Popular Today

Jumaat, Jun 06, 2008

Syabas: Tiada air percuma di S'gor

Jun 5, 08 4:50pm
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan terus mengeluarkan bil air seperti biasa tanpa sebarang penurunan atau potongan subsidi, kata ketua pegawai eksekutifnya Datuk Ruslan Hassan.

Katanya, perbincangan antara syarikatnya dengan kerajaan negeri Selangor masih belum mencapai keputusan untuk membolehkan pemberian air percuma kepada pengguna mulai bukan ini.

Ruslan berkata, Syabas belum menerima arahan bertulis dari kerajaan negeri dan kerajaan pusat ataupun satu akujanji dari kerajaan Selangor atau agensi kerajaan negeri untuk membayarnya jumlah harga 20 meter padu yang dijanjikan itu.

Oleh itu, dalam satu kenyataannya, beliau berkata, pengeluaran bil Syabas akan berjalan seperti biasa dan pengguna dinasihatkan untuk membayar bil air mengikut jumlah dalam bil masing-masing.

Laporan Bernama menyebut, Ruslan berkata, kenyataan tersebut bagi menjelaskan laporan media yang mengatakan kesan pemberian air percuma akan dilihat dalam bil air di Selangor mulai bulan ini.

Ruslan berkata, perbincangan antara dua pihak itu belum mencapai keputusan kerana banyak perkara yang perlu diambil kira dan diputuskan, terutama mengenai soal perundangan, kos serta berkaitan kelulusan kerajaan pusat.

Sebagai makluman, kata Ruslan, pendirian dan dasar Syabas adalah jelas berkaitan dengan perkara ini - perkhidmatan bekalan air bersih syarikatnya tertakluk kepada perjanjian penswastaan yang telah ditandatangani oleh Syabas dengan Selangor dan kerajaan pusat.

Menurut perjanjian penswastaan bekalan air bagi Selangor, katanya, Syabas hanya dibenarkan untuk membekal air kepada para pengguna berdasarkan kadar tarif yang telah diwartakan.

Oleh itu, katanya, sebarang tindakan yang bakal diambil oleh Syabas bukan sahaja perlu mendapat kelulusan kerajaan Selangor, malah ia perlu mendapatkan kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Air, dan Komunikasi (KTAK) bagi pihak kerajaan pusat.

Berkaitan pemberian air percuma kepada rakyat Selangor, kata Ruslan, Syabas ingin memaklumkan bahawa, sehingga kini, perbincangan hanya terhad antara Syabas dengan Selangor dan sebarang perbincangan dengan kerajaan pusat masih belum dijalankan.

Jika terdapat sebarang pertanyaan, katanya, pengguna dinasihatkan menghubungi terus Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) Syabas yang beroperasi 24 jam di talian bebas tol 1 800 88 5252 bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda