Popular Today

Selasa, Mei 06, 2008

Karpal pertikai sultan - Sifatkan istana campur tangan pentadbiran negeri Perak

0 Komen!!!
Oleh MARHAINI KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Mei – Pengerusi DAP, Karpal Singh terus mempertikaikan tindakan Sultan Perak menitahkan Menteri Besar menarik balik arahan pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury, yang disifatkannya sebagai campur tangan istana dalam pentadbiran negeri.

Sambil mengingatkan Istana Perak supaya memahami kuasa terhad raja-raja, Karpal menekankan bahawa “rakyat kini tidak lagi hidup dalam zaman feudal.’'

‘‘Sultan dan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat pihak eksekutif (kerajaan). Sultan Perak tidak ada hak di bawah undang-undang untuk campur tangan dalam keputusan kerajaan negeri menukar Jamry sebagai Pengarah JAIP,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen yang turut dihadiri anaknya, Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu memetik kes Mahkamah Persekutuan pada 1982, yang menurutnya jelas menunjukkan urusan membabitkan kakitangan awam sama ada patut dipindah dan ke mana hendak dipindah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Sultan Perak sendiri pernah jadi Ketua Hakim Negara, takkan tidak sedar kes ini,” kata Karpal.

Dalam hal ini, beliau berpendapat kerajaan negeri Perak tidak sepatutnya ‘tunduk’ kepada tekanan pihak istana.

‘‘Masalahnya Menteri Besar Perak (Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin) sudah meminta maaf kepada sultan. Kerajaan negeri tidak sepatutnya dipengaruhi istana.

‘‘Arahan Sultan Perak supaya Jamry dilantik semula adalah tidak sah mengikut undang-undang. Jamry patut ditukar seperti keputusan awal kerajaan negeri. (Mohammad) Nizar tidak perlu minta maaf... tiada apa yang salah,” katanya.

Karpal turut menggesa Kerajaan Pusat memastikan sultan dilarang daripada campur tangan dalam pentadbiran kerajaan negeri agar apa yang berlaku di Perak tidak menjadi ikutan negeri-negeri beraja yang lain.

Menurutnya, walaupun sultan merupakan ketua agama Islam tetapi pelantikan kakitangan awam terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak dilaporkan akan menghadap Sultan Azlan Shah Selasa ini bagi menyerahkan watikah memohon ampun atas tindakan beliau mengarahkan pertukaran serta-merta Pengarah JAIP baru-baru ini.

Perbuatan Mohammad Nizar itu melanggar tradisi di Perak kerana semua pelantikan Pengarah JAIP sebelum ini dibuat dengan perkenan Sultan Perak.

“Saya amat menghormati dan dengan rendah diri akan sentiasa patuh dengan apa juga keputusan yang dibuat oleh baginda Sultan Perak.

“Saya akan memohon menghadap dan menyerahkan watikah memohon ampun kepada baginda secepat mungkin,” kata Mohammad Nizar dalam satu kenyataan Sabtu lalu.

Jamry, yang bertugas sebagai Pengarah JAIP sejak 2004, diarah bertukar serta- merta ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas.

Mohammad Nizar yang mengeluarkan arahan itu pada 29 April mendakwa Jamry tidak memberi kerjasama kepada kerajaan negeri.

Pertukaran itu dikatakan ada kaitan dengan isu-isu pentadbiran agama dan usaha kerajaan negeri yang baru untuk menukar senarai ahli jawatankuasa masjid di seluruh Perak.

Pada Jumaat lalu, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar supaya menarik balik arahan pertukaran tersebut.

Arahan itu terkandung dalam kenyataan akhbar tiga muka surat yang dikeluarkan atas titah Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah selepas Mohammad Nizar menghadap baginda di Istana Raja Muda Perak.

Istana Perak menyifatkan perbuatan Mohammad Nizar menukar Jamry sebagai membelakangkan kedudukan Sultan Perak sebagai Ketua Agama Islam dan Raja Muda Perak selaku Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIAMP).

Utusan Malaysia 6/5/08

Pengarah Jaip dapat balik jawatan

0 Komen!!!
Oleh Ridzuan Yop

IPOH: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury yang diarah bertukar 24 jam oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada 29 April lalu, dilantik semula ke jawatan itu semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, yang mengesahkan perkara itu berkata, surat pelantikan semula ditandatangani beliau dan diserahkan kepada Jamry semalam.

"Saya melihat isu ini sudah selesai dan kita keluarkan surat pelantikan semula kepada beliau untuk jawatan sama berkuat kuasa serta-merta.

"Oleh itu, beliau kekal dengan jawatan yang dipegang sebelum ini (Pengarah Jaip)" katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdul Rahman enggan membuat ulasan berhubung perkara itu walaupun diajukan pelbagai soalan oleh wartawan yang menunggu di pejabatnya bagi mengetahui perkembangan terkini selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar menarik semula arahan pertukaran itu.

Pada 29 April lalu, Jamry diarah berpindah ke jabatan lain dalam tempoh 24 jam kerana dikatakan 'gagal memberi kerjasama dan tidak menolong' kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Pakatan Rakyat.

Mohammad Nizar dilaporkan berkata, Jamry yang mula bertugas di sebagai Pengarah Jaip sejak tiga tahun lalu hanya dipinjamkan ke jabatan itu dan pertukarannya ke jabatan lain adalah proses biasa.

Bagaimanapun, Sultan Azlan Shah, dalam kenyataan 2 Mei lalu menitahkan kerajaan negeri menarik balik arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada Jamry.

Titah itu disampaikan menerusi Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ketika Mohammad Nizar menghadap baginda di Istana Raja Muda di sini.

Dalam kenyataan itu, Setiausaha Sulit Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, berkata Sultan Azlan bertitah, jika Jamry melakukan kesalahan atau melanggar peraturan pentadbiran kerajaan negeri, kepemimpinan negeri mestilah mempersembah secara rasmi kepada baginda dan Raja Muda.

Sementara itu, Jamry yang dihubungi di sini, semalam enggan membuat ulasan, kerana berpendapat sebagai penjawat awam beliau perlu mendapat kebenaran Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dulu.

Berita Harian 6/5/08

Rabu, April 30, 2008

Zalim - MB Perak mahu Pengarah JAIP keluar pejabat 24 jam

0 Komen!!!
Zalim!.. itulah perkataan paling sesuai digunakan untuk menggambarkan tindakan MB Merak yang menghalau Pengarah JAIP keluar pejabat 24 jam.

Sebagaimana laporan Utusan Malaysia Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIP), Datuk Jamry Sury hari ini diarah bertukar serta-merta dalam tempoh 24 jam oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin kerana didakwa tidak memberi kerjasama kepada kerajaan campuran DAP, PKR dan Pas.

Jamry yang juga Setiausaha Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) dikatakan telah diarah keluar dari pejabatnya oleh Mohammad Nizar pagi ini.

Menurut sumber kerajaan negeri, arahan Menteri Besar berkenaan melanggar tradisi di negeri ini dan mendahului Sultan Perak yang bertanggungjawab penuh dalam hal ehwal Islam.

Difahamkan, Jamry telah dihubungi melalui telefon supaya mengosongkan pejabatnya.

Perselisihan Pengarah JAIP itu dengan Menteri Besar dikatakan ada kaitan dengan usaha kerajaan negeri menukar ahli-ahli jawatankuasa masjid di seluruh Perak.



“Jamry diarah keluar tanpa diberi peluang menjelaskan apa-apa untuk membela dirinya,” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini.

Jamry, 48, ketika dihubungi enggan mengulas mengenai arahan itu, tetapi memaklumkan bahawa beliau akan menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah di Istana Kinta di sini.

“Setakat ini, saya diminta supaya tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan berhubung perkara itu.

“Kemungkinan saya akan mengeluarkan kenyataan selepas menghadap Sultan,” kata beliau.

Arahan Menteri Besar Perak supaya Jamry mengosongkan pejabatnya boleh mencetuskan kontroversi kerana hal ehwal agama Islam terletak di bawah bidang kuasa Sultan Perak yang menjadi Ketua Agama Islam negeri.

Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah pula merupakan Pengerusi MAIAMP.

MAIAMP sepatutnya mengadakan mesyuarat pada 15 Mei ini untuk membincangkan senarai baru jawatankuasa masjid di seluruh Perak yang dibuat dengan mengambil kira nasihat Istana Perak.

Jamry dilantik memegang jawatan Pengarah JAIP sejak tahun 2004. Sebelum itu, beliau ialah Pegawai Daerah Kuala Kangsar.

Sementara itu, Mohammad Nizar yang genap 43 hari menjadi Menteri Besar mendakwa pertukaran serta-merta Jamry itu adalah sesuatu yang ‘normal’ dari segi prosedur pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, Jamry ditukarkan ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dan penggantinya di JAIP akan diumumkan kemudian.

Bagaimanapun, ketika ditanya mengapa Jamry diarah bertukar dalam tempoh 24 jam, Mohammad Nizar terdiam seketika.

Beliau kemudian sekali lagi menegaskan bahawa arahan pertukaran tersebut adalah sesuatu yang biasa dan tiada apa-apa yang negatif mengenainya.

“Sebelum ini juga terdapat beberapa pertukaran dan perpindahan beberapa pegawai kerajaan negeri, tetapi ia tidak dihebahkan kepada umum.

“Bertukar atau naik pangkat dalam pentadbiran adalah perkara biasa. Kita ada Timbalan SUK (Setiausaha Kerajaan) ditukarkan... naik pangkat pergi ke ibu pejabat, ini biasa.

“Anda patut kemukakan soalan ini kepada Menteri Besar yang dulu bila dia masuk-masuk sahaja, dia malah menukarkan SUK... saya tidak,” katanya pada sidang media selepas satu majlis di Institut Tadbiran Islam Perak (Intim) di sini petang ini.

Mohammad Nizar turut menafikan wujud perbezaan pendapat antara beliau dan Jamry hingga menyebabkan Jamry ditukarkan.

Selasa, April 29, 2008

Pemuda PAS nafi terlibat kes ugut Karpal

0 Komen!!!
Jimadie Shah Othman & Fathi Aris Omar Apr 29, 08 11:37am
kemaskini 2:34pm Ketua Pemuda PAS Johor menafikan beliau turut mengiringi seorang pelajar menyerah diri ke balai polis semalam berhubung isu ugutan bunuh terhadap pengerusi DAP Karpal Singh.

Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata beliau dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari Kluang pada jam 1 tengah hari sewaktu pelajar itu dilaporkan berbuat demikian.

"Saya tidak faham bagaimana saya telah dikaitkan dalam perkara ini bersama-sama dengan pemuda-pemuda PAS Johor," katanya hari ini.

Menurut agensi berita Bernama, yang dipetik Malaysiakini malam tadi, pelajar kolej berumur 19 tahun itu menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan ahli parlimen Bukit Gelugor dalam laman web PAS Johor.

Beliau yang dilaporkan diiringi bapanya dan empat anggota Pemuda PAS negeri yang diketuai Khairul Faizi tiba di ibu balai polis Johor Bahru selatan pada pukul 1 tengah hari.

Selepas keterangannya direkodkan oleh polis, lapor agensi berita itu lagi, pelajar itu pergi ke pejabat naib pengerusi DAP Johor Norman Fernandez pada 4 petang.

Khairul Faizi menambah, beliau "amat terkejut" apabila dikaitkan dengan isu kontroversi tersebut seperti diberitakan.

Dihubungi hari ini, Khairul Faizi berkata, Pemuda PAS negeri termasuk beliau tidak terlibat dalam laporan polis berhubung kes berkaitan.

Ditanya pihak yang terlibat, beliau berkata "tidak tahu".

"Saya ada bertanya PAS negeri, tetapi PAS negeri juga tidak tahu-menahu tentang soal ini," katanya.

"Kemungkinan PAS (kawasan) Johor Bahru, kerana berita itu dimuatkan di laman web PAS kawasan tersebut."

Manakala yang dipertua PAS kawasan itu Rosli Kemin ketika dihubungi berkata, pihaknya juga tidak terlibat ke balai polis Johor Bahru selatan untuk mengiringi pelajar tersebut menyerah diri kepada polis.

Beliau menjelaskan, beliau bersama tiga pemimpin PAS kawasan menemui naib pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez.

"Saya bersama bendahari (PAS kawasan), ketua penerangan dan ahli jawatankuasa kawasan menemui Norman Fernandez," katanya lagi.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Fernandez mengakui pertemuan pelajar dan bapanya turut disertai beberapa pemimpin PAS kawasan termasuk Rosli di pejabat pemimpin DAP itu kira-kira 4 petang semalam.

Pelajar tersebut telah memohon maaf kepada Karpal dan surat tersebut akan dikirimkan kepada ahli parlimen DAP itu petang ini, kata Fernandez lagi.

Tambahnya, beliau mengesyorkan kepada Karpal agar menarik balik laporan polis tersebut memandang remaja itu masih belajar dan memohon maaf.

"Bagaimanapun, terpulang kepada Karpal untuk berbuat demikian," katanya.

Fernandez, yang juga seorang peguam, berkata beliau memberikan keterangan kepada polis kira-kira setengah jam pagi ini berhubung pertemuan di pejabatnya semalam.

Penjelasan tentang isu tersebut turut dimuatkan di blognya di alamat normanfernandez.blogspot.com

Laporan Malaysia Kini 24/4/08

Artikel berkaitan :
Ugut Karpal: Pelajar kolej serah diri - PAS tewas
Karpal: I didn't insult Islam

Timbalan Speaker: 17 anggota pembangkang sokong Wan Junaidi

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 28 April – Persidangan pertama Parlimen ke-12 mencatat perkembangan menarik apabila dua anggota Barisan Nasional (BN) dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dengan seorang daripadanya turut mendapat sokongan daripada 17 anggota pembangkang.

Ahli Parlimen Santubong, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Ronald Kiandee masing-masing memperoleh 157 dan 140 undi dalam pengundian yang diadakan hari ini.

Mereka mengetepikan cabaran daripada anggota pembangkang, Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) yang hanya mendapat 81 undi.

Dengan komposisi Dewan Rakyat yang terdiri daripada 140 Ahli Parlimen BN dan 82 anggota pembangkang, kejayaan Wan Junaidi memperoleh 157 undi menunjukkan pencalonannya turut disokong oleh 17 wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun, identiti kumpulan Ahli Parlimen pembangkang itu tidak diketahui kerana pengundian dibuat secara sulit.

Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail ketika diminta mengulas kemenangan Wan Junaidi – yang turut dicapai hasil daripada sokongan Ahli Parlimen pembangkang – menerima keputusan tersebut secara positif.

“Semua anggota pembangkang mengundi Seng Giaw kecuali seorang. Pembangkang sudah beri sokongan padu kepada calon kita, tetapi (Wan Junaidi dan Ronald) menang... kita terimalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen.

Daripada 82 anggota Parlimen pembangkang, 31 ialah wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP (28) dan Pas (22), manakala Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali merupakan wakil rakyat Bebas yang bertanding atas tiket Pas.

Proses pengundian bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dijalankan secara sulit iaitu dengan kesemua 222 wakil rakyat menulis nama dua calon pilihan mereka di atas kertas sebelum dikumpulkan oleh petugas Parlimen untuk pengiraan.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat diadakan sebaik sahaja 222 anggota Parlimen selesai mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada pukul 12.30 tengah hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan dua nama iaitu Wan Junaidi dan Ronald sebagai calon BN yang bertanding bagi merebut dua jawatan yang dipertandingkan itu sebelum disokong oleh timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Penasihat DAP yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang pula mencadangkan nama Seng Giaw sebagai calon daripada pakatan pembangkang yang kemudian disokong oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh.

Keputusan pemilihan diumumkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat pada pukul 12.50 tengah hari dan disambut dengan tepukan gemuruh anggota Dewan.

Wan Junaidi, Ahli Parlimen Santubong selama lima penggal, ketika mengulas kemenangannya berkata, rakan-rakan daripada anggota pembangkang telah menyatakan sokongan kepada beliau sebaik sahaja mengetahui namanya dicalonkan untuk jawatan itu.

“Mereka menyokong saya setelah mendapat tahu kemampuan, pengalaman dan latar belakang saya dalam bidang undang-undang,” katanya.

Utusan Malaysia 28/4/08

Calon DAP tak dapat sokongan

0 Komen!!!
Oleh Anwar Hussin, Zainab Mohd Yatim dan Faiza Zainuddin

Pembangkang turut pilih Wan Junaidi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Pembangkang menerima kejutan awal pada sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam apabila Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw, yang dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, tidak mendapat sokongan penuh Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar (Santubong) bukan saja mendapat sokongan 100 peratus penyokong BN, malah turut disokong 17 wakil rakyat pembangkang yang membolehkannya meraih undian tertinggi dalam pemilihan jawatan berkenaan.

Dr Wan Junaidi memperoleh 157 undi dan seorang lagi wakil BN, Datuk Ronald Kiandee (Beluran) mendapat 140 undi, manakala Dr Tan hanya menerima 81 undi. Ini bermakna, Dr Wan Junaidi dan Ronald dipilih sebagai dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lalu, BN menang 140 kerusi Parlimen manakala pembangkang 82 kerusi iaitu 31 daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), 28 DAP dan 23 Pas termasuk yang dimenangi oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.

Dengan keputusan pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua itu, timbul teka-teki siapakah di kalangan pembangkang yang tidak mengundi Dr Tan.

Naib Presiden PKR, Azmin Ali, ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu, berkata pembangkang mempunyai satu wakil Bebas (Ibrahim).

Ibrahim bagaimanapun berkata, undinya rahsia dan terpulang kepada sesiapapun untuk bercakap apa yang mereka mahu.

"Saya adalah lelaki yang mempunyai integriti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dibuat melalui undi sulit selepas tiga nama dicalonkan. Setiap ahli Dewan dibenarkan mengundi dua nama.

Datuk Ronald Kiandee
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mencalonkan Wan Junaidi dan Ronald, manakala Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Ipoh Timur) mencalonkan Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong.

Sebelum itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, 53, mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat kelapan.

Pelantikan Pandikar Amin dicadangkan oleh Abdullah mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan. Hanya satu nama dikemukakan bagi jawatan berkenaan kepada Setiausaha Dewan, Rosmee Hamzah, melalui surat bertarikh 10 April lalu.

Cadangan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sebelum mengangkat sumpah, Pandikar Amin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dipakaikan songkok dan jubah oleh Rosmee dan pembantunya.

Pada mesyuarat pertama penggal pertama sidang Parlimen ke-12 itu, semua 222 Ahli Parlimen turut mengangkat sumpah jawatan, diketuai Abdullah.

Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu hitam, kemudian menandatangani ikrar sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, diikuti Najib, Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen BN lain.

Wakil pembangkang pula diketuai oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail (Permatang Pauh). Majlis angkat sumpah selama lebih dua jam itu diakhiri dengan Ibrahim.

Sementara itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mempersoalkan kesahihan ikrar beberapa Ahli Parlimen yang tidak mengangkat tangan kanan ketika membaca ikrar sumpah. Berikutan itu, Pandikar Amin meminta semua Ahli Parlimen mengangkat tangan kanan ketika membaca ikrar.

"Yang tidak angkat tangan, mana tahu mungkin tangannya sakit," kata Pandikar Amin secara berseloroh.

Karpal ketika tiba gilirannya mengangkat sumpah memberitahu Dewan, beliau tidak boleh mengangkat tangan kanan kerana sakit. Berikutan itu, beliau mengangkat sumpah dengan mengangkat tangan kirinya.

"Untuk mengelak apa-apa bantahan, saya terpaksa angkat sumpah dengan tangan kiri kerana tangan kanan saya tidak berapa sihat," kata Karpal.

Semua Ahli Parlimen kemudian bergambar beramai-ramai bersama Abdullah di tingkat bawah bangunan Parlimen, diikuti jamuan tengah hari.

Majlis pembukaan persidangan penggal pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara dirasmikan serentak hari ini oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dewan Rakyat akan bersidang selama 16 hari sehingga 27 Mei ini.

Berita Harian 24/4/08

UMNO akan terus pertahan ketuanan Melayu

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 28 April - UMNO akan terus berperanan memperjuangkan ketuanan Melayu supaya kaum itu tidak dipandang rendah dalam negara sendiri, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Presiden UMNO berkata, orang Melayu tidak boleh hidup sebagai 'kuli', sebaliknya mereka perlu dilihat berada pada satu kedudukan yang sama dengan kaum- kaum lain.

Justeru, katanya, usaha untuk memajukan dan memperkasakan orang Melayu akan diteruskan tetapi dalam masa yang sama hak-hak kaum lain tetap terpelihara.

Ujarnya, masih terdapat orang Melayu yang perlu diperkasakan dan diperkuatkan meskipun ada dalam kalangan mereka ketika ini telah menempa beberapa kejayaan.

''Orang Melayu merupakan penduduk asal di negara ini dan tidak boleh hidup sebagai kuli. Oleh itu untuk menjadi 'tuan' kita perlu berjaya kerana kita mahu orang Melayu berperanan dalam pembangunan negara.

''Inilah yang dikatakan ketuanan Melayu dan bukannya hendak perintah orang lain atau memaksa kuasa terhadap orang lain,'' kata Abdullah kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menyatakan ketuanan Melayu di negara ini semakin terhakis selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 Mac lalu.

Abdullah berkata, formula kekuatan Barisan Nasional (BN) adalah apabila wujud sifat permuafakatan yang jitu antara parti-parti komponen BN.

''UMNO memperjuangkan kemajuan orang Melayu tetapi kita tidak berhak menggunakan kuasa untuk mendominasi kaum lain. Asas inilah yang menjadi kekuatan parti komponen dalam BN.

''UMNO tidak pernah lupa bahawa kekuatan BN adalah hasil daripada muafakat dan kerjasama antara parti-parti komponen lain,'' ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, sebagai tunjang kepada BN, UMNO perlu menjadi sebuah parti yang mampu memberi kekuatan kepada pakatan itu.

''Bagaimanapun, kesemua ini tidak akan terhasil jika UMNO tidak bermuafakat dengan parti komponen lain. Kita bersama-sama memahami semangat ini dan inilah kunci kejayaan kita.

''Oleh itu perjuangan ketuanan Melayu selama ini adalah untuk memajukan orang Melayu dan dalam masa yang sama kita akan pastikan hak-hak kaum lain akan tetap terpelihara,'' katanya.

Sementara itu, Abdullah menyambut baik pemilihan Ahli Parlimen BN, Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) dan Datuk Ronald Kiandee (BN-Beluran) yang dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, yang lebih menarik ialah Wan Junaidi turut mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen pembangkang.

Utusan Malaysia 28/4/08

Ugut Karpal: Pelajar kolej serah diri - PAS tewas

0 Komen!!!
Seorang pelajar kolej berumur 19 tahun hari ini menyerah diri kepada polis berhubung dakwaan menghasut bagi pembunuhan pengerusi DAP Karpal Singh dalam lamanweb PAS Johor.

Diiringi bapanya dan empat ahli Pemuda PAS Johor yang diketuai pemimpinnya Khairul Faizi Ahmad Kamil, pelajar lelaki itu tiba di ibu balai polis Johor Baharu selatan pada jam 1 tengah hari.

Menurut Bernama, selepas keterangannya direkodkan oleh polis, pelajar itu pergi ke pejabat naib pengerusi DAP Johor Norman Fernandez pada jam 4 petang.

“Semasa di pejabat saya, beliau menulis surat memohon maaf dan menyatakan rasa kesal kepada Karpal kerana memuatkan komen itu dalam lamanweb itu.

“Pelajar itu juga berjanji tidak akan memuatkan mesej seumpama itu lagi di masa depan," kata Fernandez.

Fernandez juga berkata pelajar itu, yang namanya dirahsiakan, berharap Karpal akan memaafkannya dan menarik balik laporan polis yang dibuat terhadapnya.

Jumpa Karpal

Katanya DAP Johor akan bertemu Karpal esok untuk menyampaikan surat itu.

kepada Karpal untuk membuat keputusan mengenai perkara itu," katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, SAC II Amer Awal semasa dihubungi berkata polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan bagi ugutan jenayah.

Polis juga dijangka merekodkan kenyataan daripada beberapa orang lagi.

Dalam laporan polis Sabtu lalu di Pulau Pinang, Karpal mendakwa komen pengulas yang dikenali sebagai "Alif" dalam lamanweb PAS, berbaur ugutan bunuh.

Katanya komen itu mendakwa beliau (Karpal) telah menghina Islam dan “darahnya halal dibunuh.”

Malaysia Kini - Apr 28, 08 10:37pm

Kongsi Link Anda