Popular Today

Rabu, Oktober 13, 2010

Islam, Melayu dan Malaysia...


Oleh : Norafandi Bin Jamaian @ agendabangsa.com

1. Saya seringkali menerima hujah-hujah dari rakan-rakan dalam PAS yang menyatakan UMNO sesat kerana memperjuangkan Bangsa. Mungkin mereka ‘salin dan tampal’ kata-kata Nik Aziz yang memang suka memutarbelitkan fakta mengikut keadaan. Mereka beranggapan perjuangan membela Melayu itu seakan perbuatan yang salah, racis dan tidak berfaedah.

2. Pernah juga saya diajukan persoalan sama ada saya mahu bersatu atas nama Melayu atau pun bersatu atas nama Islam. Saya beranggapan bahawa persoalan itu merupakan provokasi terhadap UMNO yang dituduh salah kerana melaungkan ungkapan ’Hidup Melayu Bersatu’ seolah-olah satu kesalahan jika bersatu atas nama Melayu.

3. Sebelum kita pergi lebih jauh kita seharusnya faham bahawa dalam kehidupan ini terdapat banyak kumpulan-kumpulan tertentu. Kita tidak boleh mencampur-adukkan kumpulan-kumpulan ini kerana ia akan menjadi tidak tepat. Kita seharusnya tahu membezakan Islam itu agama, Melayu itu kaum, Malaysia itu negara, PAS itu parti politik yang hanya ada di Malaysia, Kampung Melayu Raya itu sebuah kampung, lelaki itu jantina.

4. Sebelum orang-orang Melayu PAS mahu menolak dan memperlekehkan perjuangan memartabatkan Melayu mereka seharusnya tahu apa itu Melayu dan apa yang ada dalam kumpulan kaum selain Melayu. Selain Melayu kumpulan kaum ini juga mengandungi Cina, India, Kadazan, Murut, Bajau, Bidayuh dan pelbagai lagi.

5. ”Orang Melayu” mengikut tafsiran Perlembagaan Malaysia 1963 bererti seseorang yang menganuti agama Islam, lazim bercakap bahasa Melayu, menurut adat Melayu. Perlembagaan tidak menakrifkan Melayu adalah Islam tetapi seseorang yang menganut Agama Islam kerana jelas ia berada dalam kumpulan berbeda.

6. Kita tidak boleh menyamakan Islam dan Melayu atau Islam dan PAS kerana ia jelas tidak tepat. Kita tidak boleh disuruh untuk memilih sama ada hanya memilih Islam atau Melayu kerana kita seharusnya dibenarkan memilih kedua-duanya kerana berada dalam kumpulan berbeda.

7. Benar kita diajak untuk bersatu dan memperjuangkan Islam, saya langsung tidak menafikan tapi dalam masa yang sama tidak salah untuk kita bersatu atas nama Melayu. Begitu juga seterusnya kita boleh bersatu atas nama parti, pertubuhan, persatuan atau apa juga kumpulan selagi ia bermatlamatkan kebaikan. Adakah salah bagi ahli PIBG sekolah bersatu memperjuangkan kebajikan anak-anak mereka di Sekolah ?

8. Mengapa Melayu itu perlu diperjuangkan ? Persoalan ini juga seringkali timbul. Sebenarnya Melayu telah wujud dirantau ini sekian lama dan telah mencapai kegemilangannya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka. Kemudiannya Melayu diperlekehkan apabila dijajah selama 446 tahun oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan British semula. Apabila negara ini merdeka pada tahun 1957 ia dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Jika tidak kerana pengabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura membentuk Malaysia, negara ini akan kekal dengan nama Tanah Melayu.

9. Kita harus sedar jika kita sebut tentang Cina, ada sebuah negara di sebelah Utara bernama China dan apabila kita sebut tentang India terdapat sebuah negara si sebelah Barat Daya bernama India. Namun bila kita sebut Melayu dimanakah negara asalnya Melayu itu?. Tanah Melayu atau Malaysia inilah asalnya. Oleh itu Melayu itu harus sentiasa diperjuangkan agar Melayu tidak tenggelam di bumi sendiri.

10. Orang-orang Cina di Malaysia setelah sekian lama merdeka masih terus memperjuangkan kaum Cina. Mereka tidak mahu memansuhkan SJKC, mereka menubuhkan dewan-dewan perniagaan Cina, mereka membangunkan kolej-kolej untuk kaum Cina meneruskan kelangsungan kaum Cina di Malaysia. Begitu juga dengan kaum India. Itu bukanlah satu kesalahan.

11. Adakah apabila ada kaum yang begitu progresif memperjuangkan kaum mereka maka kaum lain akan mampu bertahan kompetatif tanpa melakukan apa-apa? Adakah kita mahu akhirnya kaum Melayu hidup tersepit, terhimpit tanpa pembelaan? Apakah kita mahu kaum Melayu akhirnya terpinggir di bumi sendiri?

12. Apabila kita menyeru untuk memperjuangkan Melayu tidak bermakna kita akan bermusuh dengan kaum-kaum lain seperti Cina dan India. Bersatu dan memperjuangkan Melayu tidak bermaksud kita mahu menindas kaum-kaum lain. Bersatu dan memperjuangkan Melayu juga tidak bermakna kita menolak integrasi kaum yang menjadi tonggak utama ke arah matlamat akhir kita mewujudkan Perpaduan dan Integrasi Nasional dalam sebuah negara bangsa.

13. Asas pembinan negara Malaysia tidak sama seperti asas pembinaan negara Indonesia. Di Malaysia orang Cina masih bercakap Mandarin, masih memakai Cheongsam dan masih boleh menggunakan nama Lee Chong Wei tetapi ini tidak berlaku di Indonesia.

14. Kita menuju kearah sebuah negara bangsa tetapi negara bangsa yang kita ingin bina tidak membunuh identiti kaum dan etnik seperti di Indonesia. Kita mengambil perbezaan itu sebagai kelebihan. Kita mahu hidup dalam masyarakat majmuk tanpa sekatan beragama, beradat resam, berbahasa dan bercampur gaul.

15. Di sesebuah negara berbilang kaum pembinaan negara mereka berbeza. Mereka membina negara bangsa dengan cara mengambil bahasa, adat resam dan kebudayaan kaum majoriti sebagai asas kemudian identiti kaum minoriti akan dihapuskan. Jadi mereka tidak perlu terus memperjuangkan kaum masing-maisng.

16. Kaum Cina di Malaysia tidak mahu identiti kaum mereka di hapuskan begitu juga India dan kaum-kaum lain. Namun begitu sebagai penghormati penduduk pribumi negara ini semua kaum yang telah bersetuju memberi beberapa keistimewaan melalui kontrak sosial semasa mahu mencapai kemerdekaan.

17. Melalui perjuangan pejuang lampau kaum Melayu telah diberi keistimewaan melalui artikel 153 selain menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara. Ini jelas satu penghormatan yang telah dicapai melalui perjuangan. Namun jika kita lalai dan tidak memperjuangkan kaum Melayu tidak mustahil keistimewaan yang dikecapi itu akan hilang maka wujudlah kesamarataan hakiki.

18. Sungguh malang hari ini telah wujud golongan Melayu haprak yang bukan saja tidak mahu memperjuangan Melayu tetapi juga memperlekehkan orang Melayu yang berjuang membela Melayu. Mereka merasakan memperjuangan Islam sudah memadai tanpa perlu membela Melayu.

19. Mereka berkata kononnya bersatu atas nama Islam tetapi dalam masa yang sama parti mereka berpakat dengan si Kafir menjatuhkan kerajaan yang majoritinya orang Islam malahan mereka sebenarnya paling minoriti dalam pakatan tersebut.

20. Mereka berpadu dengan orang yang menolak keistimewaan kaum mereka sebagai pribumi dengan laungan ’Malaysian Malaysia’. Mereka percaya dengan yakin lalu menolak perjuangan membela kaum sedangkan mereka tidak sedar kaum mereka jauh ketinggalan oleh kaum yang mahukan kesamarataan itu. Tanpa pembelaan mungkin kaum mereka sudah lama dihinjak-hinjak. Mereka sebenarnya bodoh dan mudah ditipu dan itulah PAS....

21. Bersama kita perjuangkan Agama Islam, Kaum Melayu dan Negara Malaysia...

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda