Popular Today

Khamis, April 24, 2008

Anwar yakin Wakil BN lompat sebelum 16 Sept



Beberapa ahli parlimen Barisan Nasional di Sabah telah membuat keputusan untuk menyertai Pakatan Rakyat dan sedang menunggu masa sesuai, selewat-lewatnya pertengahan September, kata penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim."Apa yang menahan mereka ialah pengaturan masa. Ahli-ahli parlimen ini belum pun mengangkat sumpah di parlimen (lagi). Kami bukanlah tergesa-gesa," katanya kepada pemberita di Kota Kinabalu dalam lawatan ke negeri itu, hari ini.

Anwar menambah, lapor Bernama, jika mereka tidak menyertai bulan depan, mungkin dalam bulan berikutnya, Julai atau malah pada Hari Merdeka (31 Ogos)."Tetapi saya fikir kami tidak akan melewati tempoh itu," katanya.

Bagaimanapun laman web The Star Online pula, juga memetik kenyataan Anwar di tempat yang sama, memberikan tarikh yang berbeza, 16 September atau hari ulang tahun pembentukan Malaysia.

Beliau juga mendakwa BN sedang memantau dengan dekat pergerakannya sekarang dan ada kemungkinan akan bertindak keras atau mengugut wakil-wakil parti itu yang ingin berpindah kepada Pakatan.

Bekas menteri kewangan itu mendakwa, beliau boleh mengadakan rundingan dengan wakil rakyat BN sama ada di Singapura, Abu Dhabi atau Hong Kong walaupun "bunyinya seperti bahan lawak."

Selain itu, laporan sama dipetik, Anwar juga memerlukan masa untuk mengadakan rundingan dengan parti-parti lain dalam gabungan pembangkang itu sebelum bertindak.

Sementara agensi AFP melaporkan, Anwar meramalkan beliau akan menjadi perdana menteri "dalam tempoh tiga tahun ini".Katanya, tiada jangka masa jelas tentang tarikh beliau akan menjadi perdana menteri tetapi meramalkan tempohnya "tidak sampai tiga tahun lagi"."(Tetapi) saya bukannya tergesa-gesa," katanya kepada agensi berita antarabangsa itu.

Parti Rakyat Malaysia (PRM) hari ini membantah usaha menggerakkan kempen lompat parti wakil-wakil BN seperti yang dijalankan Anwar

Walau pun banyak perbezaan pendapat di kalangan rakyat mengenai usaha Anwar untuk menarik wakil Bn untuk lompat ke Parti PKR, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju. Namun ini tidak penting bagi Anuar, apa yang penting adalah agendanya untuk membentuk kerajaan Pusat yang ditadbir oleh pakatan pembangkang walaupun rakyat secara dasarnya telah memilih BN untuk mewakili kerajaan Pusat.

Apa yang rakyat putuskan tidak penting, apa yang penting ialah agenda Pakatan Pembangkang untuk memerintah negara.

Namun dalam masa yang sama rakyat juga mahu melihat tindakan dari pihak BN khasnya kepimpinan mereka. Apakah pelan tindakan mereka untuk mengelakkan perkara ini berlaku. Sehingga kini rakyat hanya mendengar penafian dari wakil rakyat BN. Namun hakikatnya siapa tahu apa yang sebenarnya terjadi. Rakyat juga menanti pelan tindakan pemimpin BN untuk menangani isu ini. Isu seperti ini sewajarnya tidak diambil ringan oleh BN...

Apa-apa boleh terjadi.. rambut sama hitam, hati tiada siapa yang tahu. -hsy

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda