Popular Today

Selasa, Disember 23, 2008

Pas tetap laksana hudud, qisas: Husam

KOTA BHARU: Pas akan tetap melaksanakan undang-undang hudud dan qisas sebaik saja Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih tampuk kepemimpinan negara melalui pilihan raya umum.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mengulangi janji parti itu selepas dicabar Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin mengenai pelaksanaan hudud berikutan isu itu dilihat tenggelam dan tidak lagi dilaungkan oleh pemimpin Pas selepas pilihan raya umum Mac lalu.

“Kita akan buat,” katanya pada Wacana Perdana bertajuk “Transformasi Politik Malaysia” di Balai Islam di sini, malam kelmarin.



Selain Husam dan Khairy, anggota panel wacana itu termasuk Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari dan dipengerusikan pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff.

Husam menegaskan tugas untuk melaksanakan undang-undang hudud tidak seharusnya dipikul Pas kerana tanggungjawab itu harus dipikul semua orang Islam, terutama pemimpin.

Husam mendakwa dasar Pas kini semakin diterima semua pihak, termasuk bukan Islam menerusi penubuhan kelab penyokong dan Pas turut mendapat sokongan rakan dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP.

Mengulas bidasan Khairy mengenai pendirian Pas terhadap beberapa keputusan pentadbiran kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat seperti pengharaman jualan arak di Selangor dan pertandingan tarian jalanan di Pulau Pinang, Husam berkata, Pas ketika ini hanya mampu menyuarakan bantahan.

"Kita membantah (apabila dasar itu diteruskan) tetapi tidaklah sampai mengambil tindakan keluar parti kerana ada pertimbangan lain yang diambil kira," katanya.

Lebih 3,000 penonton yang sebahagian besarnya terdiri penyokong Pas memenuhi ruang dalam dan luar dewan Kompleks Balai Islam itu.

Khairy hadir pada majlis itu sambil ditemani kira-kira 50 ahli Pergerakan Pemuda Umno Kelantan.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda