Selasa, Disember 23, 2008

Wan Farid diumum calon BN di KT

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Salleh diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Ia diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di majlis pengumuman calon BN di Kuala Terengganu petang ini.

Najib juga merupakan pengarah pilihanraya kecil tersebut. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) telah menetapkan tarikh penamaan calon pada 6 Januari depan.

Wan Ahmad Farid, 46 - bekas peguam lulusan Universiti Thames Valley, London - merupakan anak jati Kuala Terengganu.

Pada 1987, beliau menjadi peguam termasuk peguam syarie dan menjadi setiausaha Jawatankuasa Peguam Negeri Terengganu.

Di dalam politik, beliau menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Kuala Terengganu pada 1995 sebelum menjadi Ketua Pemuda bahagian pada 1998 dan menjadi menjadi exco pemuda Umno pusat dari 1999 hingga 2004.

Pada tahun 2001, beliau dipilih menjadi timbalan ketua Umno bahagian Kuala Terengganu sebelum dilantik menjadi setiausaha politik kepada Menteri Keselamatan Dalam Negeri pada 31 Disember 2003 dan sekaligus beliau meninggalkan kerjaya peguamnya.

Beliau menjadi ketua Umno bahagian Kuala Terengganu apabila mengalahkan penyandang jawatan, Senator Datuk Roslan Awang Chik.

Pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Razali Ismail di Genting Highland pada 28 November lalu.

PAS pula akan mengumumkan calonnya esok. Antara nama yang disebut-sebut sebagai calon PAS ialah Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu; Ahli Dewan Undangan Negeri Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi; Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Mustafa Ali; Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong dan tokoh korporat, Mohd Khazani Abdullah.

Selain itu, Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) telah menyatakan minat untuk bertanding. Tiga orang lagi telah menyatakan minat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun Yusuf yang bertanding dalam pilihanraya umum lalu dan dua orang lagi ialah usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda