Popular Today

Selasa, September 08, 2009

8.9 juta - hadiah hari raya untuk penduduk Manik Urai



Najib Tun Razak menyampaikan sumbangan kepada ibu tunggal pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan menyampaikan bantuan di MRSM Kuala Krai, semalam.



KUALA KRAI 7 Sept. - Biarpun tewas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Barisan Nasional (BN) tetap menunaikan janji untuk membantu penduduk di situ dengan peruntukan awal sebanyak RM8.9 juta menerusi tiga projek utama.

Projek tersebut ialah pembinaan jambatan dua lorong menghubungkan Manek Urai Lama dan Manek Urai Baru bernilai RM8 juta, penambaikan Masjid Temalir (RM600,000) dan pembinaan kemudahan sukan di Kampung Manjor dengan kos RM300,000.

Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara tersebut sebagai menghargai kesediaan pengundi untuk membawa perubahan ketika menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan Penyampaian Bantuan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Krai di sini petang ini.

Perdana Menteri berkata, ia sebagai tanda terima kasih dan membuktikan bahawa BN ikhlas menepati janji untuk membantu rakyat di kawasan berkenaan yang dianggap sudah membawa kemenangan walaupun tewas dengan majoriti amat tipis di kawasan kubu kuat Pas itu.

''Oleh kerana pemimpin UMNO di sini termasuk Ketua UMNO Bahagian memintanya maka saya sahkan projek membina jambatan ini akan dilaksanakan dengan anggaran sebanyak RM8 juta sebagai penghargaan kepada mereka dan menunaikan janji pilihan raya.

''Saya anggap ini sebagai menghargai sokongan pengundi di Manek Urai yang sebenarnya mahukan perubahan, mudah-mudahan yang sikit itu (majoriti) akan menjadi kenyataan sikit masa lagi," katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed. Kira-kira 4,000 rakyat Kuala Krai menghadiri majlis itu.

Pada Pilihan Raya Kecil Manek Urai lalu, calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tewas dengan majoriti 63 undi kepada calon Pas, Mohd. Fauzi Abdullah.

Kekalahan tipis itu mengejutkan semua pihak kerana kawasan itu dikatakan kubu kuat Pas memandangkan pada pilihan raya umum lalu, calon Pas, Allahyarham Ismail Yaakob menang dengan majoriti, 1,352 undi.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran kematian Ismail akibat pelbagai komplikasi di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.

Najib yang juga Pengerusi BN berkata, Kerajaan Pusat dan BN akan terus membela nasib rakyat Kelantan dan Malaysia seluruhnya.

Beliau menegaskan, ia berdasarkan kepada hala tuju untuk memperjuangkan Islam, menjadikan ummah yang progresif dan berjaya di samping keadilan untuk semua kaum.

Sumber : utusan

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda