Isnin, Ogos 24, 2009

Peringatan kepada Bangsa Melayu dan Umat Islam - Setakat berkuasa dinegeri Perlembagaan dibelakangkan

KUALA LUMPUR 23 Ogos – Kerajaan pakatan pembangkang di Selangor terus dibidas kerana sanggup membelakangkan Perlembagaan dalam isu pembinaan kuil di negeri itu.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya membenarkan kuil dibina di kawasan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Beliau berkata, walaupun Perlembagaan memberikan hak kebebasan beragama kepada setiap individu tetapi mereka tidak boleh melampaui batas sehingga boleh menggugat keharmonian negara.

‘‘Kerajaan negeri Selangor perlu bertindak lebih serius dalam menangani isu pembinaan kuil yang dihadapi penduduk Selangor terutama di Shah Alam.

‘‘Berapa ramai penganut agama Hindu di Selangor sehingga kawasan majoriti penduduk Islam pun hendak dibina kuil,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Terbaru, penduduk Taman Kota Kampung Sungai Rambai, Kuala Langat membantah rancangan membina kuil di kawasan tersebut yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Bantahan secara aman disertai kira-kira 250 penduduk sambil membawa sepanduk melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan tindakan sebuah pemaju perumahan.

Sebelum ini, kira-kira 200 penduduk di Seksyen 23, Shah Alam membantah keputusan kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membenarkan pembinaan kuil di kawasan itu yang penduduk beragama Hindu hanya 40 orang.

‘‘Nyata sekali kerajaan negeri di bawah pakatan pembangkang meletakkan kepentingan politik lebih tinggi berbanding penduduk Islam,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar mengingatkan pihak tertentu jangan keterlaluan dalam tindakan mereka sehingga membelakangkan Perlembagaan.

‘‘Menteri Besar mempunyai rupa Melayu dan beragama Islam tetapi otaknya bukan Melayu dan jika tidak mampu menangani isu sedemikian, lebih baik letak jawatan dan lantik yang baru,’’ tegasnya.

Presiden Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (Prowaris), Feriz Omar pula menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bangkit mempertahankan agama Islam yang kini diserang dari segenap penjuru.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengambil kira bahawa majoriti penduduk di Selangor adalah Melayu yang beragama Islam dan perlu diberi lebih perhatian.

Menurutnya, tindakan Menteri Besar ketika ini seolah-olah menabur racun dalam pemikiran rakyat bahawa Islam itu bukan agama rasmi di negara ini.

‘‘Kealpaan memberi perhatian terhadap isu pembinaan kuil Hindu menyebabkan rakyat hilang rasa hormat terhadap kerajaan negeri,’’ ujarnya.

Sumber : Utusan Malaysia

1 ulasan:

TokMudim berkata...

Setuju dengan Aspirasi bangsa
UMNO gagal menyatu-padu bangsa Melayu setelah 52 tahun memegang kuasa....malah UMNO telah mengkhianati dan menghancur Bangsa Melayu itu sendiri...diharap pengundi Permatang Pasir tidak lagi ditipu...cukup 52 tahun ditipu UMNO.

Kongsi Link Anda