Popular Today

Rabu, Jun 18, 2008

Harga minyak mahal bagi kenderaan asing

Oleh Mohd Asyramisyanie Kamis


Haji Zulkifli (kanan) mengumumkan kadar baru harga bahan bakar bagi kenderaan asing mulai 19 Jun. Bersama beliau ialah Pengiran Haji Yasmin.

BANDAR SERI BEGAWAN, Isnin - Mulai Khamis ini, Brunei pasti tidak lagi menjadi tumpuan warga asing untuk membeli minyak harga murah kerana satu struktur baru harga petrol dan diesel akan diperkenalkan bagi kenderaan darat dan laut yang berdaftar di luar negara.

Bahagian Tenaga, Jabatan Perdana Menteri hari ini mengumumkan kadar harga baru bagi semua kenderaan dan kapal laut yang tidak berdaftar di Brunei ialah $1.13 seliter bagi diesel dan $1.18 seliter bagi Gasolin Premium 97.

Syarat baru itu yang terkandung dalam Arahan (III) Penjualan Diesel dan Motor Gasolin Premium 97 bagi Kenderaan dan Kapal Laut yang Tidak Berdaftar di Brunei akan berkuat kuasa mulai 19 Jun, kata Pemangku Pengarah Unit Petroleum Haji Zulkifli Haji Abdul Karim.

Ketika mengumumkan ketetapan terbaru itu pada majlis taklimat dengan pengusaha stesen minyak seluruh negara, beliau berkata hanya 10 buah stesen minyak di seluruh negara dibenarkan menjual diesel dan minyak Premium 97 kepada kenderaan dan kapal laut yang bukan berdaftar di Brunei.

Stesen terbabit ialah Stesen Minyak Badan Tanmiah Kuala Lurah, Stesen Minyak Mar'azmala Jerudong, Stesen Minyak Bunut dan Stesen Minyak Gadong bagi Daerah Brunei dan Muara, Stesen Minyak Koperasi Peladang Kampung Sungai Teraban dan Stesen Minyak Roxana (Kuala Belait) dan Stesen Minyak KKMB dan Stesen Minyak Negalang Maju di Temburong.

Bagi kapal laut, pembelian hanya boleh dilakukan di Stesen Minyak Majra dan Stesen Minyak Seri Cermin yang terletak di sepanjang Sungai Brunei.

Haji Zulkifli dalam kenyataannya juga mengumumkan kadar harga penjualan yang diumumkan hari ini sah bagi bulan Jun sahaja dan akan berubah dari semasa ke semasa berdasarkan harga pasaran global.

Taklimat itu disertai sama oleh Pengarah Urusan Syarikat Pemasaran Brunei Shell (BSM) Pengiran Haji Yasmin Pengiran Haji Mohammad.

Kepada satu soalan, Haji Zulkifli menjelaskan bahawa syarat baru itu turut meliputi warga asing yang bekerja di negara selagi kereta mereka bukan kereta yang berdaftar di Brunei.

Beliau juga berkata harga minyak di pasaran dunia yang mencecah AS$130 setong mempengaruhi kos penghasilan dan subsidi minyak termasuk di Brunei dan "sudah tiba masanya pihak berkuasa mengawal pengaliran sumber asli berkepentingan ini serta mengambil langkah mengawal situasi yang kian melarat".

Menurutnya, jenayah yang melibatkan penyelewengan dan penyeludupan minyak setakat dari Januari hingga Mei tahun ini sudah berjumlah 48 kes keranaa harga pasaran minyak di pam minyak di Darussalam adalah yang paling murah di kalangan negara Asia Tenggara.

Beliau juga mengumumkan bahawa semua stesen minyak mesti menghantar laporan catatan jualan bulanan sebelum 15 hari bulan dan pengusaha yang gagal berbuat demikian akan dikenakan denda seperti pengurangan dan penggantungan bekalan minyak atau penggantungan lesen.

Sementara itu ketua unit peruncitan BSM Awang Sirup Tuah yang turut serta pada majlis taklimat itu berkata mulai 4 petang 18 Jun ini, BSM akan menukarkan petunjuk harga jualan di pam terpilih 10 buah stesen minyak yang dikhaskan bagi jualan minyak kepada kereta luar negara.

Menurutnya langkah itu hanya akan dimulakan selepas pengusaha-pengusaha minyak menandatangani dan menyerahkan Perjanjian Peruncitan kepada pihak BSM.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda