Popular Today

Khamis, Oktober 23, 2008

TERSIRAT ISU PELAJAR UPM

3 Komen!!!


Dalam kesibukan Minggu Pilihanraya kampus, isu mengenai pelajar UPM di buang kolej umpama menjadi isu utama tajuk beberapa akhbar khasnya akhbar on-line. Isu yang sepatutnya menjadi isu biasa tetapi kini digambarkan sebagai isu yang besar gara-gara musim Pilihanraya Kampus.

Secara tersuratnya ialah dilihat aspek tindakan UPM terhadap pelajarnya adalah isu dalaman kampus iaitu tindakan kedua-dua pelajar masih dianggap bersalah kerana melanggar peraturan kolej kediaman. Secara lojiknya, pelajar ini sepatutnya boleh membuat aduan di Kementerian Pengajian Tinggi dan tidak perlu untuk merujuk kepada wakil rakyat PKR.

Namun secara tersiratnya ianya adalah mainan politik pihak tertentu untuk menjadikannya sebagai isu supaya timbul perasaan tidak puas hati dikalangan mahasiswa terhadap kepimpinanan dan pengurusan pihak universiti. Memang jelas peranan parti politik PKR dalam isu ini. Dalam masa itu pihak pro pembangkang akan menuduh pihak tertentu khasnya pihak aspirasi kerajaan dalam mendalangi isu ini.

Namun apa yang lebih penting 'timing' atau masa isu mahasiswa ini ditimbulkan mestilah diambil kira supaya dapat menimbulkan sentimen anti kerajaandi kalangan pelajar seterusnya dapat menjaminkan kejayaan pro pembangkang untuk memegang tampuk kepimpinan pelajar dalam kampus.

Ini adalah taktik yang semakin ketara di kalangan pro pembangkang untuk melontarkan isu khasnya pada masa tertentu untuk menarik sokongan dan simpati mahasiswa terhadap mereka khasnya semasa pilihanraya kampus. Tujuannya mudah iaitu untuki menarik perhatian pelajar IPT yang lain.

Dalam isu ini, rakyat boleh membayangkan bagaimana parti politik pembangkang secara langsung menggangu urustadbir kampus itupun dalam keadaan AUKU masih ada. Jika AUKU ditiadakan nescaya akan banyak lagi campurtangan pihak pembangkang dalam urusan kampus dan hel ehwal pelajar.

Negara demokrasi harus benarkan pelajar berpolitik - Hadi
Intan Abdullah
Wed | Oct 22, 08 | 3:20:27 pm MYT

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Hrkh) - Berdasarkan pindaan terbaru Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan memansuhkan perkara 15 dan 16 yang menghalang mahasiswa terlibat dengan pertubuhan dan persatuan di luar kampus.
Iklan




Kenyataan demikian dibuat Timbalan Menteri KPT, Dato' Idris Haron (BN-Tangga Batu) menjawab soalan tambahan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PAS-Marang) pada sesi soal jawab lisan, semalam.

Jelasnya, pindaan Auku 1991 telahpun dibacakan kali pertama Julai lalu yang telah melalui proses kajian serta perbincangan yang agak panjang dengan pindaan sebanyak 69 daripada 119 fasal.

Ustaz Hadi sebelum itu menegaskan bahawa negara yang demokrasinya maju tidak menghalang mahasiswa dan ahli akademik melibatkan diri dalam politik dan pertubuhan-pertubuhan ke arah melahirkan pemimpin pelapis.

Sementara itu, Idris turut menjelaskan alasan larangan mahasiswa berpolitik secara aktif yang didakwa akan mewujudkan polarisasi kaum, ideologi dan agama di kalangan kaum yang mempunyai pendedahan kepada plural society.

Ia merupakan jawapan kepada soalan tambahan Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy jamaludin (BN-Rembau) yang memohon penjelasan berkaitan senario yang hanya membenarkan mahasiswa di luar negara bergiat secara aktif dengan kelab yang ditubuhkan oleh parti-parti politik di sana.

"Kenapakah mahasiswa ini tidak diberikan kebebasan untuk menyertai parti-parti politik sedangkan di luar negara mereka boleh menyertai kelab-kelab yang telah ditubuhkan secara langsung oleh parti politik tertentu di Malaysia?

"Apakah perbezaan pelajar universiti tempatan dan universiti luar negara yang tidak membenarkan pelajar kita di sini menyertai parti politik, tetapi hanya dibenarkan menyertai pertubuhan NGO dan apakah sebab mereka disekat dari terus untuk pergi kepada parti politik?" katanya.

Idris berhujah dengan menyatakan alasan tindakan KPT memperkenalkan Akta 15 ini bagi mengelakkan mahasiswa daripada terpengaruh dengan mana-mana parti politik yang boleh menjejaskan tumpuan mahasiswa kepada akademik.

Rabu, Oktober 22, 2008

Wartawan BH dihalau membuat liputan sidang DUN Kelantan

1 Komen!!!
KOTA BHARU: Wartawan Berita Harian yang membuat liputan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, pagi ini dihalau keluar daripada Kompleks Kota Darul Naim.

Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari Pas semalam yang membidas tajuk muka depan akhbar ini mengenai titah ucapan Sultan Kelantan ketika merasmikan dewan itu kelmarin.

Mereka mengesyorkan agar wartawan Berita Harian dilarang membuat liputan persidangan selama seminggu.

Kata Aspirasi : Inilah akibatnya jika tidak mahu menghadapi kebenaran, iaitu hakikat kegagalan kerajaan PAS negeri kelantan mentadbir negeri.

DUN K'tan: Wartawan BN dilarang buat liputan (Malaysiakini)
Oct 22, 08 12:40pm

Wartawan Berita Harian tidak dibenar membuat liputan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan selepas akhbar itu tidak menyiarkan ralat berhubung laporan yang didakwa tidak tepat mengenai titah Sultan Kelantan yang disiarkan semalam.

Speaker Dewan Mohd Nassuruddin Daud berkata beliau sudah membaca akhbar Berita Harian hari ini, dan mendapati tiada ralat disiarkan berhubung laporan akhbar itu semalam yang bertajuk ‘Sultan murka kerajaan Pas sagal tadbir Kelantan’.

"Mengikut Perkara 14 Peraturan Dewan saya mengambil keputusan agar wartawan akhbar itu tidak dibenarkan membuat liputan sepanjang dewan bersidang," katanya di sidang Dewan Undangan Negeri yang ketiga (Belanjawan) di Kota Bharu hari ini, demikian dilaporkan Bernama.

Semalam, Drs Zainuddin Awang Hamat (PAS-Limbongan) mendesak supaya Berita Harian memohon maaf dan wartawannya ditegah membuat liputan sidang DUN ekoran tajuk muka depan akhbar itu yang dianggapnya mencemarkan imej kerajaan dan Sultan Kelantan.

Syor Zainuddin itu disokong beberapa anggota PAS yang lain, sehingga memaksa Mohd Nassuruddin menenangkan keadaan dan memberi tempoh kepada akhbar itu untuk meminta maaf dalam siarannya esok, atau tindakan sewajarnya akan diambil.

Ekoran kenyataan Mohd Nassuruddin hari ini, wartawan Berita Harian ,Khairul Anuar Abdul Samad diarahkan oleh pihak keselamatan pejabat kerajaan negeri agar meninggalkan kawasan bangunan itu.

Ketika ditemui Bernama di luar sidang dewan, Khairul berkata beliau menerima keputusan itu, namun tidak berpuas hati dengan keputusan melarang wartawan akhbar berkenaan membuat liputan sepanjang dewan bersidang.

"Selama ini kami membuat liputan mengenai perkara yang perlu dihebahkan oleh kerajaan negeri, dan kami juga melaporkan maklumat yang ingin disampaikan kepada rakyat. Keputusan ini (larangan membuat liputan persidangan) sebenarnya merugikan kerajaan negeri sendiri," katanya.

Katanya beliau tiba untuk membuat liputan sidang dewan pada jam 9 pagi dan pihak keselamatan meminta beliau agar tidak berada di dalam bangunan kerajaan negeri mengikut arahan Speaker Dewan.

Selasa, Oktober 21, 2008

Gagal mentadbir - Fairus letak jawatan presiden FAP

0 Komen!!!


Timbalan Ketua Menteri, Mohammad Fairus Khairuddin hari ini mengumumkan meletakkan jawatannya sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), berkuatkuasa minggu ini.

Beliau berkata keputusannya itu bagi membolehkannya menumpukan tugas dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Inilah antara contoh pemimpin PKR, pandai temberang rakyat sahaja. Jika dulu bohongi rakyat untuk mebentuk kerajaan oleh presidennya dan kini pula anak buahnya. Setelah puas temberang rakyat, tinggalkan begitu sahaja sehingga terkontang-kanting FAP untuk hadapi liga Perdana musim depan. Adakah ini cara untuk jadi pemimpin?

Jika setakat persatuan sukan pun tak boleh hendak selesaikan masalah, inikan pula hendak selesaikan masalah rakyat dan negara.

Kesimpulannya ialah pemimpin PKR gagal untuk mentadbir..

Banjir di Perak, Kedah dan Pulau Pinang musibah atau bala?

0 Komen!!!
Semenjak beberapa bulan yang lepas, kejadian banjir sering berlaku di negeri utara seperti Perak, Kedah dan Pulau Pinang. Sebelum ini di Permatang Pauh, kemudian di Georgetown seterusnya di Perak dan sekarang di Kedah. Ada yang mengatakan sebagai bala kerana mengundi pakatan rakyat dan ada yang katakan pemimpin mereka sibuk berpolitik tak sempat nak uruskan kemudahan rakyat.

Rasanya inilah biasa yang akan disebut oleh pengikut dan media pembangkang sekiranya negeri yang masih ditadbir dibawah kerajaan BN mengalami kejadian banjir. Namun apabila banjir berlaku di negeri mereka hanya senyap sahaja. Adakah ini bala?, Walluhua'lam, mungkin juga. Atau adakah Pihak kerajaan tempatan mereka kini lebih sibuk berpolitik sehingga terlupa untuk melihat keadaan parit dan longkang yang semakin tersumbat.

Namun apa yang menarik ialah kerajaan negeri tersebut masih tidak ada perncangan khusus untuk mengatasi masalah banjir ini. Namun pemimpin mereka sibuk fokus kepada berpolitik dengan menuduh kerjaan lama itu dan ini, dari mengutamakan keperluan rakyat pada masa kini.

Walaubagaimanapun penulis mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang terlibat dalam kejadian banjir ini kerana penulis pernah mengalaminya. Sesungguhnya 'sabar itu indah'.

Sistem merit untuk pilih pemimpin UMNO?

0 Komen!!!
Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu konsep meritokrasi politik diamalkan bagi memilih pemimpin berkebolehan dan menolak mereka yang mengamalkan politik wang pada pemilihan parti itu Mac ini.

Katanya, hanya pemimpin tulen akan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menggerakkan agenda parti, khususnya dalam menghadapi musuh UMNO dan bukannya `bersembunyi' di belakang ahli.

``Kita mesti mewujudkan meritokrasi dalam politik. Kita tidak boleh memilih pemimpin itu kerana kita kenal dia dan dia ada wang, tetapi kita kena pilih berdasarkan kebolehan, kredibiliti dan pengalamannya.

``Perkara itu amat penting kerana kalau UMNO sendiri sudah tidak boleh menerimanya. Inikan pula rakyat di luar sana. Sudah tentu ini akan merosakkan UMNO dan Barisan Nasional (BN),'' katanya.

Persoalannya adakah ahli UMNO telah diajar untuk sistem merit. Sistem Merit ini patut digunakan pada setiap peringkat iaitu cawangan, bahagian dan pusat. Jika sistem ini berlakulah pasti peristiwa hitam pada pilihanraya umum yang lalu tidak akan berlaku lagi.

Namun jika dilihat situasi sekarang, cadangan ini hanyalah retorik semata-mata. Terdapat Pemimpin dan ahli UMNO masih belum mampu memisahkan diri dari politik wang untuk membeli undi perwakilan. Perjalanan sistem merit ini masih jauh perjalanannya.. Jika UMNO tidak mahu merubah dirinya pasti rakyat akan merubahnya.

Beringatlah sebelum kena!

Kerajaan Pas gagal tadbir Kelantan - DYMM Tuanku Ismail Petra Sultan

0 Komen!!!

SULTAN Kelantan, DYMM Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra bertitah merasmikan Persidangan kali ke 3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal pertama Dewan Negeri Kelantan, Kota Bharu, yang ke 12 tahun 2008 di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam. - Foto Zaman Huri Isa

KOTA BHARU: Tuanku Ismail Petra semalam menegur kerajaan Pas Kelantan kerana masih gagal mengurus dan membangunkan negeri ini dengan cekap, termasuk dalam pengurusan hasil serta kewangan.

Sultan Kelantan turut mengingatkan kerajaan negeri supaya memartabatkan institusi masjid dan tidak menggunakannya untuk kepentingan pihak tertentu.

"Beta ingin menarik perhatian kepada pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) sebagai bandar raya Islam sejak 2006. Perancangan dari aspek kebersihan dan keselamatan perlu dinilai semula kerana beta melihat beberapa elemen belum mencapai matlamat.

"Beta menyarankan peranan Pusat Penerangan Pelancongan Negeri dinilai semula sesuai dengan kepentingan sektor ini dalam menyumbang kepada ekonomi negeri. Sudah sampai masa, entiti baru yang lebih berkesan ditubuhkan supaya dapat bersaing dengan lebih kompetitif," titah baginda.

Bagi mengimbangi tanggungjawab pembangunan negeri pula, baginda menyarankan Enakmen Perbadanan Menteri Besar Kelantan serta Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan dikaji semula supaya tidak wujud pertindihan dan persaingan.

Baginda turut menyentuh Laporan Ketua Audit Negara mengenai kedudukan kewangan Kelantan yang tidak kukuh apabila mengalami defisit akaun hasil disatukan pada akhir 2007 sebanyak RM326.34 juta berbanding RM155.86 juta pada akhir 2003.

"Kerajaan negeri hendaklah mengelak membuat keputusan yang boleh mengurangkan kemasukan hasil. Agensi dan perbadanan kerajaan negeri tidak harus diberi keistimewaan lagi, manakala syarikat swasta yang gagal membuat pembayaran perlu diambil tindakan tegas.

"Kerajaan negeri tidak boleh terus bergantung kepada sumber hasil sedia ada. Usaha perlu digembleng untuk meneroka punca hasil baru dalam setiap sektor untuk membiayai kos pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat," tegas baginda.

Tengku Ismail Petra juga menegur mengenai masalah tanah terbiar di seluruh Kelantan yang ketika ini mencapai keluasan 21,458 hektar dan 910 hektar saja yang dibangunkan.

"Beta berharap, kerajaan negeri mengambil peluang daripada peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM2.5 bilion untuk memulihkan tanah terbiar bagi menjamin bekalan makanan negeri khususnya dan negara amnya," titah baginda.

Selain itu, Sultan Kelantan tidak puas hati dengan pembangunan projek yang dirancang mengikut Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di negeri ini kerana agak perlahan dan ada yang belum dimulakan.

Ini termasuk pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli serta projek Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra.

"Beta juga mendapat maklum, Kelantan adalah antara negeri yang disenarai dengan projek hab halal dalam RMK-9 membabitkan peruntukan RM17 juta. Bagaimanapun, projek ini belum dilaksanakan dan beta berharap ia dapat disegerakan.

"Beta menyarankan kerajaan negeri turut menekankan pelaksanaan pembangunan hab halal bagi mewujudkan pusat pengumpulan, pengeluaran dan pemasaran makanan halal," titahnya.

Sultan Kelantan juga berharap rangkaian perhubungan dibaiki, dinaiktaraf dan ditambah bagi memastikan kelancaran pelaksanaan 53 program di bawah Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Kelantan.

"Sukacita beta mencadangkan Kerajaan Persekutuan mempercepatkan pembinaan fasa ketiga Lebuh Raya Pantai Timur dari Terengganu ke Tumpat, laluan kedua Kota Bharu-Kuala Krai dan pelebaran Jalan Gua Musang-Kuala Lipis.

"Beta difahamkan, pelabuhan tidak disenaraikan sebagai projek infrastruktur di bawah ECER di Kelantan. Bagaimanapun, beta dimaklumkan kerajaan negeri meluluskan tiga projek pembinaan pelabuhan Tok Bali, pangkalan bekalan luar pesisir Kemasin dan pangkalan bekalan Kuala Besar.

"Beta berharap kerajaan boleh memberi kerjasama dan bantuan sepenuhnya bagi menjayakan projek ini," titah baginda sambil melahirkan rasa amat gembira dan berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana memberi peruntukan dana khas sebanyak RM32.1 juta bagi meningkatkan sosio-ekonomi rakyat menerusi Projek D'Raja Kelantan.

Baginda turut menyarankan rakyat supaya berbelanja dengan berhemat bagi menangani kesan kenaikan kos sara hidup akibat krisis kewangan, kekurangan makanan dan kenaikan harga minyak dunia.

Isnin, Oktober 20, 2008

Nasihat kepada MCA : jalankan tugas, jangan sibuk hendakkan jawatan

2 Komen!!!
Beberapa hari lepas, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai mencadangkan jawatan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah daripada satu kepada dua dengan satu daripadanya diisi pemimpin MCA.

Persoalannya adakah ianya relevan?

Apakah sebenarnya yang lebih penting menjalankan kerja atau jawatan? Bagi pendapat saya permintaan orang kuat MCA ini banyak yang perlu difikirkan dan diambil pertimbangan.

Pertama - Hakikatnya MCA kini masih dilihat lemah dan tidak mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina sebagaimana Pilihanraya Umum yang lalu.

Kedua - MCA juga perlu mempunyai ahli yang ramai dan aktif yang bergerak dalam MCA. Trend masyarakat Cina, mereka tidak aktif di dalam parti politik tetapi lebih aktif dalam NGO's. Dengan kata lain, MCA gagal memberikan perspektif politik negara kepada kaum Cina dan seterusnya gagal memahami politik Malaysia.

Ketiga - Jika dilihat dari gerak kerja dan jentera pilihanraya yang aktif dan bekerja keras pada setiap Pilihanraya kecil mahupun Pilihanraya Umum hanyalah jentera UMNO sahaja. Berbanding dengan jentera komponen yang dianggap tidak aktif dan tidak bermaya termasuklah dalam melaksanakan aktiviti, menyelaras bilik gerakan dan berkempen.

Keempat - kegagalan memberi penerangan isu-isu semasa kepada masyarakat cina sehingga isu Ketuanan Melayu dan Kontrak Sosial menjadi polemik di kalangan masyarakat Cina dan seterusnya menyaksikan negeri yang majoriti Cina jatuh ke tangan pembangkang. MCA sepatutnya memberi sokongan yang jitu kepada UMNO.

Kelima - Wujudnya pelbagai parti yang mewakili kaum Cina seperti Gerakan menyebabkan sokongan kaum Cina terhadap MCA terpecah dua dan seterusnya tidak menunjukkan sokongan sepenuhnya kaum Cina terhadap parti MCA. Kaum Cina perlu pilih satu parti politik sahaja mewakili mereka jika tidak mahu dilihat sebagai tamakkan kuasa.

Jadi jika ini menjadi ukuran pastinya cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah daripada satu kepada dua adalah tidak relevan. Hakikatnya MCA masih perlu bekerja keras jika mahukan kerusi timbalan presiden BN ini. Sokongan kaum Cina perlu diterima secara berterusan dari satu Pilihanraya Umum kepada Pilihanraya umum yang berikutnya iaitu sokongan secara konsisten bukan sebaliknya. Sikap sambil lewa dan malas berkempen semasa pilihanraya juga hendaklah dibuang. Jika tidak MCA masih tidak layak untuk jawatan presiden.

Nasihat kepada MCA, jalankan tugas dahulu jangan sibuk hendakkan jawatan!

Jumaat, Oktober 17, 2008

Amaran Majlis Raja-Raja : Jangan sentuh kontrak sosial

1 Komen!!!
Majlis Raja-Raja mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak lagi mempertikai dan mempersoalkan kontrak sosial, apa lagi menyemak semula atau mengubahnya kerana ia menjadi asas utama pembentukan negara ini.

Dalam kenyataan khas selepas mesyuarat ke-215 di Istana Maziah di sini semalam, Majlis Raja-Raja menegaskan, kaum bukan Melayu tidak perlu bimbang mengenai hak sah mereka kerana ia dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan Undang-undang Tubuh Negeri yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

"Adalah diharapkan dengan penegasan itu, segala kekeliruan berhubung perkara ini di kalangan rakyat dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara," kata kenyataan itu.
Berikut adalah salinan penuh kenyataan akhbar khas berkenaan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah hari ini.

Keistimewaan

“Kenyataan Akhbar Yang Dikeluarkan Oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Mengenai Peranan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu berhubung dengan hak-hak keistimewaan, kedudukan, kemuliaan atau kebesaran Raja-raja Melayu, agama Islam, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut Perlembagan Persekutuan.

“Raja-raja Melayu yang menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja telah berunding mengeluarkan kenyataan akhbar khas bersama pada hari ini.

“Raja-raja Melayu mempunyai peranan perlembagaan untuk melindungi keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi Agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia.

“Tindakan pihak-pihak tertentu mempertikai dan mempersoalkan perkara-perkara tersebut yang menjadi asas utama pembentukan negara Malaysia dan termasuk dalam Perlembagaan Persekutuan telah menimbulkan kegusaran dan keresahan di kalangan rakyat.

Sebagai tindakbalas, beberapa pihak terutama pemimpin-pemimpin Melayu sama ada yang berada dalam kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan telah menyuarakan rasa tidak puas hati dan marah terhadap pihak yang membuat kenyataan dan laporan dan menganjurkan forum-forum berkenaan.

“Antara sebab-sebab yang dikenalpasti berlakunya perkara ini ialah kedangkalan pengetahuan pihak berkenaan terhadap latar belakang sejarah mengapa peruntukan-peruntukan tersebut dimaktubkan dalam Perlembangaan Persekutuan dan pengaruh prinsip-prinsip kesaksamaan dan keadilan yang cuba diimplikasikan di negara ini tanpa berjunjungkan latar belakang sejarah dan keadaan sosial negara ini. Kepentingan politik sempit juga merupakan penyebab berlakunya perkara ini.

“Gejala ini jika tidak ditangani dengan segera boleh menyebabkan negara terjebak dalam kancah perpecahan dan persengketaan antara kaum yang boleh menjejaskan keharmonian dan keamanan yang selama ini telah membawa kemajuan, pembangunan dan kejayaan kepada negara.

“Justeru, adalah perlu Majlis Raja-Raja menegaskan dan memperingatkan semua pihak tentang peruntukan-peruntukan perlembagaan tersebut di samping memberi penekanan tentang jaminan perlindungan hak-hak sah kaum lain. Perlu ditegaskan bahawa setiap peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan telah melalui proses perbincangan, pertimbangan, konsultansi, pengorbanan dan sifat tolak ansur yang sangat tinggi nilainya bagi apa yang telah diperjuangkan, diperbincangkan, dipertimbangkan, dimanfaatkan serta dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat, sehingga wujudnya peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang dikenali sebagai Kontrak Sosial.

Kontrak Sosial ini tidak wajar dipertikai dan dipersoalkan lebih-lebih lagi disemak semula atau diubah kerana ia adalah merupakan asas utama pembentukan negara Malaysia. Untuk itu Raja-raja Melayu wajar memperingatkan supaya isu berkaitan Kontrak Sosial tidak sekali-kali cuba diuji dan dicabar.

Dipertikai

“Sesungguhnya, angkatan pemimpin di era prakemerdekaan, berfikiran dalam - berpandangan jauh. Raja-raja Melayu telah dibawa bersama semasa rundingan menuntut kemerdekaan. Institusi raja dikekalkan dan dimaktubkan secara perundangan dalam Perlembagaan Malaysia Merdeka. Institusi raja diberikan kemuliaan, ditempatkan di puncak kerajaan, sebagai Ketua Negara dan Ketua Negeri, laksana payung pelindung, menjamin berlakunya kesaksamaan di kalangan warga. Institusi raja berperanan sebagai faktor penyemak dan pengimbang, untuk merungkai sebarang kekusutan, sekiranya berlaku.

“Raja-raja Melayu juga membuat seruan kepada orang Melayu supaya bersatu-padu untuk mempertahankan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-raja Melayu, melindungi agama Islam, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan kepentingan sah kaum-kaum lain di Malaysia seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Penekanan juga perlu dibuat bahawa agenda ini adalah lebih penting dan utama dari kepentingan politik atau kelompok.

“Kaum bukan Melayu tidak perlu merasa khuatir dan bimbang tentang hak-hak sah mereka kerana hak-hak tersebut telah dijamin mengikut Perlembagaan Persekutuan dan peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Undang-undang Tubuh Negeri-negeri di Malaysia yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Adalah diharapkan dengan penegasan tersebut, segala kekeliruan berhubung dengan perkara ini di kalangan rakyat jelata dapat dibendung dan suatu suasana yang harmoni, aman dan sikap saling hormat menghormati di kalangan rakyat dapat terus diwujudkan demi menjaga ketenteraman negara.”

Menghormati

Kesemua Sultan dan Yang Dipertua Negeri menghadiri mesyuarat itu kecuali Pahang, Johor, Terengganu, Perlis dan Negeri Sembilan.

Sultan Pahang diwakili Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Sultan Johor diwakili Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim Ismail Sultan Iskandar dan Sultan Terengganu diwakili Yang Dipertua Majlis Penasihat Pemangku Raja Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Sultan Mahmud.

Negeri Sembilan diwakili Pemangku Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tunku Naquiyuddin Ibni Tuanku Jaafar dan Perlis diwakili Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut hadir menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri kecuali Sarawak yang diwakili Menteri II Perancangan dan Pengurusan Sumber, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hasan.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah berkata, perkara-perkara berkaitan pertahanan, keselamatan, kedudukan ekonomi negara, Biasiswa Yang di-Pertuan Agong termasuk cadangan pelantikan Ketua Hakim Negara Persekutuan, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya telah dibincangkan dalam mesyuarat itu.

— Bernama

Kongsi Link Anda