Popular Today

Rabu, April 02, 2014

Akibat tidak puas hati - Koperal dilibas parang



Azid Ismail (kiri) menunjukkan kesan cedera di lengan kiri Ahmad Irwan Benjamin selepas terkena libasan parang daripada seorang suspek lelaki dalam kejadian di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, semalam. - Utusan/HARIS FADILAH AHMAD

JERANTUT 1 April - Seorang anggota polis berpangkat koperal cedera akibat dilibas dengan sebilah parang oleh pemuda yang hendak diberkasnya dalam kejadian di sebuah rumah di Felda Kota Gelanggi Dua, di sini semalam.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Koperal Ahmad Irwan Benjamin, 33, cedera di bahagian lengan kiri akibat terkena libasan parang tersebut selain luka di kaki kiri dan lebam di lengan kanannya.

Ketua Polis Daerah Jerantut, Supritendan Azid Ismail berkata, suspek berusia 24 tahun yang disenaraikan sebagai orang dikehendaki bertindak agresif melibas parang setelah menyedari kehadiran sepasukan polis di rumahnya.

"Berikutan kejadian itu, Ahmad Irwan yang cedera dikejarkan ke Hospital Jerantut untuk rawatan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, mangsa bersama enam lagi anggota polis ke rumah suspek untuk menahan lelaki itu atas kesalahan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana pernah mengugut untuk membunuh ibunya pada tahun lepas.

Bagaimanapun katanya, semasa pasukan polis memperkenalkan diri, suspek tiba-tiba bertindak agresif lalu mencapai parang dan melibas anggota terbabit sebelum berjaya ditahan selepas kejadian.

Azid berkata, hasil pemeriksaan di dalam bilik suspek, polis menemukan sebilah pisau buatan sendiri, sebilah kerambit dan tiga bilah parang panjang.

Selain itu, katanya, polis juga merampas satu tiub straw berwarna merah yang disyaki mengandungi dadah jenis heroin.
"Suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula hari ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh," ujarnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20140402/je_02/Koperal-cedera-di-lengan-kiri-dilibas-parang#ixzz2xgFzslcA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda