Rabu, November 25, 2009

SPRM teruskan siasatan terhadap Ariffahmi

KOTA BHARU 24 Nov. - Siasatan dakwaan penyalahgunaan dana di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tetap diteruskan walaupun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman telah meletakkan jawatan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes yang membabitkan menantu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan disiasat sebagaimana lain-lain kes seumpamanya.

"SPRM akan meneruskan siasatan berhubung kes ini walaupun penjawat berkenaan telah meletakkan jawatan.

"Setelah selesai, kertas siasatan akan dihantar ke jabatan undang-undang bersama bahan bukti yang dikumpulkan sebagai rujukan.

"Kemudian barulah Bahagian Pendakwaan memutuskan sama ada untuk melakukan pendakwaan atau tidak," ujar sumber itu.

Difahamkan, SPRM telah menyiapkan kira-kira 60 peratus siasatan berhubung kes itu dan kini masih mengumpul bahan bukti termasuk dokumen yang diambil di pejabat PMBK.

Abdul Ariffahami dilanda kontroversi apabila SPRM mula menjalankan siasatan ke atasnya kira-kira dua minggu lalu.

Hari ini, media melaporkan beliau telah diarahkan oleh Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan setelah rombongan pimpinan Pas Pusat yang diketuai oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menemuinya semalam.

Mereka menasihatkan Nik Abdul Aziz agar menjaga nama baik kepimpinan Islam khasnya Pas dan langkah sewajarnya ialah agar Abdul Ariffahmi mengundur diri.

Abdul Ariffahmi yang bersedia berbuat demikian bagaimanapun masih belum memutuskan bila akan meletakkan jawatan.

Usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau gagal setelah Abdul Ariffahmi enggan menemui pihak media yang datang ke pejabatnya di sini hari ini.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda