Oleh annasru
Dalam sehari dua ini khalayak masih membicarakan tentang Husam dan Khairy dalam Wacana Perdana Transformasi Politik Malaysia. Sayangnya kelantan.tv tidak dapat menyiarkan lintas langsung forum bersejarah itu kerana masalah teknikal. Anak buah saya di Cairo telefon menyatakan kekecewaan tak dapat menyaksikan secara live wacana paling hangat bagi tahun 2008 ini.
Pastinya kalau ia dapat disaksikan secara langsung di webtv, perbincangan akan bertambah hangat. Nak harapkan hak siaran media eletronik arus perdana jangan diharaplah. Saya rasa sekiranya ada stesyen tv yang sudi menyiarkan rakaman Wacana Perdana malam tersebut, nescaya rating yang menontonnya tinggi.
Blog adalah antara medan alternative memberi pandangan, mencerakin dan menganalisis wacana tersebut. Saya hanya ingin mengulas 2 laman maya yang memberi ulasan wacana itu.
Tinta Merah walaupun kelihatan teruja dengan forum tersebut, baginya wacana transformasi itu tidak mencapai obejektif (matlamat yang mungkin beliau letak sendiri, bukan objektif penganjur).
Objektif kami adalah untuk mempertemukan dua jaguh politik tersebut dalam satu forum. Sebagaimana dalam posting saya terdahulu kita bukan ingin melihat siapa kalah siapa menang walau pun itu yang menjadi nawaitu penyokong kedua pihak bila menghadiri wacana itu. Walaupun objektif wacana lari sedikit menjadi debat hangat, kami tetap berpuas hati kerana berjaya membuka minda dan pemikiran kedua-dua penyokong dua individu itu.
Bagi Tinta Merah, bagaikan tidak ada satu pun hujah yang bernas, kukuh dan menarik dari pihak Dato’ Husam. Ibarat ibu tiri yang sentiasa mencari-cari kesalahan Si Bawang Merah!
Kelab Penyokong Muda Umno (kpmu.net) sewajarnya berterima kasih (walaupun kami tidak menagihnya) kerana WP telah memberi millage politik kepada Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno itu yang akan bertanding jawatan ketua pergerakan itu Mac depan. Sesungguhnya Wacana Perdana telah melonjak nama Khairi Jamaludin di persada politik Umno.
Dalam perbincangan mesra kami dengan bro Zuri dan bro Dek (pegawai Khairy), kami difahamkan saudara Khairy menggunakan peluang keemasan itu untuk turun ke Kelantan, berjumpa dengan pemuda Umno Kelantan. Sedang sebelum dari ini pencabarnya Mukhriz Mahathir dan Khir Toyo telah mendahului turun melobi untuk jawatan nombor satu pemuda Umno Malaysia di Kelantan. Mereka yang datang sebagai penyokong Khairy pada malam itu adalah kalangan mereka yang layak memilih dalam perhimpunan agung mereka Mac depan.
Tegasnya kami memilih saudara Khairi atas sifatnya yang berani mencabar kedua pencabarnya untuk berdebat. Beliau juga dikategorikan sebagai pimpinan pemuda yang memperjuangkan reform dalam Umno dan lancar dalam berhujjah. Itu tidak kami nafikan. Sekali lagi, atas faktor itulah kami memilih beliau.
Belum pun kami mengingatkan moderator professor Agus agar mengawal suasana dan menghalang sekiranya ada soalan bersifat peribadi pada mana-mana panelis dia terlebih dahulu menyebut,
“ Saya tahulah bagaimana akan buat, bukan saya hendak memalukan dan menjatuhkan maruah sesiapa”
Bahkan selepas wacana berlangsung beliau menyebut kepada kami,
“ Kalaulah saya hendak memalu dan menekan Khairy, saya boleh meneruskan soalan apabila dia teragak-agak untuk menjawab komitmennya sebagai ketua pemuda terhadap hudud, seandainya terpilih sebagai ketua pergerakan tersebut”
Profesor Agus dan profesor Aziz Bari dimomok sebagai berlagak netural dan professor cari makan. Macam terbalik kot pulak!. Kami memilih Prof Agus atas kehebatannya mengendali rancangan talk show Hujah terbitan TV9. Tak kan TV9 akan terus membenarkan beliau bersama rancangan tersebut sekiranya dia penyokong tegar parti pembangkang
“Saya ada pilihan parti mana dalam hati saya, tetapi itu menjadi rahsia saya”
Itu baru politik demokrasi. Kecenderungan politik tidak boleh dipaksa-paksa sebagaimana kakitangan kerajaan dipaksa menyokong parti pemerintah.
Kami mengatur majlis makan malam sejam sebelum berlangsungya Wacana Perdana di hotel tempat penginapan moderator dan panelis. Prof Agus tidak hadir dan apabila ditanya,
“Saya tidak mahu berjumpa dengan mereka sebelum program kerana bimbang akan ada bias pada mana-mana pihak”
Bukankah malam itu Dato’ Husam juga terkena soalan maut moderator?
Profesor Aziz Bari adalah pakar undang-undang dan perlembagaan. Sememangnya dia bercakap dan memberi pandangan atas dasar itu. Kebetulan Umno dan Barisan Nasional dilihat sebagai pengubal undang-undang yang melanggar undang-undang.
“Saya ahli akademik dan saya tiada roh ahli politik,” akuinya.
“ Kerana itu saya tidak pandai menghentam ahli politik, saya bercakap atas asas undang-undang dan perlembagaan.”
Saya menjangkakan selepas ini akan ada lagi kalangan Umno yang berani menerima undangan daripada PAS sebagaimana beraninya Khairi Jamaludin. Tak tahulah kalau hanya Khairy saja yang punya semangat begitu.
Sebaliknya kita mengharapkan Umno boleh lebih terbuka dengan menjemput PAS dalam forum mereka. Kerahlah seramai mana penyokong anda, tetapi keselamatan mesti menjadi prioriti kerana itu antara keutamaan kami ketika menganjurkan wacana yang lalu.
1 ulasan:
"Dulu Hudud Dijulang
Sekarang Negara Kebajikan.
Pekikan Hudud Hilang
Janji Kebajikan Dilupakan".
Catat Ulasan