Popular Today

Selasa, April 22, 2008

PAS sokong usaha memperkasa BPR

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Tue | Apr 22, 08 | 10:52:44 am MYT
PAS menyokong usaha pihak kerajaan dalam memperkasakan agensi pencegahan rasuah negara, BPR dengan menstrukturnya semula menjadi sebuah suruhanjaya bebas.

Bagi PAS keberkesanan menangani rasuah sesungguhnya tidak terletak semata-mata pada nama atau status tetapi yang lebih penting adalah keikhlasan dan keimanan para petugasnya dan kerajaan yang memerintah serta perlaksanaan yang menepati maksudnya yang sebenar.

PAS merasakan apa yang telah dibentuk dan diasaskan oleh Islam lebih 1400 tahun dahulu merupakan contoh terbaik dalam usaha memerangi dan membenteras rasuah, dan model Islam ini jauh lebih dahulu dari model-model semasa termasuklah apa yang terdapat di Hong Kong pada hari ini.

Islam telah menanam asas memelihara masyarakat dan pemimpin dari rasuah bukan hanya dengan memperkenalkan peraturan dan undang-undang tetapi dimulakan dengan menanam kepercayaan kepada Tuhan yang melihat dan mengetahui segala-galanya.

Islam membentuk masyarakat dan pemimpin sehingga menyedari bahawa perlakuan dan jenayah rasuah tidak hanya akan berakhir di dunia semata-mata tetapi pesalahnya akan turut dihukum di Hari Akhirat kelak.

Bagi PAS sebarang usaha memerangi rasuah mestilah bermula dengan pemerintah yang bersih. Jika parti pemerintah itu sendiri dibebani dengan penyakit rasuah dan mereka pula dipilih melalui amalan rasuah, maka adalah mustahil untuk memberikan kepercayaan kepada mereka ini untuk memerangi rasuah dalam erti kata yang sebenar.

PAS telah berjaya membuktikan corak dan sistem pemerintahan yang bersih dari rasuah di Kelantan, sejak 1990 hingga kini, dan di Terengganu antara tahun 1999-2004.

Insyallah kita akan memperkenalkan model yang sama ini, yang kita yakini dapat diterima oleh semua dinegeri-negeri Pakatan Rakyat dalam usaha melahirkan masyarakat dan pentadbiran yang bersih dan bebas dari rasuah.

22 April, 2008

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) - mr

Laporan ( Harakah Daily )

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda