbagai peringkat pelaksanaan daripada jumlah 195 projek yang telah dirancang.

Jumlah pelaburan swasta yang direncana berjumlah 221 bilion ringgit, telah melepasi sasaran Rancangan Malaysia Ke-9 sebanyak 145 bilion ringgit.

82. Bagi menyokong pelaksanaan projek oleh sektor swasta di wilayah koridor, Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak 3.5 bilion ringgit pada tahun 2010 untuk membina infrastruktur dan kemudahan asas serta melaksanakan program latihan dan projek sosio-ekonomi. Antara projek yang akan dilaksanakan termasuk Projek Perumahan Awam dan Pembersihan Sungai Segget di Iskandar Malaysia, Projek Pertanian Bersepadu dan Pusat Latihan Usahawan Tani di NCER, Projek Pelebaran Jalan Persekutuan Kuala Krai-Gua Musang dan Kuala Lipis-Raub-Bentong di ECER. Di koridor yang lain pula, antaranya projek Kluster Industri Minyak Sawit Sandakan dan Keningau Integrated Livestock Centre di SDC serta Projek jalan akses ke Empangan Murum dan jalan akses ke Empangan Baram di SCORE.

Pembangunan Putrajaya Dan Cyberjaya

83. Kerajaan akan terus membangunkan Putrajaya dan Cyberjaya supaya menjadi lebih ceria dan bertenaga. Usaha akan dipertingkatkan untuk memperbanyakkan aktiviti perniagaan, komersial dan rekreasi. Antara projek utama yang akan dilaksanakan di Putrajaya ialah pembinaan hypermarket, sekolah antarabangsa, galeri seni, muzium sejarah, kompleks membaiki kereta serta pusat rekreasi dan riadah. Manakala, di Cyberjaya, antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan rumah mampu milik, hypermarket, kompleks perniagaan, kemudahan parkir, pusat rekreasi dan riadah serta sekolah. Selain itu, kemudahan rangkaian pengangkutan awam yang lebih efisien akan disediakan.

Pendek kata, pembangunan kedua-dua bandar ini akan saling melengkapi.

Tuan Yang di-Pertua,

MENINGKATKAN KEBERKESANAN DAN KECEKAPAN PENGURUSAN

KERAJAAN

84. Dalam menjayakan program dan aktiviti pembangunan negara, usaha meningkatkan keberkesanan dan kecekapan jentera pentadbiran Kerajaan akan diberi keutamaan. Kerajaan akan menyusun semula dasar dan garis panduan berkaitan peranan dan fungsi setiap agensi agar lebih bersesuaian dengan perubahan persekitaran dan keperluan semasa. Jalinan kerjasama semua agensi akan dipertingkatkan lagi untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara serta mengelakkan pertindihan.

Memperkukuhkan Pengurusan Kewangan Kerajaan

85. Kerajaan akan mengambil langkah padu untuk memperkukuhkan

kedudukan kewangannya. Kutipan hasil Kerajaan yang mencukupi adalah penting bagi menampung keperluan perbelanjaan yang kian meningkat serta mengurangkan paras hutang negara yang semakin tinggi.

86. Kerajaan adalah dalam peringkat akhir kajian pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), terutamanya untuk menilai impak sosial (social impact study) terhadap rakyat. Tujuan kajian adalah supaya rakyat tidak dibebankan dengan pengenalan cukai ini, jika didapati GST perlu dilaksanakan bagi mencapai kestabilan kewangan Kerajaan. Sekiranya Kerajaan melaksanakan GST, ia akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada serta pengecualian tertentu akan diberikan kepada golongan berpendapatan rendah. Kadar GST yang akan dikenakan dijangka lebih rendah daripada kadar cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada.

87. Bagi menyeragamkan sistem taksiran cukai pendapatan dan bagi memastikan aliran tunai Kerajaan menggambarkan prestasi ekonomi semasa, Kerajaan mencadangkan sistem taksiran cukai ke atas pendapatan aktiviti petroleum huluan ditukar daripada sistem taksiran tahun sebelum kepada sistem taksiran tahun semasa. Manakala, sistem taksiran formal turut ditukar kepada sistem taksiran sendiri. Nyatanya, sistem ini telah terbukti dapat meningkatkan tahap pematuhan dan kutipan cukai. Untuk meringankan beban cukai syarikat petroleum huluan, Kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi tahun taksiran 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh pada tahun 2009 dibenarkan dibayar secara ansuran selama 5 tahun.

88. Kerajaan perlu memastikan sistem percukaian di Malaysia adalah saksama dan dapat menjana hasil bagi tujuan pembangunan. Selaras dengan ini, Kerajaan mencadangkan cukai sebanyak 5 peratus dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Januari 2010. Walau bagaimanapun, pengecualian cukai sedia ada dikekalkan seperti pemberian hadiah bagi pelupusan hartanah antara ibu bapa dan anak, suami dan isteri, antara datuk, nenek dan cucu. Pengecualian cukai juga diberi ke atas pelupusan sebuah rumah kediaman sekali sepanjang hayat.

89. Dewasa ini perangkaan menunjukkan bahawa penggunaan kad kredit adalah semakin meluas. Bilangan kad kredit meningkat daripada lebih 2 juta pada tahun 1997 kepada 11 juta sehingga Ogos 2009. Bilangan tersebut tidak termasuk kad caj sebanyak 285 ribu yang telah dikeluarkan pada ketika ini. Sebagai langkah untuk menggalakkan perbelanjaan berhemat, Kerajaan mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak 50 ringgit setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj, termasuk kad yang diberi percuma. Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan sebanyak 25 ringgit setahun dikenakan ke atas setiap kad kredit tambahan. Langkah ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2010.

90. Di atas semuanya, Kerajaan akan terus mengambil langkah untuk menjadikan negara lebih berdaya tahan dan berdaya saing. Usahawan tempatan mestilah melengkapkan diri dan berusaha lebih gigih untuk mengharungi persaingan dan cabaran yang akan dihadapi. Kerajaan akan melaksanakan dasar automotif yang lebih terbuka berikutan liberalisasi dan komitmen negara di peringkat antarabangsa.

91. Untuk ini, Kerajaan akan mengenakan bayaran sebanyak 10 ribu ringgit bagi setiap unit AP yang dikeluarkan kepada pemegang AP Terbuka bagi agihan peruntukan AP tahun 2010. Cadangan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2010. Sebahagian daripada jumlah kutipan ini akan disalurkan untuk dana pembangunan Bumiputera dalam sektor automotif.

92. Usaha juga akan diambil untuk menambah hasil Kerajaan dengan menggalakkan agensi menggunakan kemudahan ruang bangunan, dewan, asrama, makmal dan peralatan latihan untuk disewakan kepada sektor swasta dan orang ramai. Langkah ini mesti dilaksanakan tanpa menjejaskan aktiviti teras agensi berkenaan. Sebagai insentif, Kerajaan bersetuju membenarkan agensi menggunakan 50 peratus hasil sewaan untuk kegunaan sendiri manakala 50 peratus lagi akan diserah sebagai hasil Kerajaan. Langkah ini akan berkuat kuasa 1 Januari 2010 dan satu garis panduan akan disediakan.

93. Di samping itu, Kerajaan telah mengenal pasti aset Kerajaan termasuk tanah dan bangunan yang boleh dibangunkan secara usaha sama ataupun dijualkan kepada syarikat berkaitan Kerajaan. Pada masa ini, Kerajaan sedang berunding untuk membangunkan tanah milik Kerajaan di kawasan Ampang dan Jalan Cochrane. Di samping itu, kawasan lain yang telah dikenal pasti termasuk di Brickfields, Jalan Stonor, Bukit Ledang dan Sungai Buloh.

94. Kerajaan akan memperkemaskan struktur pengagihan peruntukan dan perbelanjaan supaya lebih cekap dan berkesan. Selaras dengan itu, sistem Outcome-Based Budgeting (OBB) akan dibangunkan dalam tahun 2010. Sistem ini akan diaplikasikan dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 bagi menggantikan Modified Budgeting System. Dalam pendekatan OBB, penekanan akan diberikan kepada impak dan keberkesanan projek dan program berbanding mementingkan perbelanjaan dan output semata-mata. Di samping itu, perbelanjaan Kerajaan akan memberi penekanan kepada value for money serta program dan projek yang mempunyai kesan penggandaan tinggi.

Menstruktur Semula Skim Subsidi Minyak

95. Minyak bersubsidi kini dinikmati oleh semua pengguna kenderaan termasuk pemilik kereta mewah dan rakyat asing. Keadaan ini membebankan Kerajaan kerana menanggung subsidi yang tinggi. Bagi memastikan hanya kumpulan sasar diberi subsidi, Kerajaan akan melaksanakan satu sistem pengurusan subsidi minyak pada awal 2010. Sistem yang mesra rakyat ini akan mengguna pakai MyKad dan infrastruktur sedia ada. Pendekatan untuk memberi subsidi bagi kumpulan sasar sahaja akan juga digunakan untuk komoditi lain.

Tuan Yang di-Pertua,

Mempertingkatkan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan

96. Pada 16 September 2009, Performance Management Delivery Unit atau PEMANDU telah ditubuhkan. Ia bertujuan mengawasi pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan dan jenteranya agar lebih berkesan dan telus. PEMANDU yang dianggotai oleh pegawai daripada sektor awam dan swasta bekerjasama dengan Kementerian dan agensi bagi menyelia dan menyokong pelaksanaan 6 NKRA dan Bidang Keberhasilan Utama Kementerian (MKRA).

97. Kerajaan akan terus mengambil usaha memantapkan institusi latihan Kerajaan untuk membentuk penjawat awam yang berkualiti, berprestasi tinggi dan berpengetahuan. Bagi mencapai hasrat ini, Institut Tadbiran Awam Negara yakni INTAN, Bukit Kiara akan di struktur semula sebagai pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia. Dengan ini, INTAN Bukit Kiara akan dinaik taraf sebagai School of Government, dengan kuasa autonomi, ditadbir secara profesional, dibantu tenaga pengajar berpengalaman dan menjalin kerjasama dengan institusi terkemuka dunia.

98. Selaras dengan itu, pada 15 September yang lalu pula, saya telah melancarkan Program Penempatan Bersilang (cross-fertilisation) di antara jabatan Kerajaan dan GLC. Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman mengenai peranan dan tanggungjawab kedua-dua pihak. Ia juga dapat meningkatkan lagi kecekapan dan meluaskan jaringan atau networking. Program ini akan diperluaskan dengan menempatkan pegawai Kerajaan di syarikat swasta dan agensi antarabangsa.

99. Bagi menjaga kebajikan penjawat awam, Kerajaan, dalam Bajet 2009, telah menaikkan tahap kelayakan pendapatan isi rumah bulanan daripada 2 ribu ringgit kepada 3 ribu ringgit untuk mendapat subsidi yuran taska sebanyak 180 ringgit sebulan. Sebagai tanda prihatin kepada para penjawat awam, semua

Kementerian dan jabatan Kerajaan diwajibkan untuk menyediakan pusat penjagaan harian dan pendidikan anak-anak. Untuk ini, Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak 200 ribu ringgit bagi setiap Kementerian dan jabatan Kerajaan untuk menubuhkan pusat penjagaan harian ini.

100. Sehubungan dengan itu, adalah diharapkan sektor swasta juga mengambil langkah yang sama untuk membantu pekerja mereka. Ini memandangkan insentif cukai kepada majikan telah pun disediakan ke atas penyediaan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak, antaranya Elaun Bangunan Industri dan potongan cukai ke atas perbelanjaan penyelenggaraan.

Tuan Yang di-Pertua,

Cukai Pendapatan Individu

101. Kerajaan sentiasa ingin memberikan yang terbaik untuk rakyat. Dalam Bajet 2009, Kerajaan telah mengurangkan kadar cukai individu maksimum daripada 28 peratus kepada 27 peratus. Bagi memastikan kadar cukai pendapatan individu kekal kompetitif serta meneruskan agenda ekonomi berasaskan kreativiti, inovasi dan nilai ditambah tinggi, Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan individu maksimum dikurangkan lagi daripada 27 peratus kepada 26 peratus, berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2010. Berikutan dengan ini juga, kadar cukai maksimum bagi koperasi diturunkan kepada 26 peratus, manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin dikurangkan kepada 26 peratus.

102. Di samping itu, untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat, Kerajaan mencadangkan pelepasan diri dinaikkan daripada 8 ribu ringgit kepada 9 ribu ringgit. Ini bermakna, setiap pembayar cukai akan menikmati peningkatan pendapatan boleh guna sebanyak 1 ribu ringgit. Pelepasan ini juga berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2010.

103. Untuk menarik lebih ramai bakat dari dalam dan luar negara dan bagi merancakkan lagi pembangunan Wilayah Iskandar Malaysia, Kerajaan mencadangkan satu insentif cukai yang amat inovatif dan radikal. Dengan ini, Kerajaan mencadangkan cukai ke atas pendapatan penggajian bagi pekerja berpengetahuan rakyat Malaysia serta asing yang bermastautin dan bekerja di Iskandar Malaysia, dikenakan cukai pada kadar 15 peratus, berbanding dengan kadar maksimum 26 peratus untuk seluruh negara.

104. Mereka yang akan menikmati layanan cukai ini adalah dalam aktiviti yang layak seperti teknologi hijau, bioteknologi, perkhidmatan pendidikan, penjagaan kesihatan, industri kreatif, khidmat nasihat kewangan dan konsultasi serta perkhidmatan logistik dan pelancongan. Mereka juga mestilah menambah nilai dalam aktiviti yang diceburi. Galakan ini ditawarkan kepada mereka yang memohon dan mula bekerja di Iskandar Malaysia sebelum akhir tahun 2015, dan akan menikmati insentif ini secara berterusan.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda