KOTA BHARU 9 Dis. – Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar disifatkan sebagai ‘memandai-mandai’ kerana kembali mencungkil isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).
Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan, perkara itu telah dibincangkan dan diselesaikan selepas pertemuan dengan pimpinan Pas Pusat baru-baru ini.
Oleh itu katanya, Mahfuz tidak perlu lagi mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak sepatutnya kepada media.
Nik Abdul Aziz berkata, tindakan Mahfuz itu adalah satu kesilapan yang tidak mempunyai strategi dan hanya memberi peluang kepada UMNO untuk ‘berpesta’.
“Ucapan Mahfuz itu betul-betul memberi peluang kepada UMNO untuk berpesta. Itu kesilapan dia kerana ini benda yang sudah disiar dan dibincangkan, kenapa tidak berjumpa saya.
“Kalau benda ini belum siap lagi, dia boleh bercakap tetapi ia sudah selesai dengan pejabat agung (kepimpinan Pas pusat).
“Tetapi dia bercakap dengan umum juga, dia pandai-pandai. Itu tidak ada strategi,” katanya kepada para pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kota Darulnaim di sini hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan, Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PMBK, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang juga menantu Nik Abdul Aziz melepaskan jawatannya dengan segera bukannya menunggu sehingga Mac tahun depan.
1 ulasan:
salam ziarah, jika mahu mengetahui rahsia nusantara, islam dan kebangkitan akhir zaman sila mengunjungi www.nusanaga.blogspot.com
Catat Ulasan