Popular Today

Selasa, Mei 06, 2008

Pengarah Jaip dapat balik jawatan

Oleh Ridzuan Yop

IPOH: Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip), Datuk Jamry Sury yang diarah bertukar 24 jam oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada 29 April lalu, dilantik semula ke jawatan itu semalam.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim, yang mengesahkan perkara itu berkata, surat pelantikan semula ditandatangani beliau dan diserahkan kepada Jamry semalam.

"Saya melihat isu ini sudah selesai dan kita keluarkan surat pelantikan semula kepada beliau untuk jawatan sama berkuat kuasa serta-merta.

"Oleh itu, beliau kekal dengan jawatan yang dipegang sebelum ini (Pengarah Jaip)" katanya ketika ditemui pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, semalam.

Bagaimanapun, Abdul Rahman enggan membuat ulasan berhubung perkara itu walaupun diajukan pelbagai soalan oleh wartawan yang menunggu di pejabatnya bagi mengetahui perkembangan terkini selepas Sultan Perak, Sultan Azlan Shah menitahkan Mohammad Nizar menarik semula arahan pertukaran itu.

Pada 29 April lalu, Jamry diarah berpindah ke jabatan lain dalam tempoh 24 jam kerana dikatakan 'gagal memberi kerjasama dan tidak menolong' kerajaan negeri di bawah kepemimpinan Pakatan Rakyat.

Mohammad Nizar dilaporkan berkata, Jamry yang mula bertugas di sebagai Pengarah Jaip sejak tiga tahun lalu hanya dipinjamkan ke jabatan itu dan pertukarannya ke jabatan lain adalah proses biasa.

Bagaimanapun, Sultan Azlan Shah, dalam kenyataan 2 Mei lalu menitahkan kerajaan negeri menarik balik arahan pertukaran serta-merta yang dikenakan kepada Jamry.

Titah itu disampaikan menerusi Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah yang juga Yang Dipertua, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIAMP) ketika Mohammad Nizar menghadap baginda di Istana Raja Muda di sini.

Dalam kenyataan itu, Setiausaha Sulit Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, berkata Sultan Azlan bertitah, jika Jamry melakukan kesalahan atau melanggar peraturan pentadbiran kerajaan negeri, kepemimpinan negeri mestilah mempersembah secara rasmi kepada baginda dan Raja Muda.

Sementara itu, Jamry yang dihubungi di sini, semalam enggan membuat ulasan, kerana berpendapat sebagai penjawat awam beliau perlu mendapat kebenaran Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dulu.

Berita Harian 6/5/08

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda