Popular Today

Khamis, Ogos 20, 2009

Jelas salah di sisi Islam

Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
rafie.azimi@utusan.com.my

NILAI 19 Ogos - Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, ia selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT.

Katanya, keputusan mengenainya telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat ke-188 pada Mac 2001.

"Justeru, dakwaan mengatakan pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti-parti tertentu diperlukan sebelum seseorang layak ke syurga atau neraka menyalahi ajaran Islam.

"Jawatankuasa juga berpendapat sesiapa yang mengajar atau menyebarkan pandangan dan fahaman seperti ini adalah salah dan menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di Bangunan Canselori, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.

Abdul Shukor yang juga Naib Canselor USIM menambah, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah orang yang bertakwa".

Menurutnya, tidak kira warna kulit, bangsa, keturunan atau kepercayaan politik, asalkan individu itu soleh dan bertakwa maka orang itu mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.

Ditanya apa yang sepatutnya dilakukan oleh Nik Abdul Aziz setelah mengeluarkan kenyataan sedemikian, beliau percaya, Mursyidul Am Pas itu tahu apa yang perlu dibuat selain memintanya memperbetulkan kenyataan.

"Sebagai orang yang faham agama, saya fikir dia tahu apa yang perlu dilakukan.

"Cuma saya minta dia memperbetulkan kenyataan agar umat Islam tidak terkeliru dengan pandangannya yang dianggap tokoh agama," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua ahli politik agar tidak menggunakan agama hanya untuk kepentingan politik masing-masing.

"Tiada salahnya berpolitik. Tetapi apabila tiba kepada isu agama, bersatulah kita kerana Islam perlu diletakkan di tempat tertinggi di dalam kehidupan," katanya.

Sumber Utusan Malaysia

3 ulasan:

Lin berkata...

SALAM

SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN INI SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MEMOHON MAAF ATAS KEKASARAN BAHASA SEMASA MEMBERI ULASAN KEPADA SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN

SEMOGA RAMADHAN INI DAPAT MENYATUKAN HATI UMAT ISLAM DI MALAYSIA INI...

SALAM SEJAHTERA

YANG GAMBI berkata...

salam,

Ustad, kita sudah lama menuntut agar semua umat Islam bersatu menentang kemungkaran ini.

Mudah-mudahan segalanya dimakbulkan Allah....

Lebai Mangkuk berkata...

YAB DSNTR sebagai Perdana Menteri Malaysia harus segera bertindak menghapuskan petualang2 negara yang sedang bermaharajalela. Petualang2 negara ini sudah menjadi terlampau biadap dan berani bertindak ikut suka hati mereka.

Saban hari mereka menabur fitnah dan mem buruk2 kan kerajaan yang memerintah. Terutamanya di lama2 blog yang pro Pakatan Rakyat. Ceramah2 yang mereka anjurkan juga telah banyak menghasut rakyat membenci kerajaan. Perbuatan mereka ini sudah melampaui batas. Jika tidak dibendung dengan segera, keselamatan negara akan terancam.

Perdana Menteri sepatutnya tidak membiarkan ianya terus berlarutan sehingga ketahap yang tidak boleh dikawal lagi. Ini akan menjadikan negara jadi huru-hara dan kacau-bilau. Yang mendapat susah ialah rakyat jelata yang tidak berdosa.

Tindakan utama yang patut di buat oleh kerajaan ialah 'mengharamkan ceramah2 politik', keduanya mengawasi blog yang anti-kerajaan. Mereka yang bertanggung-jawab mesti dihukum mengikut undang2 ISA kerana mengancam keselamatan negara.

Segeralah bertindak sebelum terlambat.

Kongsi Link Anda