Rabu, Februari 11, 2009

UMNO sedia bertanding di Bukit Selambau?

Memang sedia maklum, bahawa Bukit Selambau merupakan kawasan tradisi MIC sejak 4 penggal yang lalu, namun Umno Bahagian Merbok hari ini mencadangkan agar calon daripada Umno dipilih untuk bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bukit Selambau.

Ketuanya Datuk Tajul Urus Md Zain berkata kerusi DUN Bukit Selambau pernah diwakili oleh Umno sebelum ia diberikan kepada MIC selama empat penggal.

"Setelah empat penggal, MIC kini tidak lagi mempunyai pengaruh di kawasan itu dan kita telah menerima maklum balas daripada pengundi di peringkat akar umbi yang mahukan wakil daripada Umno untuk bertanding," kata beliau kepada Bernama di sini hari ini.

Tajul Urus berkata Umno percaya sudah tiba masanya kerusi DUN berkenaan diberi semula kepada parti itu kerana jumlah pengundi Melayu melebihi 50 peratus.

Katanya mesyuarat khas Umno Bahagian yang diadakan malam tadi juga memutuskan untuk memohon pertimbangan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) agar memilih calon BN daripada Umno untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN itu.

Pada pilihan raya umum lepas, kawasan DUN itu mencatatkan jumlah pengundi seramai 34,977 orang dan daripada jumlah itu, seramai 17,607 pengundi adalah Melayu, 9,688 pengundi kaum India, 7,386 pengundi Cina dan 296 pengundi keturunan lain.

Arumugam memperoleh 13,225 undi dan mengalahkan calon BN daripada MIC S. Krishnan yang memperolehi 10,863 undi.

Kata Aspirasi : Jika UMNO sedia bertanding di Bukit Selambau, adakah MIC bersedia melepaskannya? Apatah lagi sentimen MIC sekarang dalam tahap sokongan paling lemah dari kaum India. Namun jika MIC mahukan kembali kerusi ini, persoalannya ialah apakah jaminan MIC bahawa kaum India akan menyokong MIC?

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda