Selasa, Julai 07, 2009

Mustafa - jangan politikkan isu royalti minyak, bawa isu ke mahkamah!

KUALA KRAI: Kerajaan Pas Kelantan disaran membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada terus mempolitik isu berkenaan semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Kerajaan Pas Kelantan wajar merujuk kepada undang-undang selepas enggan menerima penjelasan Kerajaan Pusat.

Katanya, Kerajaan Pusat sudah menjelaskan yang kerajaan negeri tidak layak mendapat royalti daripada pengeluaran petroleum di kawasan bertindih antara Malaysia, Vietnam dan Thailand itu.

"Berikutan kedudukan Pas sebagai parti pembangkang, saya tidak jangka mereka akan bersetuju dengan kenyataan itu dan menerima penjelasan yang dibuat Kerajaan Pusat, itu biasa dan mereka terus mempolitikkan tuntutan itu.

"Sedangkan negara ini berasaskan undang-undang dengan setiap rakyat dan kerajaan negeri mempunyai hak masing-masing. Siapa yang tak puas hati, mereka berhak mengambil tindakan undang-undang mengikut saluran yang ada.

"Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, boleh menghantar surat mengenai royalti itu tanpa sebarang halangan dan Kerajaan Pusat akan menjawabnya mengikut apa yang termaktub dalam undang-undang," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, kecewa dengan tohmahan pihak tertentu yang mendakwa beliau menjadi dalang yang menyekat segala pembangunan ke negeri ini.

Beliau berkata, jika benar beliau bersikap demikian terhadap Kelantan, adalah mustahil untuk negeri ini menikmati segala kemajuan seperti dikecapi sekarang yang sebahagian besar sumber kewangan serta projek mega disalurkan Kerajaan Pusat.

"Saya kecewa dengan tohmahan pihak tertentu mengatakan saya bertanggungjawab menyekat segala pembangunan di negeri ini, sedangkan segala nikmat pembangunan yang dinikmati Kelantan, sebahagiannya melalui usaha saya seperti peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) yang menyaksikan Kelantan menerima RM7.6 bilion, iaitu negeri paling banyak mendapat peruntukan sepanjang RMK-9.

"Ada pihak tertentu yang mungkin tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara dan melemparkan tohmahan itu. Adalah mustahil untuk saya menyediakan sesuatu itu 100 peratus lengkap sepenuhnya. Saya akui ada kelemahannya dan kita akan atasinya dengan sebaik mungkin untuk kemajuan negeri ini," katanya.

Mustapa berkata, untuk membuktikan bahawa segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya termasuk Barisan Nasional (BN) itu tidak benar, rakyat Kelantan harus memberi peluang bagi membolehkan beliau serta BN buktikan segala janjinya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, Selasa depan.

Katanya, sekiranya BN menang, kawasan Manek Urai akan menjadi model transformasi kepada kejayaan BN dan sekali gus membuktikan bahawa masyarakat Kelantan masih inginkan pembangunan.

"Beri peluang kepada kami (BN) untuk buktikan dalam tempoh tiga tahun ini sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti, untuk membuktikan keikhlasan BN yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat serta pembangunan negeri ini," katanya.

2 ulasan:

bungaraya berkata...

Ahli PAS harus faham apa maknanya kawasan bertindih. Itu ertinya kawasan bersama antara Thailand, Vietnam dan Malaysia.Olehkerana itu ianya bukanlah hak kerajaan negeri untuk menuntutnya.
Seeloknya buatlah bising kepada kenapa selama 19tahun memerintah satu apapun PAS tak boleh buat kepada rakyat Kelantan, sehingga negeri itu sangat jauh ketinggalan dibandingkan dengan negeri lain di malaysia.

TokMudim berkata...

Mengikut pungutan suara/poll serta reaksi penduduk-pendududk Manek Urai semasa penamaan calon PRK pada 06-07-09(Isnin) harapan BN untuk memenangi kerusi Manek Urai semakin cerah. Ini amat membimbangkan penyokong-penyokong PAS, setelah PRK Penanti PAS tidak bertanding, maka di Manek Urai, PAS akan melakukan apa saja untuk menafikan kemenangan BN. Oleh itu penduduk penduduk Manek Urai dinasihatkan supaya:

1] Kad pengenalan adalah harta anda yang paling penting. Tanpa kad pengenalan anda tidak dibenarkan mengundi.

2] Simpan kad pengenalan anda ditempat yang selamat. Jangan diberi simpan kepada sesiapa pun walaupun orang itu yang paling dengan rapat dengan anda.

3]Jika ada pihak yang menawarkan wang ringgit untuk menyimpan kad pengenalan anda secara sementara. Jangan terima. Laporkan segera kpd polis. Jika boleh dapatkan sedia bukti gunakan handphone untuk merakam peristiwa tersebut.

4]Jika ada pihak memberi anda wang ringgit secara tidak langsung supaya mengundi parti mereka. Terima saja wang tu tapi jangan undi mereka. Nilai anda tidak boleh dijual-beli.


5] Jika anda syak sesiapa saja yang mempunyai kad pengenalan lebih satu atau mengundi lebih dari satu tempat , lapor kan segera kepada Polis.



Selamat Mengundi

Kongsi Link Anda