Ahad, Disember 07, 2014

tindakan tegas!! KDN bakal batalkan pasport blogger lucah..

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan membatalkan pasport antarabangsa blogger kontroversi Alvin Tan, yang kini dipercayai berada di Amerika Syarikat, dalam usaha membawanya pulang bagi menghadapi tindakan undang-undang.
 
Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan membatalkan pasport Alvin Tan atau nama sebenarnya Tan Jye Yee, 26, akan dibuat secepat mungkin berdasarkan peruntukan dalam Akta Imigresen.
 
Tindakan itu, katanya, boleh diambil berdasarkan kedudukan Tan di luar negara selepas melarikan diri dari Malaysia bagi mendapatkan perlindungan politik, dan mengelak daripada ditahan pihak berkuasa di sini atas kesalahan-kesalahan yang telah dilakukan.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Skuad Taktikal Khas 3 (STAGG) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini hari ini.
 
Ahmad Zahid berkata, dengan tindakan membatalkan pasport antarabangsanya, blogger tersebut akan hilang kelayakan untuk berada di mana-mana lokasi di luar negara kerana tidak lagi mempunyai keizinan atau kebenaran daripada negara asal.
 
"Kita boleh lakukannya secepat mungkin... malah boleh dilakukan pada hari Isnin nanti," katanya.
 
Pada 18 Julai 2013, Alvin Tan dan teman wanitanya Vivian Lee, 25, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Akta Hasutan kerana mempersendakan agama Islam dan bulan Ramadan di laman Facebook.
 
Susulan itu, pada 22 Ogos lepas, mahkamah yang sama mengeluarkan waran tangkap selepas Tan gagal hadir bagi sebutan kesnya.
 
Baru-baru ini, dia dipercayai memuat naik kenyataan yang mempersendakan institusi beraja melalui Facebooknya.
 
Alvin Tan dipercayai memuat naik kenyataan itu di Los Angeles, California, Amerika Syarikat berdasarkan catatan lokasi di laman Facebooknya, yang mendakwa sultan tidak mempunyai kuasa untuk memberi dan menarik balik gelaran kebesaran daripada mana-mana pihak.
 
Status tersebut dipercayai ditujukan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas baginda menarik balik gelaran Datuk Seri daripada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkuat kuasa 3 November lepas.
 
Sementara itu, berkenaan STAGG, Zahid berkata pasukan itu yang disertai 220 anggota termasuk 61 pegawai, ditubuhkan khusus untuk menangani jenayah maksiat, perjudian dan gengsterisme.
 
"Pasukan ini bukan sekadar beroperasi di Lembah Klang dan ibu negara malah di seluruh negara. Modus operandi yang digunakan pasukan itu ialah dengan menumpukan kepada kumpulan sasar yang hendak dibanteras," katanya.
 
Beliau berkata, penubuhan pasukan itu melengkapkan PDRM dengan tiga pasukan elit iaitu Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc) bertujuan membanteras jenayah terancang dan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (Sting) untuk pembanterasan dadah.
 
Sementara itu mengenai kes pembunuhan warga Myanmar di Pulau Pinang, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim yang turut hadir pada majlis itu berkata sehingga kini terdapat 18 kes melibatkan pembunuhan warga berkenaan, dengan 17 kes diselesaikan melibatkan 17 rakyat Myanmar yang ditahan polis.
 
Katanya, beberapa suspek yang ditahan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan dipercayai bergaduh dengan kumpulan lain dengan bermotifkan dendam sesama mereka. -Bernama

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

A rhetoric person who flips flops wud never dare to do it....trust me.

aquarius morius berkata...

Blogwalking sambil baca entri. :)

Aquarius recently post : Bagaimana akhirnya saya berjaya atasi masalah rambut gugur

Kongsi Link Anda